Ahad, 17 Mei 2009

HARI GURU: DEDIKASI BUAT ALLAHYARHAM DATO' RAZALI ISMAIL

Pemimpin sejati lahirnya dari seorang guru -- keprihatinan yang tiada batasan fahaman politik. Anda terjemahlah sendiri nilai kehebatan Allahyarham di sebalik foto ini

Salam bloger,

Hari ini, ada sesuatu yang menyentuh perasaan saya. Entah dari mana, juga mengapa. Yang pasti ia tiba-tiba datang menjengah. Saya teringatkan teman, ikon dan guru saya, Allahyarham Datuk Haji Razali Ismail yang hendaknya aman di sana serta sentiasa ditempatkan di kalangan golongan insan-insan yang beriman dan diampunkan Allah. Saya terus membelek dua naskah buku yang bagi saya sangat menyentuh perasaan, apabila saya tafsirkan seolah-olah Allahyarham tahu bahawa itulah buku terakhir yang dihasilkannya dan menjadi sumbangan besar terhadap bangsa dan negaranya.

Menjejak Wira Yang Tidak Disyairkan dan Antara Jeram Dengan Jurang telah ditulis dengan hatinya yang jujur melalui pemerhatian, pengamatan serta emosi yang bagus. Buku, yang bagi saya mempunyai nilai motivasi yang menterjemahkan pemikiran idealis Allahyarham, apatah lagi Allahyarham juga adalah pakar motivasi yang cemerlang. Buku itu dihasilkan selepas beliau berpeluang melawat ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk menemui anak-anak bangsa di sana.

Hari yang agak pantas berlalu meninggalkan kita, mungkin menyebabkan segelintir daripada kita mulai melupai mengenai Allahyarham – Seorang guru, pendidik, wakil rakyat, pakar motivasi, sahabat yang amat senang didampingi dan ahli politik yang peka dengan permasalahan serta denyut nadi rakyat di kawasannya. Meski pun, ia adalah sesuatu yang kurang enak, namun itulah ragam manusia yang bersifat mudah lupa. Sebagai seorang guru dan pemimpin pelajar, saya merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana mengabadikan nama Allahyarham pada nama sekolah dan nama institusi pendidikan di negeri ini, tempat kelahirannya.

Hari ini, ungkapan fakir fikir, memperkasakan akal budi telah tidak kedengaran lagi. Suasana sunyi daripada istilah yang mampu membangkitkan satu perasaan yang luar biasa apabila mendengarnya. Oleh itu, sempena Hari Guru ini, marilah sama-sama kita menggali semula wawasan serta harapan Allahyarham terhadap kecemerlangan pendidikan khasnya cita-cita beliau untuk merapatkan jeram dan jurang. Ingatlah tanggungjawab kita membina modal insan berinovasi sebagaimana pesanan Allahyarham:

“Setiap anak itu berhak mendapat pendidikan walaupun di mana dia berada dan walaupun dia anak seorang penagih dadah”…

Sama-sama kita fikirkan...




2 ulasan:

Lambo berkata...

Salam...!!

Begitu tersentuh, keperibadian seorang yang datangnya dari seorang guru.

Rugilah mereka yang pesongkan ajaran untuk diwarisi, seterusnya menjadi amalan. Terpikullah beban selagi mana ajarannya diamalkan.

Tanpa Nama berkata...

kami dari UKM sentiasa bangga dan mendokong perjuangan tuan syed.