Jumaat, 28 November 2008

YB DATUK HAJI RAZALI DALAM KENANGAN

PRIHATIN ... Allahyarham sentiasa turun padang menemui rakyat. Beliau mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai sempena Ramadan

Lagi sumbangan bubur lambuk

Berbual bersama Saya dan Datuk Che Mat Jusoh (tengah)

Bersama saya pada sidang media di perkarangan Balai Raya Kg Masjid Tok Ku

Assalamualaikum ...
Saya amat terkejut dengan berita pemergian seorang pemimpin yang amat saya kagumi, YB Datuk Haji Razali Ismail ke rahmatullah lewat petang tadi di Institut Aminudin Baki, Genting Highland ketika sedang bermain badminton bersama rakannya. Kebetulan, saya juga berada di puncak gunung itu kerana menyertai program pemukiman UMNO Terengganu.

Sebagai pemimpin Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), kami ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham dan bagi kami pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar dan berharga kepada fraterniti pendidikan negara.

Satu kenangan yang tidak mungkin dapat dilupakan ialah apabila wakil GPMS sempat bersama Allahyarham sewaktu Persidangan Meja Bulat PPSMI baru-baru ini. Allahyarham sememangnya seorang yang sangat profesional dan komited kepada pelaksanaan PIPP.

Lebih menyentuh perasaan kerana dua minggu kebelakangan ini, Allahyarham telah membuat beberapa pengumuman yang selari dengan pandangan GPMS iaitu i) mengadakan mata pelajaran vokasional di semua sekolah bermula di tingkatan satu, ii) mewajibkan subjek sejarah dalam sistem pendidikan.

Perhimpunan Agung Tahunan GPMS akan datang pastinya bakal mengucapkan rasa bangga dan terima kasih di atas sikap yang begitu responsif beliau dan Kementerian Pelajaran terhadap isu-isu yang diketengahkan GPMS.

Kami mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan para salihin dan seseungguhnya sumbangan besar beliau dalam bidang pendidikan negara akan terus dikenang selama-lamanya oleh rakyat di negara ini.

Alfatihah!

Sabtu, 22 November 2008

BERKEBUN BANYAK MANAFAATNYA

MENUAI HASIL ... Bersama isteri tercinta memetik hasil tanaman
BERGUNA ... Walaupun laman rumah yang terhad, tanaman ini masih menjadi

Lagi menuai hasil kacang bendi... Tak payah ke pasar lagi

DAH TINGGI ... memotong pokok yang semakin meninggi.

HATI-HATI ... Kadangkala pokok yang tidak dijaga dengan baik akan mudah terdedah dengan serangan serangga

Inilah kebun kebanggaanku...

Yang ini pun ...

Sudah lama saya tidak mencatatkan di laman ini. Maklumlah, kesibukan telah menjadi penghalang utama. Hari ini saya ingin berkongsi mengenai pengalaman menanam sayur. Ya, menanam sayur. Jika anda melihat foto-foto yang saya paparkan di atas, ia seperti di satu kawasan kebun. Tidak!. Sebenarnya ia hanyalah di halaman rumah saya sahaja.

Kini baru saya sedar bahawa banyak faedah jika kita memanafaatkan kawasan kosong di laman rumah kita. Tiak payah lagi ke pasar apabila hanya perlu memetiknya sahaja apabila ia sudah berhasil. Dengan dibantu oleh isteri tercinta, Syarifar Nur Madinah, kebun saya itu telah dijaga dengan baik. Dengan tanaman lada atau cili dan kacang bendi, pengalaman bercucuk tanam ini amatlah mengembirakan.

Jadi, kepada anda, apa yang ditunggu lagi. Berkebunlan di halaman rumah anda kerana ia sebenarnya bukan sahaja dapat memuaskan hati tetapi banyak memberi faedah kepada kita semua.

Selamat berkebun.







Khamis, 30 Oktober 2008

ISU MORAL, TERNAK ANAK DAN USAHA KITA

Pelajar adalah pewaris kecemerlangan bangsa dan negara. Apakah usaha kita dalam memartabatkan mereka sudah memadai?.


Apa sudah jadi dengan pelajar kita?. Itu yang sering bermain di fikiran saya bila memikirkan pelbagai isu-isu moral yang berkaitan dengan golongan berkenaan hari ini. Minggu lalu misalnya, kita dikejutkan dengan kisah seorang pelajar perempuan tingkatan dua di Perlis yang tergamak menendang gurunya sendiri kerana semata-mata guru itu membuat teguran kepadanya yang menulis perkataan kesat dalam laporan kerja kursus. Demikianlah kurang ajar dan biadabnya pelajar tersebut. Selepas disiasat, tindakan memecat pelajar terbabit diputuskan. Baguslah.

