Khamis, 30 Julai 2009

AL FATIHAH ..... Satu Lagi Ujian Buat Umno


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur awal pagi Jumaat.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini selepas beberapa hari menjalani rawatan di institut itu.Ketika dihubungi Bernama di sini, beliau berkata, jenazah Mohd Hamdan dijangka tiba di rumahnya di Permatang Pasir pukul 2 petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini selepas solat Asar.

Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri selama 14 tahun itu menjadi ADUN Permatang Pasir selama tiga penggal mulai tahun 1999 sehingga sekarang, dan kini merupakan satu-satunya ADUN PAS di negeri ini. DUN Permatang Pasir terletak di kawasan Parlimen Permatang pauh.Menurut adik lelakinya, Mohd Shukran, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Siti Khariah Ismail dan enam orang anak.Katanya, beliau mendapat berita mengenai kematian abang sulung daripada 14 adik beradik itu pada kira-kira pukul 7.15 pagi ini."Abang saya itu mengadu penat dan sakit dada dan dibawa oleh anaknya ke IJN untuk pemeriksaan dan rawatan. Beberapa tahun lalu, beliau pernah menjalani pembedahan jantung," katanya.

Menurutnya, isteri Allahyarham tidak menemani suaminya itu di IJN kerana tidak sihat.Mohd Hamdan, yang berasal dari Kedah, baru sahaja menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk kira-kira tiga minggu lalu sempena hari lahir Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.Allahyarham, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Wan Mohamad Saman, Sungai Korok Alor Setar dan lulus Senior Cambridge pada 1963.

Mohd Hamdan kemudiannya mengikuti pendidikan agama Islam di bawah naungan Majlis Agama Islam Kedah sehingga ke peringkat IV Thanawi pada 1965.Allahyarham juga pernah mengikuti program intensif pentadbiran awam di Intan pada 1970 dan mendapat latihan pentadbiran umum di Kolej Pentadbiran dan Latihan Kastam di Melaka pada 1978.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru bahasa di Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah selama dua tahun mulai 1964 dan merupakan bekas pegawai tadbir negeri Kedah antara tahun 1966 dan 1977.Beliau pernah bertugas sebagai pegawai tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dari tahun 1977 hingga 1983.Allahyarham juga aktif dalam pergerakan belia dan pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia pada 1973 dan mewakili PAS Pulau Pinang sebagai Anggota Pemadam pada 1989 hingga 1999

Isnin, 27 Julai 2009

NIK AZIZ LAGI ...

Kalau nak bersatu, biarlah ikhlas dan jangan sampai keputusan yang diambil itu sudah terlewat

Assalamualaikum dan salam bloger …

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat buat lawak lagi. Tak sampai sebulan dia mengamuk mengenai idea Kerajaan Perpaduan tajaan Presiden Pas, Haji Hadi dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa sehingga kecoh satu Malaysia dibuatnya, tiba-tiba Nik Aziz pula bercakap mengenai perpaduan dan ingin lupakan sengketa politik dengan Umno. Apa ertinya dan apa muslihatnya.

Orang Umno kena berhati-hati sikit dalam menyambut lambungan bola oleh Nik Aziz itu. Jangan nanti ada yang dituduh terhegeh-hegeh seperti isu Kerajaan Perpaduan tempohari. Jangan terlalu cepat memberikan reaksi positif kerana dibimbangi kulitnya bagus, isinya berkulat. Berilah peluang kepada Haji Hadi, Nasharuddin, Nik Aziz dan Husam Musa bincang dahulu mengenai perkara tersebut agar jangan nanti, batu dilempar tetapi dituduh tangan orang lain pula sebagai angkaranya.

Biar ianya menjadi satu keputusan rasmi Pas yang disepakati oleh mereka dan bukannya kita menyambut sesuatu yang hanya semata-mata terkeluar daripada mulut Nik Aziz yang sememangnya terkenal dengan politik belit. Orang Umno mesti mengambil iktibar di atas apa yang pernah berlaku. Mereka jangan terlalu ghairah sehingga lupakan apa yang pernah berlaku.

Jangan hendak ditenggelamkan isu lilin dan baju hitam di Nizar Jamaluddin, isu perpaduan dan berbaik-baik pula dijadikan umpan. Kita jangan terlalu murah terperangkap dan memasuki perangkap. Mari kita mempelajari sesuatu daripada sejarah walaupun kadangkala yang belum menjadi sejarah itu lebih baik daripada yang telah tersejarah.

