Ahad, 30 Ogos 2009

SEMINGGU BERLALU DI BULAN RAMADHAN

Salam Bloger …

Alhamdulillah, selepas lebih seminggu kita yang taat kepada tuntutan agama telah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan Al Mubarak ini dan harapnya bukan sekadar lapar serta dahaga sahaja yang kita dapat pada bulan ini.

Alhamdulillah minggu pertama Ramadhan ini, tiada apa-apa isu yang boleh terus memecahbelahkan agama dan bangsa kita. Syukur. Cuma, mungkin isu sedikit panas apabila bekas model sambilan, Kartika Seri Dewi Shukarnor yang tiba-tiba menjadi popular dek dosa meminum arak di khalayak ramai.

Dia bertambah glamour dan popular selepas hukuman sebat yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan terhadapnya terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang saya sendiri malu untuk mencatatkan di sini. Biarlah.

Semoga tiga minggu mendatang ini lebih tenang dan harmoni tanpa sebarang isu politik berkepentingan disogokkan ke halwa telinga kita. Sekurang-kurangnya bulan Ramadhan ini dijadikan “bulan gencatan mencaci dan menghukum sesama kita”. Juga semoga tiga minggu mendatang, kita akan dapat mempertingkatkan ibadah, mencari keredhaan ilahi dan bukannya menyibukkan diri dengan keluarga untuk membuat persiapan ketibaan Syawal.

Mungkin itu juga penting, namun peluang memperolehi fadhilat di sepanjang Ramadhan adalah sesuatu yang tidak wajar kita lepaskan.

Semoga bulan Ramadhan ini kita sama-sama mengingati orang-orang yang kurang berkemampuan dan anak-anak yatim yang memerlukan sumbangan kita. Sesungguhnya Allah akan menambahkan rezeki kita jika kita sentiasa membantu mereka yang memerlukan.

Saya mengajak diri saya dan sahabat blogger untuk sentiasa bersyukur dengan segala kenikmatan yang Allah kurniakan sejak dulu, kini dan insya’Allah selama-lamanya. Amin.