Manakala pada 19 Oktober lalu, kisah pelajar yang terlibat dalam rakaman klip video dengan aksi-aksi lucah dan menakjubkan pula terbongkar. Kononnya ia adalah hasil pembangunan globalisasi. Masyarakat modenlah katakan, itulah lagaknya sampai sanggup lupa harga diri dan maruah. Apa nak jadi!. Sebagai reaksi kepada isu-isu berkaitan, Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Haji Razali Ismail dipetik sebagai berkata, bahawa peratus salah laku pelajar dalam tempoh sepuluh bulan tahun ini “hanyalah” 2.08 peratus daripada 5.8 juta pelajar. Angka tersebut masih dianggap rendah dan tidak meningkat berbanding statistik yang dicatatkan tahun lalu lalu. Tapi kalau dibuat perkiraan, 2.08 peratus daripada 5.8 juta pelajar, jumlah yang merosot nilai moral dan hodoh perangainya tentunya berjumlah ribuan orang. Apakah ia kecil?. Saya tidak fikir begitu.

Walaupun mungkin kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran itu benar, namun isu yang peratusannya adalah kecil tetapi kesan negatifnya sangat tersebar, maka ia tidak boleh dipandang mudah. Bagi saya, ia bukan isu remeh walaupun mungkin dalam keadaan terpencil. Nilai moral golongan pelajar tidak boleh dipandang mudah meski pun ia melibatkan seorang pelajar. Ironinya apa yang saya sebutkan itu, setiap peristiwa yang negatif selalu dijadikan “panduan” atau “perhatian”. Jika tidak dibendung, ia akan menyebabkan persepsi kita terhadap isu sebenar akan tersasar jauh, seolah-olah majoriti pelajar kita yang terlibat. Jadi suka tidak suka, kita kena tanganinya.

Soalnya, di manakah peranan kita sebagai anggota masyarakat terhadap isu seperti itu?. Adakah oleh kerana ia bukan melibatkan anak kita, maka apalah yang perlu kita pedulikan. Adakah wajar begitu?. Atau adakah, masalah orang, biarlah orang itu yang tanggung dan selesaikan, maka kita menjadi pemerhati yang hilang sensetivitinya?. Sampai bila kita hendak menjadi masyarakat yang sebegini?. Anak bukan seperti haiwan yang kita ternak. Diberi makan dan minum secukup sekadar untuk hidup tetapi soal kehidupan, kita berikannya kebebasan yang mutlak. Saya bukan terlalu sinis tetapi hakikatnya ramai di kalangan ibu bapa hari ini bersifat menternak anak. Walaupun mungkin tidaklah semua tetapi ramai juga begitu. Apa tidaknya, soal moral dan disiplin anak-anak diserahkan sepenuhnya kepada guru di sekolah. Ibu bapa buat apa?.

Percayalah, sama ada yang terlibat dengan gejala seperti itu adalah anak kita atau tidak, jika kita tidak bertindak dengan bijak dalam menanganinya, ia bakal mengundang satu ancaman besar kepada negara dan masyarakat. Kita tidak ada pilihan selain bangkit memperkasakan pembangunan modal insan di kalangan anak-anak dan golongan pelajar yang menjadi anggota masyarakat. Mereka adalah sebahagian daripada kita.

Kita kena mulakan. Hanya itu pilihan yang ada. Ingat, setiap langkah itu bermula dari yang pertama dan setiap yang banyak akan bermula daripada yang sedikit. Oleh itu, saya mengemukakan cadangan berikut untuk penelitian serta pertimbangan Kementerian Pelajaran:

1. TAMBAHLAH JUMLAH GURU KAUNSELING DI SEKOLAH TU…. TAK CUKUP SEKADAR 1 : 500 PELAJAR SAHAJA.


2. BINALAH SEKOLAH KHAS BAGI MENGUMPULKAN MEREKA YANG BERMASALAH BUKAN TAHAP KES-KES JUVANA SEPERTI CERITA DI ATAS ATAU SAMA DENGAN KES TERSEBUT, JANGAN BILA DISINGGIR, MERAYU, … LULUS DAN HANTAR KE SEKOLAH HARIAN BIASA LAIN. IA TIDAK MENYELESAIKAN MASALAH YANG ADA.

Bagi saya, jika Sekolah Elit, Sekolah Kluster boleh dibina, mengapa sekolah sebegitu tidak boleh dibina. Apa lagi alasannya!. Kita tidak boleh mengambil keputusan yang terlewat. Saya bimbang kita tidak mempunyai ruang waktu yang cukup untuk memperbetulkan keadaan jika kelewatan bertindak berlaku. Jangan kita fikir bahawa isu ini hanya bersifat peribadi. Ia adalah anak-anak masyarakat kita, pewaris masa depan negara dan bakal mencorakkan dunia akan datang.


Fikirkanlah apa yang saya catatkan hari ini.


Isnin, 27 Oktober 2008

KEMERIAHAN DI AIDILFITRI

Menjamu selera .. anak buah dari GPMS Cawangan Khas UiTM Terengganu ketika berkunjung ke rumah di Taman Desa Paloh, Losong.