Perpaduan antara Umno dan Pas bukanlah terlalu sukar tetapi ia dihalang oleh tembok pemikiran pemimpn dan pengikut mereka sebagaimana Nik Aziz. Jika Nik Aziz jujur dalam isu perpaduan itu, saya juga gembira. Namun, saya lebih percaya semua itu adalah tipu muslihat Nik Aziz sendiri bagi menutup pelbagai kelemahan di dalam sekarang ini. Itu jelas bagi saya.

Ahad, 26 Julai 2009

TAMBANG DAN PELAJAR SEKOLAH

Salam bloger...

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan kenaikan tambang kenderaan awam atas alasan keperluan semasa. Ia bagi membantu pengusaha kenderaan awam. Dan, seperti biasa, ia akan mengundang diskusi yang pro dan kontra di kalangan masyarakat kita. Ada yang bersetuju dan ada pula yang sebaliknya. Ada juga yang sengaja menangguk di air yang keruh. Biasalah. Ada yang menyatakan kepada saya: “ Dah kalau dinaikan harga tambang, di mana slogan rakyat didahukan?.”

Dengan sinis dan spontan saya menjawab, pengusaha kenderaan awam pun adalah rakyat yang perlu diutamakan, didahulukan. Mereka bukan kayu dan kerana itu, mereka juga perlu diberikan pertimbangan yang wajar dalam kita mengisi pembangunan dan mencipta pembaharuan.

Secara ikhlas dan peribadi, saya menyokong langkah tersebut memandangkan keperluan semasa yang dianggap kian terdedak. Pengusaha pengangkutan awam dan wagra pekerjanya juga mempunyai tuntutan keperluan hidup yang sama seperti kita. Mereka adalah sebahagian daripada kita sebenarnya. Itu jika kita mahu memahaminya.

Cuma, jika saya boleh mencadangkan agar rakyat pengguna kenderaan awam khasnya pelajar juga dijadikan keutamaan. Bagaimana?.

Mungkin untuk pelajar, dengan cara menunjukkan kad pelajar @ kad matrik @ memakai uniform sekolah, mereka secara automatik akan mendapat potongan harga tambang. Boleh tak begitu. Kalau tak sesuai, kita fikirkan cara lain yang penting mereka tidak terbeban dengan langkah dan keputusan terbaharu kerajaan itu.

Walaupun kita memahami bahawa semua orang mahu membebaskan diri daripada sebarang kenaikan, namun jika kita bersikap memahami tuntutan kehidupan orang lain yang sama dengan kita, kita akan sedar betapa semua yang diputuskan kerajaan itu adalah satu keperluan untuk semua.

Dan, dalam konteks ini, pelajar adalah golongan yang tidak terkecuali. Mereka pasti adakan antara golongan yang bakal berhadapan dengan kesan kenaikan. Maka kerana itu saya cadangkan agar golongan berkenaan diberikan kelonggaran dan peluang tertentu. Sebenarnya, kita mampu melakukannya.

Selasa, 21 Julai 2009

UPSR: MENGAPA MESTI DIMANSUHKAN

Tak ada sebab UPSR mesti dimansuhkan - gambar hiasan.

Assalamualaikum ...

Tatkala Datuk Razali Ibrahim, seorang menteri muda melontarkan idea agar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana ia dilihat sekadar penanda aras untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh, ia telah mengundang pelbagai reaksi yang bersifat pro dan kontra. Pelbagai pihak mula "melenting" dan berlumba-lumba untuk memberikan pandangan. Apa pun, ia tetap menjadi satu diskusi yang menarik. Demikianlah hebatnya isu pendidikan di hati rakyat kita. Mereka amat sensitif dan terlalu cepat melatah mengenainya. Sama ada ia ke arah yang positif atau sebalik, ia tetap menterjemahkan satu maklum balas yang ketara daripada mereka.

Sebagai seorang aktivis pendidikan, saya juga terpanggil untuk memberikan pandangan. Tidak kisahlah pandangan tersebut diterima atau sebaliknya kerana saya amat insaf bahawa saya hanyalah seorang insan kerdil di celah insan-insan ternama. Namun begitu, saya tetap terpanggil untuk menyatakan pandangan saya mengenai isu ini untuk sama-sama kita renung dan fikirkannya.

