Sabtu, 26 September 2009

ALAHAI DR, DATO' DAN DATO SERI

Gambar Hiasan
Salam bloger …

Tiba-tiba dalam kemeriahan kita menyambut hari Raya Aidilfitri, Dato’ Seri Utama Dr Rais Yatim telah melontarkan satu pandangan yang pada saya cukup kuat, bernas dan kena pada masanya.

Tidak lain dan tidak bukan dua isu yang dibangkitkan beliau ialah, pertama: pembelian ijazah kedoktoran falsafah (PhD) dan pemberian Darjah Kebesaran kepada mereka yang dianggap belum banyak menyumbang dan berjasa kepada negara serta negeri.

Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi itu mahukan Jabatan Peguam Negara memutuskan sama ada “pembelian” tersebut merupakan satu perbuatan jenayah atau sebaliknya.

Apabila wartawan Utusan Malaysia meminta saya memberikan pandangan, secara ikhlas dan tanpa sebarang prejudis saya menyatakan bahawa amat tidak wajar sebilangan anak muda yang di bawah umur 40 tahun telah mendapat anugerah Dato’ atau Dato’ Seri yang pada saya belum menyumbang apa-apa kepada negeri dan negara kecuali beberapa individu seperti jaguh-jaguh sukan yang telah mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Lantaran itu, saya telah mencadangkan agar diwujudkan satu piawaian khusus yang dinilai oleh sebuah Jawatankuasa Khas di bawah Bahagian Protokol Jabatan Perdana Menteri dan Setiausaha Kerajaan Negeri atas maksud untuk memastikan setiap anugerah yang diberikan mempunyai nilai yang cukup tinggi demi meletakkan institusi raja di tempat yang mulia dan terus dihormati.

Namun demikian, ramai juga yang tidak bersetuju dengan pandangan saya. Yalah, masing-masing mempunyai pandangan tersendiri dan secara jujur, saya juga amat menghormatinya.
Sahabat seperjuangan saya, Dato’ Saifuddin Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia beberapa hari lalu juga nampaknya tidak begitu bersetuju dengan pandangan saya dengan alasan Raja-Raja Melayu sudah semestinya mempunyai perkiraan sendiri dan kebijaksanaan dalam mengurniakan darjah kebesaran tersebut.
Namun, saya sebenarnya tidak pernah mempertikaikan kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dalam hal tersebut. Namun, sejauh manakah jawatankuasa anugerah yang diberikan tanggungjawab mengenai perkara tersebut mempersembahkan maklumat yang tepat dan jelas ke bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Al Sultan mengenai calon-calon yang bakal dikurniakan darjah kebesaran tersebut. Itulah persoalannya.

Terserahlah kepada anda untuk menilainya. Saya hanya melontarkan sesuatu yang ada di fikiran saya. Itu saja!.

Sabtu, 19 September 2009

ERTI DI HARI RAYA AIDILFITRI


Assalamualaikum …


Salam perjuangan, salam kemenangan dan salam Aidilfitri untuk semua bloger dari saya sekeluarga. Semoga Allah swt akan terus memberikan rahmat dan hidayah-Nya untuk kita terus memanfaatkan hujung jari kita ke arah mempertahankan kebenaran dan menolak sebarang unsur-unsur yang berbau fitnah serta kebatilan.


Selepas sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, hari ini tibalah hari kemenangan kepada kita semua. Walaupun pemergian Ramadhan amatlah menyentuh perasaan lantaran fadhilat yang dijanjikan cukup besar dan tinggi, namun ketibaan hari lebaran tetap sesuatu yang dinantikan.


Saya percaya, anda juga gembira dengan kehadiran satu Syawal ini. Semua orang ingin gembira di hari mulia. Kata orang, segala-galanya baharu di hari ini. Saya berharap, kita semua menyambut hari raya Aidilfitri dengan penuh berhemah dengan meletakkan kesederhanaan sebagai asas kegembiraan. Saya bimbang, ramai di kalangan kita yang terlalu mewah berbelanja sehingga di luar kemampuan. Kata mereka, maklumlah hari raya setahun sekali, maka apa salahnya berbelanja lebih kali ini.