Bersama abang kedua, Syed Hassan Syed Mohamad dan keluarga

Berselera ... Lagi anak buah GPMS Cawangan Khas UiTM Terengganu di rumah.

Bersama isteri ... Anak buah dari GPMS Cawangan Khas UiTM Terengganu

Akrab ... Abang kedua, Syed Hassan Syed Mohamad bersama anak-anak saya

Bersama adik, Sharifah Ruhaiza Syed Mohamad dan anaknya, Sharifah Nur Hafizah

Bergaya ... Hajjah Shukriah A Mubin tersengeh kekenyangan sebelum pulang dari beraya di rumah

Bersama ibu tersayang, Tuan Azizah Chik dan abang sulung, Syed Mohamad Suhaimi Syed Mohamad

Berkumpul ... Bersama kakak, Sharifah Salmiah Syed Mohamad (Baju hijau) dan suami, Syed Sufian Syed Harun

Bersama bapa mertua, Syed Ahmad Syed Abdul Rahman dan ibu mertua tersayang, Sharifah Khatijah Syed Hussin

Terimalah ... Bersama Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Haji Razali Ismail ketika mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai di perkarangan Balai Raya Kampung Masjid Tok Ku.

Bersama ... Mengiringi Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Haji Razali Ismail pada sidang media selepas majlis pengagihan bubur lambuk anjuran UMNO Kg Masjid Tok Ku.

Berbincang ... Sempat berbincang sesuatu bersama Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Haji Razali Ismail dan Dato' Haji Che Mat Jusoh.

TERIMA KASIH ...

PEMIMPIN BERJIWA RAKYAT

Selasa, 7 Oktober 2008

SYUKUR DAN AIDILFITRI

Saya bersama YB Dato' Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri dalam satu pertemuan bersama pelajar di Kuala Terengganu.
Salam Syawal,

Saya amat gembira kerana semakin ramai yang melayari laman saya ini. Banyak pandangan yang mereka berikan dan segala pandangan tersebut amatlah berguna bagi saya dalam memperkemaskan lagi laman ini. Ternyata, ramai yang menarik mengenai isu-isu semasa yang berkaitan pendidikan. Dan ini terbukti apabila ramai di kalangan pembaca yang memberikan komen-komen membina. Apa pun, saya amat gembira.

Alhamdulillah kita dapat bersama-sama mengisi bulan Syawal ini dengan penuh rasa syukur dan bertuah. Berbanding dengan umat Islam di negara lain, beginilah kita - amat bertuah sekali. Maka sewajarnya kita bersyukur di atas segala nikmat yang ada. Namun, agak menyedihkan apabila ramai di kalangan masyarakat kita yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih. Macam-macam fatwa mereka keluarkan bagi menghalalkan segala apa yang mahu mereka lakukan.

Berat benar mereka hendak bersyukur dan berterima kasih di atas segala kejayaan yang dicapai kerajaan. Bagi mereka, puak-puak malaun itu, mereka hanya mahu melihat kesalahan kerajaan sahaja. Apa sahaja yang dilakukan kerajaan adalah salah di mata mereka. Itu saja yang mereka pandai. Hakikatnya, segala kemakmuran dan nikmat yang mereka sendiri kecapi adalah hasil usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ada hari ini. Kalau pembangkang, belum tentu lagi apa akan jadi dengan negara kita. Saya sendiri pun tidak tahu menggambarkannya.

Jadi, janganlah kita mudah sangat terpedaya dengan manusia yang hanya pandai melihat orang lain sebagai salah belaka sedangkan diri mereka sendiri sebenarnya bergelumang dengan najis dan kekotoran. Biasanya begitulah.

Oleh itu, sebagai rakyat, kita mesti tahu meletakkan diri kita di mana. Kita mesti melihat apa yang benar-benar ada di depan kita dan memperakuinya jika ia benar. Usah kita cuba memadamkan kebaikan orang lain hanya semata-mata kerana kita tidak bersetuju dengan orang itu. Mana boleh!.

Persepsi kita kena berubah. Janganlah nikmat kita kecapi tetapi nak berterima kasih kita tak mahu. Itu bukan sifat manusia namanya tu. Maaf, kasar sikit. Namun itulah hakikatnya dan saya perlu sebut mengenainya.

Marilah kita insaf dan menjadi insan yang terbaik dan memperakui setiap kebaikan yang diberikan kepada kita. Ingatlah, kebaikan yang kita beri, maka kebaikan jualah yang akan menjelma di dalam hidup kita.

Selasa, 30 September 2008

AIDILFITRI DAN CHUA JUI MENG

Semangat .... Ketika menyertai lawatan menziarahi pelajar
di luar negara


Salam Aidilfitri,

Dalam suasana kita sudah bersiap sedia dalam segala-galanya bagi menyambut Aidilfitri hari ini, kita dikejutkan dengan kenyataan calon Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng beberapa hari lalu yang mahukan dasar Dasar Ekonomi Baru (DEB) dikaji semula. Apa ke jadahnya ni!. Saya pun pelik dan sangat marah dengan sikap manusia yang bodoh atau mungkin sengaja memperlihatkan kebodohan dirinya sendiri apabila membangkitkan isu tersebut. Siapa Jui Meng yang mahu mempertikaikan DEB dan mengapa sekarang dia nak bangkitkan semua itu sedangkan ketika berada di dalam kerajaan, apa yang dia buat.