Pada saya, UPSR masih lagi relevan dan tidak perlu dimansuhkan. Cumanya, ia mungkin perlu kepada penambahbaikan agar ia lebih memberikan keadilan kepada pelajar khasnya yang jauh daripada nikmat pembangunan. Masalah kita hari ini, apabila sesuatu itu tidak sempurna, kita amat mudah mencadangkan agar ianya dimansuhkan atau dihapuskan. Takkanlah rumah kita yang rosaknya atap dan dapur, maka hendak kita roboh semua keseluruhan rumah. Tidak logik kan.

Begitu juga dengan UPSR, bukan dimansuhkan tetapi perbaiki akan setiap kelemahan yang ada kerana maklumlah sejak diperkenalkan pada tahun 1983, sudah tentu banyak perkara yang perlu diperbaiki berdasarkan keperluan semasa. Mungkin dulu kita hanya memberikan fokus kepada akademik atas alasan kurangnya persaingan. Namun keadaan hari ini sudah jauh berubah dan berbeda. Lantaran itu bagi saya, fokus yang lebih perlu diberikan kepada elemen-elemen sahsiah, kewarganegaraan, kesukanan dan kepimpinan.
Penilaian akademik pula perlu dikurangkan, mungkin sampai ke tahap 30 peratus sahaja dan ia perlu merupakan satu penilaian berdasarkan sekolah dan tidak sebagaimana sekarang: murid di Hulu Terengganu menjawab soalan yang sama dengan murid di Bandaraya Kuala Lumpur... adil ke?.

Saya fikir, untuk ke sekolah berasrama, perlu diadakan ujian khas agar beberapa aspek tambahan dapat dilengkapkan dalam diri murid agar mereka betul-betul bersedia dari segi fizikal dan mental.

Itu pandangan saya, anda bagaimana?

Isnin, 20 Julai 2009

JANGAN BUANG, BINA SEKOLAH KHAS

Kita dukacita dengan sikap mereka tetapi jangan terlalu melihat hukuman sebagai penyelesai kepada masalah. Pelajar bermasalah perlu diberikan peluang dan ruang melalui kaedah yang lebih sesuai termasuk mewujudkan sebuah Sekolah Khas buat mereka

Salam bloger …

Baru-baru ini sekali lagi kita dikhabarkan mengenai tingkah-alku anak-anak kita yang di luar kebiasaan. Atau dengan kata lain, anak-anak kita kini telah tergamak melakukan sesuatu yang suatu ketika dulu tidak kita fikirkan mengenainya. Apakah ini maknanya erti sebuah kemerdekaan atau apakah ini maksudnya kita telah hampir mencapai status sebuah negara maju yang kita inginkan. Entahlah.

Apa yang saya maksudkan ialah mengenai kenakalan empat anak remaja perempuan kita yang baharu menjejakkan kaki ke sekolah menengah tetapi telah terlibat dengan kegiatan pergaduhan dan pembulian. Perkara itu telah dilaporkan melalui media baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila ia berlaku di kawasan pedalaman yang sentiasa dikaitkan dengan sindrom lambat menerima pembaharuan. Nampaknya budaya bandar telah sampai ke luar bandar. Maklumlah dunia sudah tiada sempadannya lagi, maklumat pula sudah hilang tapisan, maka terjadilah tingkah laku yang di luar kawalan itu.

Dan seperti biasa, budaya bangau oh bangau mengambil tempat dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kata pelajar ini dah bermasalah di sekolah asal lagi, lalu ditukarkan ke sekolah berkenaan. Guru pula kata, bukan salah mereka sebab ia terjadi di luar kawasan sekolah dan waktu sekolah. Maka bersihlah tangan.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) pula menjawab, kita telah ambil tindakan buang dan gantung sekolah mereka yang terlibat. Kita sentiasa tegas dalam soal ini, kata mereka. Mak bapak pula?. Sekolah kurang ambil berat soal disiplin pelajar. Pulak dah. Jadi siapa yang salah?.