Kita jangan salah percaturan. Bukan apa, saya khuatir ada di kalangan kita yang akan merana selepas hari raya nanti kerana wang sudah habis dibelanjakan. Apalah ertinya kemewahan dan kemeriahan jika itulah jadinya. Bagi saya, kesederhanaan bukannya akan mencacatkan kemeriahan sambutan Aidilfitri. Sebaliknya, semua itu terletak di bahu kita sendiri. Kitalah yang mencorakkan kegembiraan itu walaupun kita tidak semewah mana pun.


Marilah juga kita memulakan satu pemuafakatan kita di hari yang besar ertinya ini. Inilah masanya kita mahu melupakan segala sengketa dan salah bicara. Inilah harinya jika kita mahukan satu permulaan untuk melihat ukhuwwah di kalangan umat Islam kembali bertaut setelah agak renggang disebabkan politik kepartian.


Marilah kita mengisi lebaran dengan perasaan penuh syukur dan insaf betapa kita sebenarnya amat bertuah kerana menjadi rakyat Malaysia. Kerana kita rakyat Malaysialah, maka kita dapat meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan penuh keharmonian, selesa dan bebas daripada sebarang bencana dan mala petaka.


Sempena kedatangan Aidilfitri ini dan jika masih ada masa yang terluang, dipersilakan ke rumah saya pada 3 Syawal mulai pukul 12 tengahari untuk sama-sama kita mengeratkan hubungan silaturrahim sambil berpeluang bertukar-tukar pandangan dan idea demi kelansungan perjuangan kita selama ini.


SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.



RAMADHAN YANG BERLALU

Salam Aidilfitri,..

Alhamdulillah Ramadhan akan melabuhkan tirainya dan Syawal 1430 Hijrah PULA bakal mengambil tempat. Bulan kemenangan kita yang telah berjuang melawan nafsu di sepanjang Ramadhan.

Sesungguhnya Syawal merupakan lambang kemenangan kita, namun amat sedih kerana kadangkala kita telah tersasar dari apa yang sepatutnya kita lakukan ketika menyambut ketibaannya.

Apa tidaknya, sejak 20 Ramadhan yang lalu, kita amat sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri, di mana pusat-pusat jualan penuh sesak dengan manusia, dengan pelbagai tujuan. Kita terlupa hakikat bahawa sepuluh malam terakhir Ramadhan kita sepatutnya bersesak-sesak di surau dan masjid untuk berebut keberkatan-Nya yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Begitu juga apabila Syawal menjelang tiba. Sepatutnya kita berebut-rebut bertakbir, bertahmid dan kunjung mengunjung untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita, bukannya sepanjang masa menghadap TV dengan pelbagai rancangan yang sebahagian besarnya amat melalaikan kita.

Semoga Aidilfitri ini kita sama-sama menyambutnya dengan kaedah yang lebih baik sebagaimana yang telah digariskan oleh agama kita yang Maha suci. Marilah kita sama-sama bertakbir memuji kebesaran Ilahi sambil kita berdoa agar Ramadhan 1431 kita masih diberikan peluang mempertingkatkan ibadat, lebih baik daripada tahun ini. Marilah kita menziarahi saudara sesama Islam, tidak kira status ekonomi dan ideologi politik agar silaturrahim kita terus dipereratkan.

Janganlah kita lupa mereka yang kurang bernasib baik dengan sama-sama kita menghulurkan sumbangan, sama ada kewangan mahu pun barangan mengikut kemampuan dan keupayaan yang ada.

Dan, jangan kita lupa mereka yang terlebih dahulu dijemput menghapi Ilahi dengan kita sama-sama menziarahi pusara mereka sambil kita menghadiahkan Al-Fatihah dan memanjatkan doa agar mereka terus mendapat rahmat-Nya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Khamis, 17 September 2009

MB LAWAT AKADEMI KEPIMPINAN GPMS

Mengiringi YAB Dato' Ahmad Said meninjau projek pembinaan Akademi Kepimpinan GPMS

YAB Dato' Ahmad Said melihat salah satu ruang asrama yang telah disiapkan

Kompleks Akademi Kepimpinan GPMS yang tersergam indah

Mendengar taklimat daripada pegawai JKR

Salam bloger,

Dalam kesibukan tugas mentadbir negeri, Menteri Besar Terengganu, YAB Dato’ Ahmad Said baru-baru telah berkesempatan mengadakan lawatan kerja ke tapak pembinaan Akademi Kepimpinan GPMS Terengganu yang terletak di Mukim Batu Rakit, Kuala Terengganu.