Kadangakala saya pening memikirkan, apakah signifikannya isu itu dibangkitkan walau di atas apa sebab sekali pun. Jika kerana mahu menarik perhatian perwakilan partinya, lalu dimainkan isu tersebut, maka jelas sekali bekas Menteri Kesihatan itu sudah hilang pertimbangan. Malah, saya bersetuju dengan pandangan banyak pihak mengenainya bahawa cara itu adalah kaedah lapuk dalam berpolitik.

Patutlah politik Jui Meng tidak ke mana, rupanya begini cara dia berpolitik. Saya tidak nampak langsung apa kelebihan isu ini dimainkan bagi menarik sokongan perwakilan. Maka tidak hairanlah jika Jui Meng ditolak oleh ahli-ahli MCA sendiri. Kalau kerana mahu mendapat publisiti secara murahan, sekarang bukanlah masanya. Sebagai seorang yang pernah berada di dalam kabinet kerajaan, beliau tidak sepatutnya menjadi manusia yang buta hati dan buta sejarah (Mungkin sengaja membutakan segala-galanya) dalam menilai sesuatu isu, apatah lagi yang berkaitan dengan DEB.


Lagi pun, apa kena mengena DEB dengan Jui Meng!. DEB adalah satu dasar yang konsisten bagi membantu rakyat yang faedahnya bukan sahaja dinikmati oleh orang Melayu, malah bukan Melayu juga turut mendapat tempiasnya. Ia tidak boleh dilihat dari perspektif yang amat sempit sepertimana Jui Meng melihatnya. Dan, yang paling penting ia adalah dasar yang telah dipersetujui bersama. Ia sudah termaktub. Maka, mengapa ia wajar dipertikaikan lagi. Bermakna, jika ada yang cuba mempertikai dasar tersebut, ia tentunya mempunyai niat tersembunyi.

Jelas sekali apa yang dibangkitkan itu mengundang kemarahan masyarakat Melayu di negara kita. Maka saya fikir, sudah sampai masanya kerajaan bertegas dalam hal ini agar isu-isu sensetif tidak dimainkan dengan begitu mudah atau sewenang-wenangnya. Kita tidak boleh memandang apa yang berlaku ini dengan mudah kerana jika dibiarkan, ia mampu menjadi satu penyakit yang sukar diubati.

Manusia yang mulutnya celupar tanpa memikirkan sensitiviti, maka tindakan wajar diambil ke atas mereka. Saya bimbang, keadaan ini jika berterusan, ia akan menyebabkan sesuatu yang tidak sihat sama sekali. Rakyat nilailah sendiri apa yang dibangkitkan itu. Bagi saya, ia adalah satu simbol kebodohan dalam berpolitik yang akhirnya menyebabkan masalah kepada orang lain yang tidak ada kena mengena dengan mereka.

Sudah acapkali diingatkan agar jangan ada mana-mana pihak yang sengaja bermain api kerana bahayanya amatlah menakutkan. Sampai bilakah kita hendak dibiarkan begini sehingga rakyat menjadi mangsa kepada kebebasan. Kebebasan apakah yang kita cari. Kita tidak mahu apabila kita terlalu bebas dan diberikan kebebasan tetapi akhirnya kita juga yang menggigit jari.

Fikirlah dengan seadil-adilnya. Selamat menyambut Aidilfitri. Maaf Zahir Batin.



Ahad, 28 September 2008

SELAMAT PULANG PERANTAU


Tinggal sehari sahaja lagi, kita semua akan menyambut ketibaan 1 Syawal, iaitu hari kemenangan selepas sebulan menjalani ibdah puasa di bulan Ramadhan. Kemeriahan bagi meraikan lebaran kian terasa, apatah lagi sudah ramai yang mula bercuti dan menuju ke kampung halaman masing-masing. Begitu cara orang kita, budaya mereka dan setiap kali tibanya Syawal, maka kampung halaman adalah destinasi yang dituju. Alhamdulillah, kita bersyukur.

Dalam tempoh sehari yang berbaki di dalam Ramadan yang bakal kita tinggalkan ini, selain kanak-kanak, anak-anak perantau adalah mereka yang lebih gembira meraikan kedatangan Syawal. Mereka adalah antara yang amat ghairah untuk kembali menjengah kampung halaman yang sekian lama ditinggalkan demi satu nilai perjuangan dalam hidup mereka.