Di sini, saya tidak berminat membantu mencari siapa yang bersalah kerana masing-masing akan mendakwab tindakan yang mereka ambil adalah betul dan benar. Cuma saya mahu mengulangi beberapa kali mengenai pandangan yang telah saya lontarkan sebelum ini tetapi ia tidak mendapat sambutan daripada mereka yang berkuasa. Mungkin kerana ia adalah idea dan pandangan insan kerdil seperti saya yang tiada apa-apa kuasa penentu. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya saya telah cuba berkongsi jalan penyelesaiannya.

Apa yang telah acapkali saya sebutkan ialah betapa tindakan buang sekolah terhadap pelajar yang bermasalah hanya menjadi jalan penyelesai kepada masalah di sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi bukannya kepada pelajar. Pada saya, kita perlu memikirkan jalan lain, kaedah yang lebih sesuai dan menguntungkan serta sejajar dengan gagasan pemimpin negara yang mahu rakyat didahulukan atau dalam konteks ini, pelajar hendaklah didahulukan kerana mereka merupakan modal insan penentu wawasan kita.

Saya amat berharap agar dipertimbangkan untuk diwujudkan sebuah sekolah khas bagi menempatkan pelajar-pelajar yang dibuang sekolah dengan penyediaan modul tambahan di samping penerusan P & P seperti di sekolah harian biasa. Dan, ia bukan seperti amalan biasa sekarang ini iaitu apabila merayu, pelajar terbabit akan dihantar ke sekolah lain. Maka itulah berlakunya lambakan dan penyakit bangau oh bangau itu tadi apabila berlaku sesuatu kejadian sebagaimana yang dimaksudkan.

Pelajar yang bermasalah itu juga pada saya, mereka sedang melalui proses kematangan hidup. Hanya semata-mata kerana masalah yang disiarkan di media atau mungkin kerana mahu “menyelamatkan keadaan”, maka mereka dibuang sekolah dan menjadi manusia terbiar. Apakah kita langsung tidak mempunyai perasaan untuk memikirkan apakah nasib pelajar sedemikian. Apakah kerana kita “terlalu bencikan” mereka tanpa mahu memikirkan mengenai masa depan pelajar terbabit dan ke manakah mereka mahu pergi selepas dibuang sekolah?.

Jika kita boleh habiskan duit jutaan ringgit untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), jika kita mampu menanggung penghuni di pusat serenti yang semakin bertambah itu, mengapa pula kita terasa banyak sangat untuk dibelanjakan bagi merealisasikan idea insan kerdil ini.

Cuba kita kaji dan dibuat percubaan dahulu. Jika sesuai, laksanakan. Saya tidak fikir bahawa ia adalah satu pembaziran kerana pelaksanaan Dasar Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pun akhirnya kita mansuhkan kerana ia kurang berkesan.

Jumaat, 17 Julai 2009

BUDAYA MEMBACA: DI MANA KITA

Salam bloger, …

Membaca. Mungkin bagi sebahagian daripada kita tidak berminat dengannya. Sudah tentu ia menggambarkan tahap kesedaran kita mengenai budaya ilmu tersebut. Di negara kita, budaya membaca bukan sahaja tidak popular tetapi belum sampai ke tahap yang boleh dibanggakan.

Anda lihat di negara lain, buku menjadi antara sebahagian teman hidup mereka. Maka tidak hairanlah apabila seseorang penulis itu menghasilkan buku, mereka akan mudah menjadi kaya kerana hasil penulisan mereka yang sentiasa mendapat sambutan. Kita bagaimana?.

Buku novel fiskyen, Harry Potter misalnya telah menjadikan hasil tangan penulisnya, JK Rowing sebagai kegilaan ramai di seluruh dunia dan beliau yang pada asalnya hanya seorang wanita yang merempat telah muncul sebagai antara penulis yang paling popular dan kaya di dunia. Mengapa. Apa yang ditulis, ada yang membaca. Maka, itulah jadinya.

Di negara kita, bukan tidak ada bahan bacaan. Ada. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, berlaku lambakan terhadap bahan bacaan kerana kerana kurangnya pembaca. Malah, ramai penulis kita pun tidak ke mana.

Menurut satu statistik, rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar terlalu rendah peratusnya yang membaca buku. Hakikatnya ini bagi saya amat membimbangkan dalam sausana kita ingin melahirkan modal insan berminda glokal, penerus kepada impian dan harapan kepimpinan negara.