Saya telah diminta oleh Pengerusi GPMS Terengganu, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri untuk mengiringi dan memberikan taklimat kepada Menteri Besar kerana beliau (YB Dato’ Mohd Nasir) terpaksa menghadiri kursus di Kuala Lumpur. Di sepanjang lebih sejam lawatan tersebut, beberapa teguran secara umum telah dibuat kepada kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

Antara lain, beliau mengingatkan kontraktor agar lebih bertanggungjawab dan melaksanakan kerja-kerja pembinaan bukan hanya mementingkan keuntungan semata-mata. Pihak JKR juga diingatkan agar mempertingkatkan pemantauan dan sentiasa turun padang serta memperbetulkan secara serta merta setiap ketidaksempurnaan pembinaan projek itu.

Walau bagaimanapun beliau memuji kontraktor yang terlibat dengan pembinaan Akademi Kepimpinan GPMS yang telah menyiapkan kerja-kerja itu lebih awal dari tempoh yang diberikan. Akedemi bernilai RM8.1 juta itu menempatkan dua blok asrama (300 orang), Dewan Besar (500 orang), blok pentadbiran dan dewan makan.

Pihak GPMS Terengganu menjangkakan, akademi ini bakal beroperasi sepenuhnya awal tahun depan yang bakal diurus tadbir oleh Koperasi Warisan GPMS Terengganu Berhad. Walau bagaimanapun GPMS masih mengharapkan tambahan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tujuan menyempurnakan projek tersebut seperti perabot, menaiktaraf pagar dan padang kawat.

Sesungguhnya di sepanjang lawatan tersebut dapat saya simpulkan mengenai kecaknaan Menteri Besar yang begitu teliti dengan pembinaan yang telah dilaksanakan. Saya yakin dan percaya jika semua pemimpin turun padang, dan cakna setiap pelaksanaan projek di kawasan masing-masing, sudah tentu cerita pahat menari-nari selepas projek siap tidak mungkin terjadi. Begitu juga dengan cerita bumbung runtuh, atap bocor dan lantai retak juga tidak mungkin kedengaran.

Terima kasih YAB Dato’ Ahmad Said di atas kesudian itu. GPMS Terengganu amat menjunjung kasih mengenainya.

Jumaat, 11 September 2009

RAMADHAN HAMPIR BERAKHIR


Salam Ramadhan,

Terlalu cepat waktu berlalu, tidak sedar kita sudah pun melepasi 20 Ramadahan. Tidak sedar itu pula boleh dikategorikan kepada dua… tidak sedar kerana sepanjang masa beribadat kepada Allah untuk mencari gandaan pahala yang dijanjikan pada sepuluh terakhir Ramadhan ini. Atau, tidak sedar kerana terlalu sibuk dengan urusan duniawi. Cuma yang pasti, apakah Ramadahan kali ini lebih sempurna daripada tahun lalu?.

Hanya kita yang mempunyai jawapannya. Yalah, Hari Raya Aidilfitri sudah pun terlalu hampir. Maka, ramai di kalangan kita hari ini sedang sibuk membuat persiapan terakhir. Atau, ada pula yang sengaja menghitung hari bagi meraikan hari lebaran.

Bagi mereka yang benar-benar faham mengenai fadhilat Ramadhan, terutama pada sepuluh malam terakhir ini, peluang ini tidak akan dilepaskan dengan meningkatkan ibadah mereka. Yalah, Ramadhan datang sekali dalam setahun dan bukan semua orang dengan mudah mampu memperolehi fadhilat ini.

Oleh itu, dalam kita sedang meniti hari menjelang Aidilfitri ini, usahlah kita terlalu teruja dengan persiapan hari raya walaupun hakikatnya perkara itu juga adalah penting dan mustahak. Namun, kita pasti akan lebih rugi jika mengabaikan kelebihan di bulan Ramadhan ini. Itlah yang pasti dan perlu diberikan perhatian oleh kita semua.