Mereka pasti mahu bergembira, berkumpul bersama keluarga yang sentiasa terpisah kerana menunaikan tanggungjawab atau mencari rezeki. Tentu sekali pertemuan yang bermakna itu akan menimbulkan pelbagai cerita serta kisah. Yalah, orang kampung mana sama dengan orang kota atau bandar. Cerita mereka pun pasti berbeza-beza. Itulah yang menariknya satu pertemuan di hari lebaran.

Saya bukan mahu mengajar tetapi sekadar memberikan pandangan agar pertemuan di awal Syawal ini tidak tercemar dengan pelbagai cerita-cerita karut. Maklumlah, kadangkala kita bercakap berdasarkan sesuatu yang kita dengar dan bukannya apa yang kita lihat atau rasakan sendiri. Biasanya memang cerita yang ditambah-tambah, walaupun tidaklah benar tetapi sedap didengar. Bila berkumpul, elakkan cerita-cerita yang tidak berfaedah kerana ia tidak mendatangkan apa-apa pun kepada kita.

Maklumlah sekarang ini terlalu banyak isu-isu yang panas diperkatakan. Kadangkala ia langsung tidak benar. Di awal Syawal ini, marilah kita melupakan segala sengketa sesama kita. Usaha kita pertahankan sesuatu yang tidak sepatutnya kita pertahankan di dalam diri kita hanya semata-mata kerana kepentingan yang dianggap kecil di dunia ini. Kita tidak boleh terlalu egoistik dan merasakan bahawa hanya kita yang betul, manakala orang lain salah belaka. Tidak boleh begitu.

Syawal adalah bulan kemenangan. Kemenangan bagi mereka yang tahan pada cabaran dan tahu mengisi Ramadhan dengan jayanya. Perantau pun begitu. Mereka tidak boleh menjadi golongan yang terjebak dengan cerita dongeng semata-mata. Marilah kita semua bermaaf-maafan di hari raya.

Kepada anak perantau, saya doakan kejayaan mereka, keselamatan mereka di perjalanan serta kemeriahan yang dicari di hari lebaran sebagai sesuatu yang mampu mereka kecapi. Hidup ini, jika tiada kemeriahan, di manakah nilainya. Saya berbangga dengan anda, saya percaya adalah adalah sebahagian daripada nilai kegembiraan sekian banyak anak kampung yang sedang menanti anda.

Selamat pulang anak perantau … Salam Aidilfitri.



Sabtu, 20 September 2008

OH TULISAN JAWI ENGKAU SEMAKIN DILUPAKAN



Sudah beberapa hari saya tidak menulis, lantaran kesibukan tugas. Maklumlah, kehidupan ini amat menuntut kita bekerja dan melunaskan banyak perkara. Itulah kehidupan sebenarnya. Dalam diam, Ramadhan semakin hampir meninggalkan kita dan kini kita dalam satu pencarian, iaitu mencari malam LAILATUL QADAR. Doa saya, semoga Ramadan kita tahun ini telah dilalui secara terbaik dan meninggalkan kesan yang amat dalam. Ia sebenarnya amat menguji kehidupan kita.

Hari ini, saya ingin mengajak anda semua sebagai sahabat seperjuangan untuk merenung sejenak mengenai satu aset paling penting buat bangsa kita. Tulisan jawi. Ya, tulisan jawi yang saban masa telah diperjuangkan oleh kita semua, namun ia tetap dengan wajah yang sama. Bagi generasi selepas merdeka, apatah lagi mereka yang hidup di era melanium ini, tulisan jawi adalah sesuatu yang boleh dianggap sebagai sudah terkubur di sanubari kita. Hakikatnya, sebahagian besar daripada kita telah hanyut dibawa arus kemajuan, kemodenan dan hidup dalam dunia yang sudah tiada bersempadan lagi.


Ah!, apa hendak dipeduli kepada tulisan jawi. Apa Class. Demikian antara luahan kurang ajar daripada sesetengah pihak mengenai tulisan jawi. Ya memang kita kecewa. Saya pun sama seperti anda. Merasai apa yang terbuku di hati anda. Persoalannya, apakah kita perlu korbankan warisan nenek-moyang kita hanya semata-mata kita ingin dilihat hebat dan moden?.

Ingatlah sahabatku, pemodenan bukan bermaksud mengorbankan harta pusaka, pemodenan bukan bermaksud menidakkan perjuangan nenek-moyang kita dan pemodenan bukan bermaksud kita hebat bercakap bahasa Inggeris bertelorkan (Bulan telur) bahasa Melayu atau bercakap bahasa Inggeris lebih hebat daripada mat salleh !!!.


Realitinya ialah, tulisan jawi ini mesti diperkasakan. Bagaimana kaedahnya?, maka kita semualah yang mesti memikirkannya. Ingat, jika bukan kita yang wajar memainkan peranan dalam memperkasa dan menghidupkan tulisan jawi, maka kepada siapa yang mahu kita harapkan?.


