Jumaat, 17 Julai 2009

BUDAYA MEMBACA: DI MANA KITA

Salam bloger, …

Membaca. Mungkin bagi sebahagian daripada kita tidak berminat dengannya. Sudah tentu ia menggambarkan tahap kesedaran kita mengenai budaya ilmu tersebut. Di negara kita, budaya membaca bukan sahaja tidak popular tetapi belum sampai ke tahap yang boleh dibanggakan.

Anda lihat di negara lain, buku menjadi antara sebahagian teman hidup mereka. Maka tidak hairanlah apabila seseorang penulis itu menghasilkan buku, mereka akan mudah menjadi kaya kerana hasil penulisan mereka yang sentiasa mendapat sambutan. Kita bagaimana?.

Buku novel fiskyen, Harry Potter misalnya telah menjadikan hasil tangan penulisnya, JK Rowing sebagai kegilaan ramai di seluruh dunia dan beliau yang pada asalnya hanya seorang wanita yang merempat telah muncul sebagai antara penulis yang paling popular dan kaya di dunia. Mengapa. Apa yang ditulis, ada yang membaca. Maka, itulah jadinya.

Di negara kita, bukan tidak ada bahan bacaan. Ada. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, berlaku lambakan terhadap bahan bacaan kerana kerana kurangnya pembaca. Malah, ramai penulis kita pun tidak ke mana.

Menurut satu statistik, rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar terlalu rendah peratusnya yang membaca buku. Hakikatnya ini bagi saya amat membimbangkan dalam sausana kita ingin melahirkan modal insan berminda glokal, penerus kepada impian dan harapan kepimpinan negara.

Justeru, setiap ahli masyarakat harus insaf akan fenomena membimbangkan ini. Marilah kita mencontohi Prof Diraja Engku Aziz yang sentiasa beristiqamah dalam mengamalkan prinsip ilmunya. Di antaranya menjadikan pembacaan sebagai satu sumber ilmu, sentiasa membaca buku catatan walaupun di mana beliau berada dan belajar seumur hidup telah dijadikan budaya hidup beliau.

Maka, begitu jugalah dengan mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa membawa buku catatan di mana-mana beliau pergi. Beliau adalah antara manusia yang kuat membaca.

Lantaran itu saya fikir, kita perlu menghidupkan kembali budaya membaca ini agar kita tidak akan ketandusan generasi berilmu di masa depan. Tentunya, kita perlu memulakannya di rumah dengan menyediakan sudut membaca yang dipenuhi dengan bahan bacaan yang sesuai dengan kita. Adakah anda sudah mempunyai sudut bacaan di rumah anda?.

Ajaklah anak-anak kita membaca bersama kita. Berinteraksilah bersama mereka mengenai apa yang mereka baca dan isu-isu semasa yang perlu mereka tahu dan fahami. Ingatlah bahawa di sekolah adalah satu permulaan dan di rumahlah sebenarnya pengukuhan budaya membaca.