Justeru, setiap ahli masyarakat harus insaf akan fenomena membimbangkan ini. Marilah kita mencontohi Prof Diraja Engku Aziz yang sentiasa beristiqamah dalam mengamalkan prinsip ilmunya. Di antaranya menjadikan pembacaan sebagai satu sumber ilmu, sentiasa membaca buku catatan walaupun di mana beliau berada dan belajar seumur hidup telah dijadikan budaya hidup beliau.

Maka, begitu jugalah dengan mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa membawa buku catatan di mana-mana beliau pergi. Beliau adalah antara manusia yang kuat membaca.

Lantaran itu saya fikir, kita perlu menghidupkan kembali budaya membaca ini agar kita tidak akan ketandusan generasi berilmu di masa depan. Tentunya, kita perlu memulakannya di rumah dengan menyediakan sudut membaca yang dipenuhi dengan bahan bacaan yang sesuai dengan kita. Adakah anda sudah mempunyai sudut bacaan di rumah anda?.

Ajaklah anak-anak kita membaca bersama kita. Berinteraksilah bersama mereka mengenai apa yang mereka baca dan isu-isu semasa yang perlu mereka tahu dan fahami. Ingatlah bahawa di sekolah adalah satu permulaan dan di rumahlah sebenarnya pengukuhan budaya membaca.

Ahad, 12 Julai 2009

DEMOKRASI: DI MANAKAH TANGGUNGJAWAB KITA

Salam bloger …


Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa lebih dua juta daripada pemilih yang layak mengundi didapati telah tidak mendaftar sebagai pemilih. Bagi mereka yang membaca laporan tersebut, mungkin ia dibaca secara sekilas pandang sahaja. Tidak lebih dari itu.

Namun bagi mereka yang tahu menilai erti demokrasi, jumlah tersebut tentunya menyentuh perasaan mereka. Saya tidak faham mengapa perkara sedemikian boleh berlaku. Di manakah tanggungjawab anak-anak muda kita terhadap negara melalui hak yang diberikan dalam sistem demokrasi. Terlalu sibuk sangatkah mereka sehingga mereka tidak mampu mendaftar sebagai pemilih atau pengundi.

Saya juga tidak mampu menyembunyikan perasaan bimbang saya terhadap perkara tersebut. Bimbangnya, antara lain saya terlalu khuatir apabila ramai anak muda kita tidak berbuat demikian bukan kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab, tetapi mereka tidak tahu dan tiak memahami mengenai tanggungjawab tersebut. Lebih membimbangkan lagi, saya amat khuatir jika anak-anak muda kita bagaikan tidak lagi berminat dengan politik dan bosan dengan cara masyarakat kita berpolitik. Dan, kerana itu mereka mengambil sikap berkecuali dan tidak ingin mengambil tahu mengenai politik serta pilihan raya. Faktor ini tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja sebenarnya.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama pendedahan dibuat SPR mengenai isu tersebut. Malah sebelum ini pun ia pernah didedahkan SPR, namun ia bagaikan tidak meninggalkan apa-apa kesan. Di mana peranan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO). Apakah mereka juga tidak kisah dengan apa yang sedang anda saksikan?. Entahlah.

Cuma saya fikir, sudah sampai masanya kita semua dan pihak berkenaan memikirkan kaedah sesuai dengan melaksanakan satu kaedah yang drastik bagi menangani masalah ini. Walaupun ia mungkin akan menemui jalan yang sukar, namun saya ingin mengemukakan beberapa pandangan berkaitan di sini. Bagi saya, kalau ia melibatkan soal dasar dan akta, maka kita kena ubah. Apa yang penting, setiap warga Negara dilibatkan dalam proses menentukan kepimpinan Negara. Mungkin cadangan berikut ada baiknya diteliti oleh kita semua.

1. Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengarahkan semua Naib Canselor agar mendaftarkan pelajar mereka yang telah layak.

2. Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu memantau semua institut pendidikan guru agar guru-guru pelatih yang layak boleh mendaftar sebagai pemilih.

3. Semua majikan, sama ada swasta ataupun kerajaan, mereka mesti memastikan kakitangan di bawah jagaan mereka mendaftar sebagai pemilih.

4. Semua Wakil Rakyat perlulah memastikan setiap ahli masyarakat yang layak di kawasan masing-masing untuk mendaftar sebagai pemilih.