Apa yang ada di depan mata saya dan anda semua adalah sesuatu yang amat mengkagumkan. Saya terpegun dengan kecanggihan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan saya terkelip-kelip melihat kehebatan Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Terengganu yang hampir 100 % siap TAPI saya sedih kerana kedua-duanya amat malu untuk memaparkan tulisan jawi di celah-celah tulisan rumi!. Sampai begitu sekali teruknya akal fikiran kita terhadap tulisan jawi. Apa sudah jadi sebenarnya dengan orang kita. Apakah tulisan jawi itu terlalu jijik sehingga ia dilihat boleh membawa pencemaran terhadap nilai pembangunan dan perubahan yang ada?.


Kita terlalu manja sebenarnya, mengalah kepada tuntutan keadaan tanpa menyedari bahawa nilai budaya bangsa dan khazanah yang ditinggalkan nenek moyang ini amat ternilai dalam hidup kita. Kita boleh membesarkan tulisan rumi atau bahasa Malaysia atau bahasa-bahasa lain tanpa terselit tetapi kita amat malu untuk mempamerkan tulisan jawi. Ada dakwaan kononnya tulisan jawi tidak mampu menarik kedatangan pelancong atau seumpamanya.


Sehingga sekarang, saya masih tidak mampu berfikir mengenai perkara tersebut mengenai betapa bebalnya otak masyarakat kita mengenai isu tersebut. Kadangkala bagi saya, ia hanya tercetus disebabkan gangguan perasaan atau gangguan andaian kita sendiri. Kita terlalu cepat mengalah dan merasai kita sudah kalah sedangkan kita tidak melakukan apa-apa pun terhadap apa yang wajar kita lakukan. Kita terlalu cepat meletakkan hukuman terhadap sesuatu kes tanpa memikirkannya secara mendalam mengenai kesan terhadap tindakan kita.


Bagi saya, kepentingan tulisan jawi wajib dipertahankan dan diperkasakan walau dengan apa cara sekalipun. Ia adalah sebahagian daripada roh bangsa kita, peninggalan nenek moyang kita dan cerminan betapa Islam itu sebenarnya telah bertapak sekian lama di negara kita.


MALAYSIA OH TANAH AIRKU… APA SUDAH JADI.

Selasa, 9 September 2008

PPSMI vs BISP : ANTARA NAFSU DAN AMANAH BANGSA




  1. Baru-baru ini kita dikejutkan dengan kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato’ Haji Razali Ismail, bahawa terdapatnya guru-guru yang terlibat dengan Program Pengajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan dianugerahkan dengan Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) dengan tujuan bagi membolehkan guru-guru berkenaan menggunakan pemberian itu untuk dimanfaatkan ke arah mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Namun ia tidak mencapai matlamat sebahagian sahaja yang berbuat demikian.


Jika benar kenyataan tersebut, ia merupakan satu pencabulan amanah yang amat menjijikkan dan amat memalukan. Bagi saya, janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Bukankah profesion perguruan merupakan tanggungjawab yang amat mulia dan terpuji.

Maka amatlah malang jika perkara tersebut dicabuli dengan rasa tidak bertanggungjawab. Harus diingat bahawa wang kerajaan yang disalurkan kepada mereka adalah juga wang rakyat. Setiap penyalahgunaannya adalah satu pengkhianatan terhadap hak rakyat.

Harus diingat bahawa setiap usaha kerajaan wajarlah direalisasikan dengan sebaik mungkin, sejajar dengan amanah yang diberikan. Saya sedih jika perkara yang didedahkan itu benar-benar berlaku dan mahukan ia tidak terus berulang. Ingat bahawa kerajaan menyediakan pelaburan yang besar demi memastikan rakyat kita khususnya di kalangan anak-anak kita sendiri mendapat peluang pendidikan terbaik. Justeru, jika amanah yang diberikan telah dikhianati, apa lagi yang tinggal untuk mereka.

Marilah kita bermuhasabah di bulan Ramadhan yang mulia ini, BISP adalah satu amanah yang disediakan demi kepentingan bangsa kita. Janganlah nanti akibat hilang kawalan nafsu, kita korbankan masa depan anak-anak yang dahagakan ilmu kita.

Sama ada kita menyukainya atau tidak, PPSMI telah dilaksanakan dan UPSR 2008 adalah produk sulungnya. Jangan kita terbuai dengan kemahuan yang tidak terbatas sehingga lupa kepada tanggungjawab sebenar yang wajar kita pikul. Saya bimbang, jika isu ini terus berlarutan dan matlamat yang diharapkan gagal dicapai, maka kegagalan itu akan ditunding kepada kerajaan sedangkan kerajaan telah menyediakan segala-galanya untuk kita membantu anak-anak kita mencapai kecemerlangan.

Sebagai warga pendidik yang diamanahkan, saya berdoa mereka yang terlibat dengan sikap yang tidak bermoral itu bermuhasabah diri dan menilai semula tindakan yang mereka lakukan. Belum terlambat sebenarnya untuk kita kembali ke pangkal jalan. Kita tidak boleh terus tersesat dalam keadaan kita sedar jalan yang sedang kita lalui itu adalah salah.

