Rabu, 25 Januari 2012

SEKADAR RENUNGAN

Tatkala Anwar Ibrahim tersenyum lebar kerana terlepas daripada tuduhan liwat, anak buahnya Adam Adli, penuntut semester Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (TESL) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dijatuhkan hukuman digantung pengajian selama tiga semester bermula pada awal semester II sesi 2011/2012 sehingga akhir Semester II sesi 2012/2013 akibat tindakannya menurunkan bendera tertera gambar Perdana Menteri di PWTC tempoh hari. Pelajar ini juga dikatakan pernah mempunyai kes tatatertib lalu dan pernah diberikan amaran oleh pihak UPSI dan dia juga didapati melanggar akujanji yang diikrar pada 29 Jun 2009.

Kadang-kadang terfikir di minda saya, mengapa ia terjadi kepada seorang mahasiswa yang bukan bodoh, malah pintar di dalam akademik (saya katakan pintar kerana dia pelajar TESL) tetapi mudah tercabar emosinya akibat provokasi melampau oleh mereka yang berkepentingan. Sifat egois melampaunya terserlah apabila beliau menyatakan tidak akan merayu kepada Lembaga Tatatertib UPSI kerana hukuman yang dijatuhkan itu berdasarkan Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) yang “ dia tidak pernah iktiraf “. Beliau juga tanpa segan mengaitkan ahli Lembaga Tatertib yang membuat pendakwaan dan menjatuhkan hukuman adalah terdiri daripada orang UMNO. Mengapa perlu diseret UMNO di dalam semua hal? Apakah semua orang UMNO tidak berintergriti di dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah? Apakah bila kita dilepaskan baru kita nak menyatakan bahawa peraturan itu adil dan jika sebaliknya kita salahkan UMNO?

Yang saya lebih pelik beliau dan rakan-rakannya berjuang agar Akta Universiti dan Universiti Kolej (AUKU) dihapuskan tatkala pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk mengkaji AUKU ini. Alangkah baik jika sekiranya mereka bersabar sehingga jawatankuasa berkenaan selesai mengumpulkan pandangan daripada semua pihak sebelum membuat apa-apa tindakan yang akhirnya merugikan diri sendiri (tak tahulah kot-kot Adam Adli tidak merasa rugi setelah digantung pengajiannya). Kita seharusnya faham bahawa sesuatu akta itu bukanlah boleh dipinda atau dihapus secara sewenang-wenangnya tanpa kajian menyeluruh dan mematuhi semua peraturan yang ada temasuk dibentangkan di Dewan Rakyat untuk kelulusan. Ingatlah, kita berada di sebuah negara demokrasi yang berteraskan undang-undang yang digubal dan diluluskan oleh Dewan Rakyat, bukannya menggunakan hukum rimba yang berdasarkan kekuatan fizikal semata-mata.

Saya tidak pasti sama ada pelajar ini datangnya daripada keluarga mewah yang tidak akan merasakan apa-apa beban akibat penggantungan pengajian ini, namun saya penuh yakin selepas ini pelajar ini akan menghabiskan masa penggantungannya dengan terus memburukkan sistem pentadbiran negara yang telah menanggung kos hidupnya dalam bentuk subsidi sejak di dalam perut ibunya sehingga kini.

Memang kita berada di negara demokrasi yang memberikan seluas mungkin ruang untuk kita memberikan pandangan, namun demikian kita juga harus ingat bahawa kita juga diikat dengan peraturan-peraturan yang digubal demi keutuhan, kesejahteraan dan ketenteraman keseluruhan rakyat di negara ini.

Justeru itu saya menasihatkan seluruh mahasiswa khasnya MAHASISWA MELAYU agar tidak terus membiarkan diri dimanupulasi dan di eksploitasi oleh golongan yang mempunyai agenda tersendiri. Usah kita menjadi kuda tunggangan untuk melompat ke sana ke sini tanpa kita fikirkan akibatnya kepada masa depan kita. Gunakanlah keintelektualan minda yang dikurniakan Allah itu untuk kita mempertimbangkan sesuatu perkara sebelum kita membuat apa-apa tindakan. Gunakanlah kecerdikan akal kita itu untuk kita menilai sesuatu perkara dengan rasional tanpa dipengaruhi emosi yang boleh membakar harapan ayah dan ibu di kampung yang telah sanggup berkorban apa sahaja demi masa depan kita. Jangan kita menjadi anak derhaka sehingga menitiskan air mata kesedihan oleh kedua ibu bapa kita akibat tindahan bodoh dan tidak cerdik kita itu.