Ahad, 12 Julai 2009

DEMOKRASI: DI MANAKAH TANGGUNGJAWAB KITA

Salam bloger …


Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa lebih dua juta daripada pemilih yang layak mengundi didapati telah tidak mendaftar sebagai pemilih. Bagi mereka yang membaca laporan tersebut, mungkin ia dibaca secara sekilas pandang sahaja. Tidak lebih dari itu.

Namun bagi mereka yang tahu menilai erti demokrasi, jumlah tersebut tentunya menyentuh perasaan mereka. Saya tidak faham mengapa perkara sedemikian boleh berlaku. Di manakah tanggungjawab anak-anak muda kita terhadap negara melalui hak yang diberikan dalam sistem demokrasi. Terlalu sibuk sangatkah mereka sehingga mereka tidak mampu mendaftar sebagai pemilih atau pengundi.

Saya juga tidak mampu menyembunyikan perasaan bimbang saya terhadap perkara tersebut. Bimbangnya, antara lain saya terlalu khuatir apabila ramai anak muda kita tidak berbuat demikian bukan kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab, tetapi mereka tidak tahu dan tiak memahami mengenai tanggungjawab tersebut. Lebih membimbangkan lagi, saya amat khuatir jika anak-anak muda kita bagaikan tidak lagi berminat dengan politik dan bosan dengan cara masyarakat kita berpolitik. Dan, kerana itu mereka mengambil sikap berkecuali dan tidak ingin mengambil tahu mengenai politik serta pilihan raya. Faktor ini tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja sebenarnya.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama pendedahan dibuat SPR mengenai isu tersebut. Malah sebelum ini pun ia pernah didedahkan SPR, namun ia bagaikan tidak meninggalkan apa-apa kesan. Di mana peranan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO). Apakah mereka juga tidak kisah dengan apa yang sedang anda saksikan?. Entahlah.

Cuma saya fikir, sudah sampai masanya kita semua dan pihak berkenaan memikirkan kaedah sesuai dengan melaksanakan satu kaedah yang drastik bagi menangani masalah ini. Walaupun ia mungkin akan menemui jalan yang sukar, namun saya ingin mengemukakan beberapa pandangan berkaitan di sini. Bagi saya, kalau ia melibatkan soal dasar dan akta, maka kita kena ubah. Apa yang penting, setiap warga Negara dilibatkan dalam proses menentukan kepimpinan Negara. Mungkin cadangan berikut ada baiknya diteliti oleh kita semua.

1. Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengarahkan semua Naib Canselor agar mendaftarkan pelajar mereka yang telah layak.

2. Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu memantau semua institut pendidikan guru agar guru-guru pelatih yang layak boleh mendaftar sebagai pemilih.

3. Semua majikan, sama ada swasta ataupun kerajaan, mereka mesti memastikan kakitangan di bawah jagaan mereka mendaftar sebagai pemilih.

4. Semua Wakil Rakyat perlulah memastikan setiap ahli masyarakat yang layak di kawasan masing-masing untuk mendaftar sebagai pemilih.

Marilah kita sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan setiap daripada warga Negara yang layak mengundi akan mendaftar sebagai pemilih disamping diberikan kefahaman mengenai tanggungjawab mereka memilih kerajaan yang berwibawa dan mampu melaksanakan amanah Negara dan bangsa.

Fikirkannya.