Isnin, 19 Oktober 2009

BULAN BAHASA ... DI MANA KITA


Oktober 2009 telah dinobatkan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan di Kuching, Sarawak baru-baru ini. Tahniah di atas inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), khasnya kerana terus berperanan dalam memartabatkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita yang telah diperakukan oleh Perlembagaan Negara.

Serentak dengan itu, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan diarah melasanakan program bahasa peringkat masing-masing di sepanjang bulan Oktober ini.

Pada saya, kempen memperkasakan bahasa kebangsaan perlu dijalankan sepanjang tahun sehingga setiap ahli masyarakat faham akan tanggungjawab dan peranan masing-masing ke arah memartabatkannya, sama ada yang tinggal di ceruk desa mahu pun bapak Menteri yang berkuasa.

Sempena dengan kempen yang mulia ini, saya ingin mencadangkan agar dikembalikan istilah bahasa Melayu sebagaimana yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sehingga ke hari ini pun, saya masih kurang faham atau dok reti kata orang Terengganu, mengapa kabinet ketika mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengubahnya ke bahasa Malaysia?. Apakah kerana nak tunjukkan keluhuran budi kita terhadap bukan Melayu sehingga kita sanggup mencabuli perlembagaan kita sendiri?.

Saya juga ingin mencadangkan agar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), tolonglah rujuk kepada pakar-pakar bahasa khasnya di DBP, sebelum meluluskan pendaftar sesebuah syarikat agar nama-nama tersebut tidak memperkosa kedaulatan bahasa Kebangsaan.

Biasanya kita menyalahkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) apabila meluluskan sesuatu papan iklan walaupun bahasanya tidak betul atau tidak tepat. Walhal kelulusan tersebut berdasarkan nama syarikat yang diluluskan oleh SSM. Pada saya, dalam hal ini, SSM yang perlu dipertanggungjawabkan, bukannya PBT.

Saya juga memohon pemimpin-pemimpin agar apabila bercakap khasnya melalui media elektroknik agar gunakanlah bahasa Melayu yang tulin dan tepat. Jauhkan dari menggunakan bahasa rojak dan tunggang terbalik. Jangan nanti kita dikatakan bagai ketam mengajar anak berjalan betul tapi kita sendiri... kadangkala kita ini lebih Inggeris daripada orang putih.

Akhirnya, perlu diteliti dan dikaji semula semua drama yang sewaktu dengannya yang disiarkan di televisyen setiap hari. Betulkah bahasa yang digunakan. Tidak perlu bercakap pelat Cina dengan orang Cina dan jangan bertutur pelat India dengan orang India kerana datuk nenek kita telah bersetuju menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di bumi tercinta ini.

Syabas dan tahniah kepada Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Rais Yatim kerana sentiasa beristiqamah dalam menggunakan bahasa kebangsaan yang betul dan tepat. Namun... jangan biarkan televisyen kita terus menerus merogol bahasa kita.