Ramadhan yang semakin hampir ke penghujungnya ini telah kita lalui dengan penuh sabar, tabah dan keinsafan. Kita berdoa agar kita akan terus tabah dan berjaya menghabiskan Ramadhan dengan penuh keselesaan dan menguntungkan.

Sama-samalah kita sempurnakan hari-hari terakhir Ramadahan ini dengan mempertingkatkan amalan kita dan semoga Ramadhan depan kita akan bersua kembali, insya’Allah.

Rabu, 9 September 2009

SAMPAI BILA...

Wajah kurang ajar dan biadab rakyat Indonesia yang marahkan Malaysia

Salam Ramadhan,

Sungguh biadab dan kurang ajar, mungkin itu kata-kata terkeluar dari mulut saya dengan sikap segelintir rakyat Indonesia yang bertindak ganas mengancam keselamatan rakyat kita di negara mereka. Malah, lebih teruk lagi, mereka tergamak membakar Jalur Gemilang yang menjadi symbol kebanggaan negara kita, manakala pejabat Kedutaan Malaysia di sana telah dibaling dengan telur busuk.

Semuanya gara-gara mereka terpedaya dengan laporan melampau media Indonesia yang sengaja mengapi-apikan isu-isu yang langsung tidak berbangkit. Bayangkanlah, kerana marahkan Malaysia, rakyat mereka sanggup menggunakan buluh runcing untuk menjejak dan menghalau rakyat Malaysia di sana. Orang hilang akal memang begitu. Mereka tidak terfikir bahawa di Malaysia terdapat hampir dua juta rakyat mereka. Ada kita mengancam mereka?.

Kalau nak diikut, pendatang Indonesia di Malaysia banyak membawa masalah termasuk menjadi penjenayah. Ada kita ancam rakyat mereka. Bila Indonesia dilanda tsunami atau gempa bumi, siapa yang dulu sampai di sana hulurkan bantuan kalau bukan rakyat Malaysia. Kita ini terlalu baik dan pemurah barangkali sehingga itulah “balasan” rakyat Indonesia kepada kita.

Malah sekarang ini, berapa ramai pelajar perubatan Malaysia sedang membantu mangsa gempa bumi di Jogjakarta. Inikah balasan mereka?. Ini bukan perkara baharu. Dulu, rakyat Indonesia di Kem Tahanan merusuh membakar kereta dan trak polis. Mereka juga kurang ajar membakar Jalur Gemilang dan menaikkan bendera mereka. Itu berlaku di tanah air kita, bukan di sana.

Kali ini berlaku di sana. Ikutkan hati, kebencian saya juga amat meluap. Namun, kita rakyat Malaysia tidak pernah mahu bertindak balas kerana buat apa kita nak bertindak kepada orang yang tidak berdosa. Rakyat Indonesia sudah melampau sebenarnya.

Yang saya sedih apabila pihak berkuasa mereka dilihat tidak pro-aktif dalam menyelesaikan masalah ini. Kerajaan mereka lambat bertindak sehingga keadaan semakin menular. Malah, ketika penunjuk perasaan yang kurang ajar dan biadab itu sedang menahan kereta bagi mencari rakyat Malaysia, kelihatan anggota polis mereka.

Mereka ada melarang?. Nampak seperti tidak. Malah, polis mereka seperti hanya menjaga keadaan lalu lintas dan langsung tidak kisah dengan ancaman yang sedang dilakukan. Teruknya mereka.

Saya bimbang, rakyat Malaysia sendiri akan hilang sabar. Ia bukan sahaja melibatkan keselamatan tetapi maruah kita juga. Tapi, harap-harapnya tidaklah begitu dan hal ini tidak berpanjangan. Kita semua perlu mempelajari sesuatu di sebalik apa yang telah berlaku itu.

Pengajarannya, kita tidak boleh terlalu bebas sehingga hilang pertimbangan terhadap perasaan dan sensitiviti orang lain. Fikirkanlah sendiri. Bagi saya, jika inilah balasan mereka kepada kita, usah dibantu lagi ketika mereka susah. Sudah sampai masanya kita jadi begitu. Muktamad!.