Sedarlah bahawa tanggungjawab kita adalah penentu kepada masa depan negara. Kegagalan kita akan menyebabkan wajah negara mungkin tercemar dan apabila itu berlaku, yang akan menikmati kesusahan ialah kita sendiri. Apakah itu yang kita mahu?. Ia mungkin menjadi satu persoalan yang baik untuk kita semua merenunginya. Kepada guru yang telah berjaya menggunakan amanah yang diberikan, saya ucapkan syabas dan terima kasih. Anda tentu sekali menjadi insan yang sayangkan bangsa dan generasi kita masa depan. Saya sedar bahawa anda adalah insan yang memahami apa yang kerajaan mahukan dan kerana itu anda telah menjaga amanah yang diberikan dengan begitu baik dan sempurna.

Saya yakin, kejujuran dan ketaatan anda dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan adalah satu kebanggaan, bukan sahaja bagi saya tetapi pastinya seluruh rakyat yang amanahnya sedang berada dalam genggaman kita.

Marilah kita terus memandang ke depan dan jika ada kekurangan akibat pelaksanaannya tergesa-gesa, ia bukan bermakna kita hentikanya setelah jutaan wang rakyat kita laburkan. Marilah kita sama-sama memperbaiki kelemahan yang ada agar kita tidak dikatakan hangat-hangat tahi ayam... saya yakin guru kita merupakan guru yang amanah dan mendidik anak bangsa kerana Allah dan demi masa depan bangsanya…fikir-fikirkanlah………

Isnin, 8 September 2008

UPSR: KEJAYAAN ANAK-ANAK, KITALAH PENDORONGNYA


Alhamdulillah, kita baru sahaja selesai Sembahyang Terawih yang ke-sembilan malam tadi dan semoga Allah terus memberikan hidayah kepada kita untuk terus menunaikan Sembahyang Terawih sehingga penghujung Ramadhan nanti. Alhamdulillah kita sama-sama dapat menyempurnakan ibadah puasa dengan sebaik-baiknya.


Hari ini, 9 September 2008 bermulalah satu detik penting kepada anak-anak kita. Mulai hari ini, mereka akan menempuh satu perjuangan yang getir bagi peperiksaan UPSR, ujian pertama kepada pendakian seterusnya ke puncak kecemerlangan ke arah membina modal insan berminda kelas pertama.


Saya percaya bahawa walaupun ujian tersebut dilalui ketika Ramadan masih berbaki, namun ia tidak penah mematahkan semangat anak-anak yang pastinya telah bersedia lebih awal untuk berhadapan dengan cabaran ini. Sebagai umat Islam, Ramadan bukan sahaja menjanjikan pelbagai fadilat, malah cabaran pada bulan ini juga mampu membuatkan kita kuat dalam semua perkara.


Saya mendoakan, kita memperolehi banyak keberkatan daripada Ramadan ini untuk anak-anak kita berjaya. Sebenarnya tidak ada yang mustahil sama sekali.


Justeru itu, sebagai ibu bapa terbilang, jom kita temani anak-anak kita ke sekolah kerana kehadiran kita akan memberikan kekuatan dan semangat kepada mereka untuk berjuang di dewan peperiksaan. Perkara itu sememangnya nampak mudah tetapi ia amat sukar untuk dilakukan oleh segelintir ibu bapa pelajar.


Namun, dengan kehadiran Ramadan ini, kita berikan rangsangan dan dorongan kepada mereka, semoga mereka akan lebih yakin untuk menjawab setiap soalan dengan penuh ketenangan. Saya percaya, kekuatan anak-anak kita memasuki dewan peperiksaan juga ada pada kita. Kehadiran kita sebagai ibu bapa kepada mereka akan menyebabkan semangat mereka terus membara, mahu membuktikan kejayaan kepada kita dan ingin menjadi pelajar yang hebat.


Saya gembira kerana melihat calon yang bakal menduduki UPSR yang saya temui tidak merasa takut, bermasalah atau bimbang dengan situasi di bulan Ramadan ini. Malah dari segi persediaan, saya nampak mereka sudah lebih bersedia dengan hebatnya, manakala keyakinan yang diberikan juga cukup meyakinkan.


Akhirnya, saya menyarankan kepada ibu bapa dan saya sendiri agar meluangkan waktu emas ini, di saat yang agak getir buat anak-anak tercinta untuk kita sentiasa bersama mereka memberikan rangsangan dan dorongan tanpa henti.


Teruskanlah perjuangan untuk anak-anak kita itu. Kejayaan mereka pastinya menjadi kebanggaan kita juga. Suburkan semangat itu di setiap sanubari anak-anak yang kita sayangi bahawa mereka mampu berjaya dengan cemerlangnya.


Selamat menduduki peperiksaan UPSR kepada anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Salam Hormat.