Marilah kita sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan setiap daripada warga Negara yang layak mengundi akan mendaftar sebagai pemilih disamping diberikan kefahaman mengenai tanggungjawab mereka memilih kerajaan yang berwibawa dan mampu melaksanakan amanah Negara dan bangsa.

Fikirkannya.

Jumaat, 10 Julai 2009

1MALAYSIA, ANDA FIKIRKAN INI

Salam bloger,

Orang kita bercakap mengenai 1 Malaysia, satu gagasan besar yang mampu membawa Malaysia ke era kecemerlangan yang tiada batasnya. Segala-galanya kini mahu kaitkan dengan 1 Malaysia – Bahasa, kebudayaan, perpaduan dan sebagainya sentiasa dikaitkannya. Ya, saya amat bangga dan gembira mengenainya kerana saya adalah antara rakyat Malaysia yang mendokong dan menyokong gagasan 1 Malaysia.

Sebelum ini saya menulis mengenai dasar Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris, PPSMI. Hari ini pun sama, saya mahu mengajak anda berfikir dan merenung mengenai topik PPSMI ini dan dikaitkan dengan gagasan 1 Malaysia.

Kita terlalu kecoh mengenai PPSMI kerana kononnya kita seolah-olah mahu mengagungkan Bahasa Inggeris. Malah, ia juga dikaitkan dengan gagasan 1 Malaysia. Nah!, cuba anda fikirkan mengapa di SJKC dan SKJT tidak menggunakan bahasa Melayu tetapi mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda. Apakah itu bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia kerana Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Apa akan jadi jika pemuda atau generasi di kalangan orang Cina dan India tidak lagi tahu atau fasih berbahasa kebangsaan?

Apakah agaknya perasaan anak Malaysia jika pendatang asing seperti Bangla boleh berbahasa kebangsaan lebih baik daripada orang Cina atau India?. Atau, adakah kita tidak terasa apa-apa dan di manakah pejuang bahasa kita, sasterawan Negara kita yang sebelum ini sanggup menyertai demonstrasi jalanan demi bahasa Melayu, demi bahasa kebangsaan dan demi Perlembagaan Negara kononnya.

Saya tidak dapat melindungi perasaan saya yang sedih, terkilan dan kecewa dengan perkara tersebut. Saya pelik, ke mana pejuang bahasa, pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya. Mereka memperlihatkan seolah-olah mereka mereka mahu menerima gagasan 1 Malaysia yang dianggap sesuai dan menguntungkan puak mereka sahaja sebagaimana juga dalam konteks ekonomi dan merit pendidikan. Bagaimanapun dalam soal penggunaan bahasa, mereka buat apa, mereka fikir apa, mereka pejuang apa. Mereka langsung tidak pentingkan 1 Malaysia.

Jelas mereka tidak menghayati dasar 1 Malaysia. Mereka mencari kepentingan di sebaliknya. Inilah rosakkan kita. Saya bukan perkauman tetapi saya mahu gagasan 1 Malaysia diterjemahkan dalam semua perkara dan bukannya berasaskan pemilihan tertentu yang ada kaitan dengan kepentingan kaum atau kumpulan.

Sampai bilakah semua ini akan berlaku. Segala-galanya terpulang pada anda.

Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI: Bukti Keterbukaan Kerajaan BN

Salam bloger …

Semalam, Rabu 8hb Julai 2009, Jemaah Menteri melalui mesyuarat kabinet telah membuat keputusan muktamad mengenai dasar pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012. Ini akan membawa maksud bahawa mulai tahun tersebut, mata pelajaran sains dan matematik kembali diajar dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Maknanya juga, murid Tahun Satu tahun depan akan mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2014 dalam bahasa Melayu dan begitu jugalah dengan pelajar tingkatan satu pada tahun 2010 yang akan menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Renda (PMR) pada tahun 2012 dalam bahasa Melayu.

Seperti anda, saya menarik nafas lega dan gembira dengan keputusan yang telah dibuat Kementerian Pelajaran Malaysia walaupun bagi saya, mungkin akan ada lagi isu-isu yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu dengan nada tidak berpuas hati terhadap kerajaan. Mungkin mereka mahu kerajaan mengubahnya serta-merta tanpa menunggu tahun 2012 atau meneruskan sistem yang sedia ada.

