Jumaat, 23 Julai 2010

NAK PERPADUAN PUN ADA SYARAT?

Assalamualaikum.

Masih lagi mengenai isu perpaduan Melayu. Nampaknya semakin hari, isu ini semakin menarik. Bukan sahaja yang melibatkan UMNO, malah apa yang berlaku di sebelah Pas juga agak menarik. Hari ini saya ingin melontarkan pandangan mengenai perkembangan terkini dalam isu ini.

Pertama, saya sangat kecewa apabila Pas seringkali meletakkan syarat untuk berunding dengan UMNO, walau di atas apa tujuan sekalipun, terutamanya dalam soal perpaduan. Pelik juga ya. Kalau nak berbincang (untuk mencari kebaikan, bukan untuk kejahatan) mestilah ada syaratnya. Jika ini berlaku, saya tidak nampak, apa yang dihajatkan di sebalik isu ini akan menjadi kenyataan.

Bukan sekali dua. Sejak dulu lagi Pas berkata, kalau nak berbincang, kena penuhi syarat yang Pas mahukan. Saya masih ingat, antara syarat mereka dulu ialah kembali permit akhbar lidah rasmi Pas iaitu Harakah dan bebaskan Anwar Ibrahim. Saya ingat ada juga syarat supaya Pas Kelantan dibenarkan laksanakan hudud kea tau apa ke. Langsung tak ada. Sandiwara sungguh.

Kedua, saya nampak reaksi positif di kalangan generasi baharu Pas, terutamanya pemudanya. Mereka dengan matang bagi saya telah mendepani isu ini kerana saya yakin mereka melihat dan memikirkan apa yang bakal berlaku ke atas bangsa Melayu. Cuma Datuk Nik Aziz Nik Mat yang masih keras dan tidak mahu. Maka, selagi Nik Aziz ada, susah nak bergabung orang Melayu. Dan, saya tidak mahulah sampai berkata Nik Aziz menggalakkan perpecahan.

Yang lebih pelik lagi apabila hanya Nik Aziz yang bising sangat dalam hal ini. Ke mana Haji Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa yang sebelum ini dikaitkan dengan isu yang sama satu masa dulu. Nampak sangat kediktatoran dalam Pas apabila ia “dikuasai” Musryidul Am Pas dan bukan Presiden. Maka, apa guna Presiden dipilih dalam pemilihan parti?. Untuk apa kalau Presiden tidak bebas bersuara dan memberikan pandangan?.

Sepatutnya Nik Aziz bertanding melawan Haji Hadi pada muktamar Pas lalu baharulah selesai masalah. Kalau Nik Aziz menang, dia ada hak dan begitulah sebaliknya. Ini, selagi dua kepala ada dalam Pas, susahlah Melayu nak bersatu.

Dan ketika, saya tersenyum juga bila ada pihak melontarkan pelbagai kritikan dan pandangan sinis dengan gesaan Mufti Perak, Datuk Sri Harussani Zakaria yang sebelum ini menawarkan diri untuk menjadi orang tengah dalam menyelesaikan masalah perpecahan umat Islam ini, terutamanya di kalangan UMNO dan Pas.

Lebih mendukacitakan lagi, ada yang tergamak mencabar ulama itu agar meletakkan jawatan dan menyertai politik. Pelik sungguh. Kalau beliau sudah menyertai politik, bagaimana beliau mahu menjadi orang tengah. Hari ini beliau adalah bebas dan apa yang beliau lontarkan adalah hasil penelitian dan kajiannya jujur beliau. Beliau tidak mempunyai apa-apa kepentingan selain mahu melihat umat Islam kembali kuat dan hebat.

Saya sangat bersetuju dengan beliau bahawa dengan keadaan perpecahan di kalangan umat Melayu yang kian ketara, kuasa Melayu boleh hilang. Itu orang Melayu harus sedar dan mereka tidak harus berada dalam angan-angan lagi.

Politik orang Melayu hari ini tidak berpada-pada. Mereka terlalu melampau, ghairah dan gilakan kuasa sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk menggadai maruah bangsa sendiri. Itulah masalahnya.

Oleh itu, marilah kita merenungi apa yang saya catatkan hari ini. Sama-samalah kita fikirkannya.