DISIPLIN PELAJAR, DI MANAKAH KITA


Salam Ramadhan,

Syukur hari ini saya dapat terus menulis di laman ini untuk tatapan anda semua. Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada anda kerana sudi membaca dan berkongsi idea serta pandangan mengenai pelbagai isu-isu pendidikan di negara ini.

Hari ini saya ingin mengajak anda berfikir mengenai satu isu yang mungkin dipandang remeh oleh sebahagian daripada kita tetapi ia sebenarnya amat membimbangkan jika tidak atau gagal ditangani dengan sebaik mungkin. Isu pelajar-pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah. Itulah topik yang hendak saya kongsikan dengan anda hari ini.

Sebagaimana yang kita sedar dan sedia maklum bahawa pelajar yang didapati melakukan kesalahan disiplin dan diambil tindakan buang sekolah, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah. Sudah menjadi perkara biasa, rayuan pelajar berkenaan diterima dan mereka akan ditempatkan di sekolah lain yang difikirkan sesuai. Maksudnya, mereka tidak lagi meneruskan pelajaran di sekolah lama.

Dan, itulah situasi yang telah sekian lama berlaku tetapi ia mungkin terlepas pandang oleh kita, apatah lagi kalau kita bukannya dalam golongan pendidik. Sebenarnya, apa yang berlaku itu telah menambahkan masalah sedia ada di sekolah berkenaan dan kadang-kala mereka ini akan bergabung dengan spesis yang sama dengan mereka.

Dan apabila itu berlaku, ia telah mendedahkan sekolah tersebut kepada masalah disiplin yang lain. Justeru, ia tidak menyelesaikan masalah. Malah dalam keadaan tertentu, ia bakal menimbulkan masalah yang baru. Apakah itu wajar? Sama-sama kita fikirkan, jangan kita hanya lambakkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memikirkannya……..MALAYSIA OH TANAH AIRKU

Jumaat, 5 September 2008

TULISAN PERTAMA, SALAM PERKENALAN



Assalamualaikum ...
Alhamdulillah saya dapat bersama anda melalui laman blog ini. Saya gembira kerana dapat bersama anda berkongsi ilmu, pandangan, idea dan apa sahaja demi untuk kebaikan apa saja. Saya namakan laman ini sebagai GERBANG ILMU sesuai dengan perjuangan saya dalam memperkasakan ilmu, membentuk sahsiah unggul di kalangan pelajar dan memastikan pendidikan bangsa Melayu terus terjamin.
Walaupun saya tidak mempunyai waktu yang mencukupi untuk menulis di laman blog ini, namun di atas nasihat dan pandangan rakan-rakan, saya gagahi jua untuk membina laman ini. Dan, apabila saya bersedia membina laman ini, maka ia bermaksud saya juga telah bersedia untuk menulis setiap waktu mengenai pelbagai perkara dengan memberikan fokus terhadap isu-isu yang saya maksudkan tadi. Selepas melihat, membaca dan mengikuti beberapa laman blog yang mengupas pelbagai isu dan kebetulan laman blog ini mempunyai pengaruhnya tersendiri, maka saya percaya saya juga mampu berkongsi apa saja dengan anda semua.
Saya berjanji dengan anda bahawa saya akan mengupas isu-isu semasa dengan rasa tanggungjawab dan penuh kesedaran demi memperkasakan pendidikan bangsa. Itu janji saya. Dan, saya amat senang sekali apabila melalui laman ini, saya mampu meluahkan apa sahaja yang terbuku di hati saya dan apa juga yang terdetik di fikiran saya.
Bagi saya, terdapat banyak isu-isu yang boleh diketengahkan. Ada yang boleh disiarkan di media massa, dan juga juga yang hanya sekadar dibaca melalui laman ini. Saya menydari betapa sebenarnya kita sekarang ini sedang mendepani pelbagai cabaran semasa. Pelajar dan generasi muda kita misalnya. Ramai di kalangan mereka yang dilihat bagaikan hanyut dengan arus kemodenan dan kemajuan tanpa bimbingan. Hal itu jika dibiarkan, maka ia akan terus merosakkan anak bangsa.
Sebagai seorang pemimpin pertubuhan pelajar tertua di negara ini, saya tidak dapat mengelak untuk merasai sentuhannya terhadap apa yang sedang dan telah berlaku. Bagi saya, sesuatu wajar dilakukan agar masalah yang berlaku itu tidak terus berlarutan. Oleh itu, banyak perkara yang mungkin kita boleh fikirkan bersama demi untuk kebaikan kita semua.
Saya tidak mahu menulis terlalu panjang dalam tulisan saya yang pertama ini. Cukuplah ia sekadar bersifat satu sentuhan semata-mata. Kita sebenarnya mempunyai masa masa dan waktu untuk membaca tulisan-tulisan saya nanti.
Bersabarlah, saya akan terus menulis di ruangan ini untuk anda semua. Salam perkenalan dari saya dan semoga apa yang sedang dan akan dikongsikan bakal memberikan keuntungan kepada kita semua, insya'Allah.
Salam Hormat.