Itu pendapat mereka dan dalam sistem demokrasi, di antara kita adalah bebas bersuara dan bercakap. Apa yang penting bagi saya, saya yakin bahawa keputusan yang dibuat itu telah berdasarkan kepada kajian terperinci oleh pelbagai pihak termasuk pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan mengambil kira faktor masa depan kita, pewaris kepimpinan masa depan.

Sesungguhnya bagi saya, keputusan kabinet ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu akan terus dimartabatkan selaras dengan Perlembagaan Negara. Cuma, apa yang diharapkan selepas ini satu penggubalan secara menyeluruh sukatan pelajaran Bahasa Inggeris dibuat di semua peringkat ke arah memperkasakan bahasa tersebut sebagaimana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sebelas langkah memperkasakannya agar anak-anak kitaakan dapat menguasainya dengan lebih mudah dan efektif.

Sesungguhnya, langkah yang telah digariskan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan Bahasa Inggeris merupakan satu tindakan jangka panjang yang perlu didokong dan disokong oleh semua pihak termasuk parti pembangkang. Isu pendidikan adalah berkaitan masa depan anak cucu kita, bukannya untuk kepentingan politik mana-mana pihak.

Terima kasih YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas satu keputusan yang bijak, tepat dan amat kena pada ketikanya.

Rabu, 1 Julai 2009

AJAK DEBAT PULAK DAH ...

Salam bloger …

Ajak berdebat pulak dah. Inilah akibatnya apabila agama sentiasa menjadi alat politik dan kepentingan yang lain. Ini jugalah akibatnya apabila agama dicabuli demi memenuhi kepentingan peribadi. Dulu, tuduh UMNO sesat dan setaraf dengan komunis tetapi apabila mendapat pelbagai tentangan, dia mengaku kata bahawa semua itu hanyalah satu kiasan sahaja.

Kadangkala saya pun tak faham, sesekali bingung dengan apa yang berlaku. Mengapakah orang yang dianggap ulama, tokoh agama boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian – berbelit-belit dan tidak istiqamah. Saya juga pelik, dengan kenyataan yang sedemikian jelasnya bercanggah dengan ajaran agama, masih ramai pengikutnya yang fanatik.

Demikianlah Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sejak kebelakangan ini nampak sudah agak keterlaluan dalam kenyataan. Saya menterjemahkannya beberapa sebab. Jika tidak kerana sudah tua dan mungkin hampir nyanyuk, kenyataan yang dikeluarkan itu juga adalah terjemahan sebenar mengenai ilmu Datuk Nik Aziz sendiri. Dia bukannya maksum, Dia manusia biasa. Jadi, memang ada manusia yang sarat dengan ilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang dia ada.

Kini, selepas segalanya sudah tersepit, Datuk Nik Aziz nak ajak pula Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berdebat. Untuk apa!. Siapa Datuk Nik Aziz nak ajak PM berdebat. Adakah dia pemimpin hebat dan berjaya membangunkan Kelantan?. Atau, adakah dia seorang ilmuan agama yang benar-benar mematuhi dan mengamalkan ilmu agamanya. Atau, adakah dia sebagai punca perpecahan umat Islam selama ini melalui pelbagai fatwa karut yang mereka keluarkan. Atau apa. Siapakah Nik Aziz itu. Hanya seorang yang pandai bercakap tetapi tak tahu buat apa-apa.

Nak berdebat nak cari apa?. Nak berdebat mengenai apa?. Datuk Nik Aziz (Maafkan saya) tidak mempunyai jasa kepada negara. Jadi, Datuk Nik Abdul Aziz bukanlah manusia setaraf untuk mengajak PM berdebat.

Jika anda teliti dan memperhalusi, tujuan debat yang mahu diadakan lebih kepada mengajak rakyat lebih berpecah kerana Datuk Nik Aziz mahu setiap kata-kata dia diterima dan tidak mungkin sama sekali dia boleh menerima kenyataan orang lain. Hanya dia sahaja yang betul. Tak payahlah Datuk Nik Aziz nak susah-susah ajak PM berdebat. Baik beliau jaga Kelantan baik-baik, bangunkan negeri dan jaga kebajikan rakyat di negerinya sendiri.

Anda fikir macamana?