Jumaat, 10 Julai 2009

1MALAYSIA, ANDA FIKIRKAN INI

Salam bloger,

Orang kita bercakap mengenai 1 Malaysia, satu gagasan besar yang mampu membawa Malaysia ke era kecemerlangan yang tiada batasnya. Segala-galanya kini mahu kaitkan dengan 1 Malaysia – Bahasa, kebudayaan, perpaduan dan sebagainya sentiasa dikaitkannya. Ya, saya amat bangga dan gembira mengenainya kerana saya adalah antara rakyat Malaysia yang mendokong dan menyokong gagasan 1 Malaysia.

Sebelum ini saya menulis mengenai dasar Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris, PPSMI. Hari ini pun sama, saya mahu mengajak anda berfikir dan merenung mengenai topik PPSMI ini dan dikaitkan dengan gagasan 1 Malaysia.

Kita terlalu kecoh mengenai PPSMI kerana kononnya kita seolah-olah mahu mengagungkan Bahasa Inggeris. Malah, ia juga dikaitkan dengan gagasan 1 Malaysia. Nah!, cuba anda fikirkan mengapa di SJKC dan SKJT tidak menggunakan bahasa Melayu tetapi mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda. Apakah itu bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia kerana Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Apa akan jadi jika pemuda atau generasi di kalangan orang Cina dan India tidak lagi tahu atau fasih berbahasa kebangsaan?

Apakah agaknya perasaan anak Malaysia jika pendatang asing seperti Bangla boleh berbahasa kebangsaan lebih baik daripada orang Cina atau India?. Atau, adakah kita tidak terasa apa-apa dan di manakah pejuang bahasa kita, sasterawan Negara kita yang sebelum ini sanggup menyertai demonstrasi jalanan demi bahasa Melayu, demi bahasa kebangsaan dan demi Perlembagaan Negara kononnya.

Saya tidak dapat melindungi perasaan saya yang sedih, terkilan dan kecewa dengan perkara tersebut. Saya pelik, ke mana pejuang bahasa, pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya. Mereka memperlihatkan seolah-olah mereka mereka mahu menerima gagasan 1 Malaysia yang dianggap sesuai dan menguntungkan puak mereka sahaja sebagaimana juga dalam konteks ekonomi dan merit pendidikan. Bagaimanapun dalam soal penggunaan bahasa, mereka buat apa, mereka fikir apa, mereka pejuang apa. Mereka langsung tidak pentingkan 1 Malaysia.

Jelas mereka tidak menghayati dasar 1 Malaysia. Mereka mencari kepentingan di sebaliknya. Inilah rosakkan kita. Saya bukan perkauman tetapi saya mahu gagasan 1 Malaysia diterjemahkan dalam semua perkara dan bukannya berasaskan pemilihan tertentu yang ada kaitan dengan kepentingan kaum atau kumpulan.

Sampai bilakah semua ini akan berlaku. Segala-galanya terpulang pada anda.