Isnin, 25 Mei 2009

E-BOOK, TAHNIAH KERAJAAN TERENGGANU

Assalamualaikum Perjuangan,…

Sebagaimana yang diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said mengenai program e-book, ia kini sedang direalisasikan secara berperingkat-peringkat demi rakyat. Walaupun, kerajaan negeri di bawah kepimpinan beliau dilihat terganggu sedikit dengan keadaan politik yang tidak menentu, namun itu tidak mematahkan usaha MB bagi melaksanakan amanah tersebut.

Saya mahu merakamkan ucapan tahniah kepada kerajaan negeri di atas pelaksanaan program tersebut yang saya sifatkan sebagai pelengkap kepada penguasaan ilmu di kalangan rakyat. Dengan jumlah pelaburan sebanyak RM30 juta bagi melaksanakan program tersebut, sudah tentu ia sarat dengan harapan agar rakyat Terengganu terus menjana dan mencipta kecemerlangan dalam penguasaan ilmu. Kita sebenarnya bukan sahaja mahu melihat apa yang ada dapat dipertahankan, maka lebih baik jika ia dapat dipertingkatkan lagi.

Saya begitu optimis bahawa kita mampu menjadi pemain global yang hebat yang bertunjangkan kepada jati diri yang kukuh. Pun begitu, semua itu tidak akan mempunyai nilai jika kita sebagai rakyat tidak memberikan komitmen, sokongan dan menjadi pembimbing yang baik kepada anak-anak bagi menjayakan program tersebut. Sebagai terjemahan kepada misi menrakyatkan pembangunan di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said, rakyat mestilah sepakat dan bersatu dalam memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada usaha yang dicetuskan beliau.

Memang, sesuatu yang tidak mungkin dielakkan bahawa setiap yang baru tidak akan terlepas daripada pandangan kelemahan. Ia akan ada di mana-mana. Namun, tidaklah wajar ia terus digambarkan sebagai tanda kegagalan. Jika kita komited dan jujur mahu melihat agenda menrakyatkan pembangunan itu menjadi kenyataan, kita mestilah sepakat membantu apa-apa yang dianggap wajar untuk melakar kejayaan yang diinginkan.

Mengkritik pun, wajar ada tempatnya. Saya amat yakin bahawa program e-book akan membuka lembaran baru kepada rakyat Terengganu yang cintakan ilmu. Dan, kita semua pun mahu melihat begitu. Justeru, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh sepakat, bertekad dan bermuafakat dalam menjayakan agenda yang besar ini demi kita, demi rakyat dan demi negeri kita yang tercinta ini.

Tahniah diucapkan kepada kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Ahmad Said. Memahami betapa bukan mudah untuk memulakan sesuatu yang baru dan bukan senang untuk mencipta kecemerlangan, saya percaya rakyat Terengganu sedang melihat dengan teliti pembaharuan dan usaha gigih kerajaan negeri untuk memacu kecemerlangan pendidikan di kalangan rakyat negeri ini, insya’Allah.