Selasa, 8 Mac 2011

Salam bloger,

Agak mengejutkan. Itu yang boleh saya rumuskan dengan insiden atau kes bunuh diri di negara ini. Semalam, ketika memdedahkan statistik mengenai kes berkenaan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ternyata bimbang dengan gejala tersebut.

Apa tidaknya, dalam tempoh sepuluh tahun mulai 2001, seramai 4,118 orang telah meninggal dunia akibat perbuatan bunuh diri. Nah!, ternyata gejala tersebut membimbangkan. Punca kepada masalah tersebut juga disebabkan kegagalan hidup, putus asa dan kematian insan tersayang. Semuanya kerana tekanan perasaan.

Sebagai umat Islam, kita dituntut menjauhi perbuatan sedemikian. Apa pun, isu berkenaan cukup menarik untuk kita kupas, lantaran dengan keadaan persekitaran yang tidak menentu sekarang. Maksud saya, hidup manusia dalam serba tertekan.

Maksudnya, masyarakat perlu melakukan sesuatu dan tidak boleh memandang mudah mengenai hakikat tersebut. Saya bimbang, keadaan itu akan menjadi "trend" yang akhirnya terus menjadi ancaman utama kepada nyawa manusia di negara ini.

Sebagai masyarakat yang bertamadun, perbuatan membunuh diri adalah sesuatu yang sangat menjijikkan walau apa pun alasannya. Hidup ini masih terlalu banyak ruang dan peluang. Ia bergantung kepada kebijaksanaan dan keupayaan kita mengurus hidup ini. Selain itu, sokongan serta dokongan pelbagai pihak amat diperlukan bagi membendung gejala ini.

Selain yang lain-lain, orang politik juga kena tengok juga keadaan ini. Jangan terlalu asyik berpolitik, bermain politik atau mempolitikkan segala-galanya tanpa memikirkan isu yang besar ini.

Walaupun soalan mengenai perkara ini dibangkitkan oleh wakil pembangkang dari DAP, namun ia ternyata menarik melalui jawapan yang diberikan. Bagi saya, usaha menangani masalah ini adalah tanggungjawab bersama. Jangan biarkan atau serahkan kepada individu sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka.

Cuma saya takut dan khuatir, pada suatu masa ada yang sanggup membunuh diri kerana politik. Ia pasti lagi parah. Berhati-hatilah.