Sabtu, 14 Mei 2011

TERIMA KASIH CIKGU

Assalamualaikum.

Walaupun sudah 11 bulan bersara sebagai pendidik, namun jiwa seorang guru masih begitu kuat di sanubari saya. Mungkin kerana saya telah meluangkan masa selama hampir 19 tahun sebagai pendidik, maka perasaan itu tetap ada di hati saya. Itu yang saya fikirkan.

Apa yang pasti, guru adalah satu profesion murni yang sangat besar pengorbanannya dalam melahirkan anak bangsa berpendidikan, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri sebagai pembentuk masa depan negara.

Sebagai bekas seorang guru dan masih bergiat aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) pendidikan, kedatangan hari ini guru tahun ini, sangat meninggalkan kesan buat saya. Apatah lagi, inilah sambutan hari guru pertama selepas saya meninggalkan profesion perguruan.

Hakikatnya, saya sangat terharu kerana sehingga kini saya masih diingati pelajar yang sentiasa menghubungi saya, sama ada melalui pertemuan ataupun laman sosial facebook. Sebagai seorang bekas guru kaunselor, masih ramai pelajar yang meminta pandangan serta tunjuk ajar daripada saya dalam menangani setiap masalah yang mereka hadapi.

Maksudnya, mereka bukan sahaja masih menganggap saya sebagai guru mereka, tetapi pada masa yang sama, peristiwa itu menyebabkan saya merasakan bahawa saya seolah-olah masih belum bersara. Inilah yang menyentuh perasaan saya.

Apa pun, sebelum mengambil keputusan nekad untuk bersara lebih awal dalam usia 45 tahun, saya menaruh iltizam untuk terus memberikan sumbangan dan bakti dalam bidang pendidikan. Justeru, saya telah diberikan amanah sebagai Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) bagi meneruskan agenda memperkasakan pendidikan anak bangsa.
Dengan tema Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, sambutan Hari Guru 2011 ternyata meletakkan guru sebagai pemain utama dalam membina ketamadunan dan keintelektualan generasi muda.
Tema itu juga bagi saya telah menjadi satu amanah besar ke atas bahu golongan guru ke arah mencorak dan membentuk masa depan negara.

Saya juga ingin menarik perhatian bahawa langkah kerajaan memperkasakan sekolah vokasional merupakan satu langkah yang tepat dan perlu didokong oleh golongan guru. Saya yakin dan percaya apabila sekolah vokasional dinaiktaraf kepada Kolej Vokasional, sudah pasti ia bakal menarik lebih ramai penyertaan anak muda menceburi bidang-bidang berkemahiran tinggi yang bakal disediakan di Kolej Vokasional dan mungkin terus dinaiktarafkan lagi kepada Universiti Politeknik.
Melalui produk yang akan negara lahirkan, maka tidak mustahil Malaysia akan mampu menjadi sebuah negara perindustrian setaraf dengan Findland dan Jerman.

Saya juga sebenarnya gembira dengan kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan akan mengumumkan berita gembira untuk warga guru sempena sambutan Hari Guru tahun ini yang dilihat sebagai tanda penghargaan dan terima kerajaan kepada mereka.

Sehubungan itu, adalah sesuatu yang sangat wajar untuk guru bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memberikan kecaknaan terhadap nasib golongan guru. Oleh itu, marilah kita menjadikan peristiwa ini sebagai satu permulaan baharu untuk lebih memberikan tumpuan terhadap profesion perguruan dengan meletakkan pembinaan dan memperkasakan akal budi anak bangsa sebagai satu keutamaan tanpa dicelarukan dengan pelbagai idealogi-idealogi sempit yang akhirnya akan melencong daripada tugas hakiki kita sebagai seorang guru.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Guru kepada bekas guru-guru saya yang telah mendidik dan membimbing saya sehingga mampu menjadi insan berguna. Saya yakin dan percaya bahawa tanpa jasa bakti mereka, sudah pasti hari ini saya tidak berada di tahap saya kecapi masa kini.

Kepada semua warga guru, saya ucapkan selamat menyambut Hari Guru 2011. Sama-sama kita terus komited dan beriltizam dalam meningkatkan profesionalisme perguruan ke arah menjana tranformasi pendidikan negara.

Terima kasih cikgu.