Selasa, 21 Julai 2009

UPSR: MENGAPA MESTI DIMANSUHKAN

Tak ada sebab UPSR mesti dimansuhkan - gambar hiasan.

Assalamualaikum ...

Tatkala Datuk Razali Ibrahim, seorang menteri muda melontarkan idea agar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana ia dilihat sekadar penanda aras untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh, ia telah mengundang pelbagai reaksi yang bersifat pro dan kontra. Pelbagai pihak mula "melenting" dan berlumba-lumba untuk memberikan pandangan. Apa pun, ia tetap menjadi satu diskusi yang menarik. Demikianlah hebatnya isu pendidikan di hati rakyat kita. Mereka amat sensitif dan terlalu cepat melatah mengenainya. Sama ada ia ke arah yang positif atau sebalik, ia tetap menterjemahkan satu maklum balas yang ketara daripada mereka.

Sebagai seorang aktivis pendidikan, saya juga terpanggil untuk memberikan pandangan. Tidak kisahlah pandangan tersebut diterima atau sebaliknya kerana saya amat insaf bahawa saya hanyalah seorang insan kerdil di celah insan-insan ternama. Namun begitu, saya tetap terpanggil untuk menyatakan pandangan saya mengenai isu ini untuk sama-sama kita renung dan fikirkannya.

Pada saya, UPSR masih lagi relevan dan tidak perlu dimansuhkan. Cumanya, ia mungkin perlu kepada penambahbaikan agar ia lebih memberikan keadilan kepada pelajar khasnya yang jauh daripada nikmat pembangunan. Masalah kita hari ini, apabila sesuatu itu tidak sempurna, kita amat mudah mencadangkan agar ianya dimansuhkan atau dihapuskan. Takkanlah rumah kita yang rosaknya atap dan dapur, maka hendak kita roboh semua keseluruhan rumah. Tidak logik kan.

Begitu juga dengan UPSR, bukan dimansuhkan tetapi perbaiki akan setiap kelemahan yang ada kerana maklumlah sejak diperkenalkan pada tahun 1983, sudah tentu banyak perkara yang perlu diperbaiki berdasarkan keperluan semasa. Mungkin dulu kita hanya memberikan fokus kepada akademik atas alasan kurangnya persaingan. Namun keadaan hari ini sudah jauh berubah dan berbeda. Lantaran itu bagi saya, fokus yang lebih perlu diberikan kepada elemen-elemen sahsiah, kewarganegaraan, kesukanan dan kepimpinan.
Penilaian akademik pula perlu dikurangkan, mungkin sampai ke tahap 30 peratus sahaja dan ia perlu merupakan satu penilaian berdasarkan sekolah dan tidak sebagaimana sekarang: murid di Hulu Terengganu menjawab soalan yang sama dengan murid di Bandaraya Kuala Lumpur... adil ke?.

Saya fikir, untuk ke sekolah berasrama, perlu diadakan ujian khas agar beberapa aspek tambahan dapat dilengkapkan dalam diri murid agar mereka betul-betul bersedia dari segi fizikal dan mental.

Itu pandangan saya, anda bagaimana?