Sabtu, 27 Februari 2010

PENGIKTIRAFAN POLITEKNIK


Assalamualaikum,

Sekalung tahniah dan terima kasih diucapkan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang telah mengumumkan penubuhan sebuah Universiti Politeknik menjelang tahun 2015 depan. Tentu sekali ia sejajar dengan langkah transformasi untuk menjadikan Politeknik sebagai peneraju pendidikan vokasional dan teknik di negara ini. Itu pasti.

Sesungguhnya dengan pengumuman tersebut, ia sekaligus dengan pengumuman penaiktarafan tiga buah Politeknik kepada Politeknik Primier iaitu Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Politeknik Ungku Umar dan Politeknik Johor Bharu merupakan hadiah yang cukup bererti kepada pelajar vokasional dan teknik yang selepas ini tidak perlu lagi ke institusi lain kerana mereka hanya perlu ke Politeknik dan seterusnya menamatkan pengajian di Universiti Politeknik sehingga ke peringkat ijazah sarjana muda, ijazah lanjutan dan mungkin di masa depan akan terus dilaksanakan sehingga peringkat doktor falsafah.

Saya terasa teramat bersyukur di atas perkembangan terbaharu ini kerana saya masih ingat ketika bersama Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) suatu waktu dahulu, inilah di antara perjuangan yang dibawa oleh kami apabila kami mencadangkan agar sekolah vokasional diperkasakan semula kerana kami yakin untuk menjadi sebuah Negara Maju menjelang 2020 bidang teknikal dan kemahiran perlu diberikan keutamaan selain daripada bidang-bidang lain. Alhamdulillah kerajaan juga telah bersetuju untuk menstrukturkan semula 68 daripada 87 buah Sekolah Menengah Teknik menjadi Sekolah Menengah Vokasional.

Sesungguhnya dengan langkah terbaru ke arah penubuhan Universiti Politeknik ini jelas memperlihatkan pengiktirafan yang amat tinggi kerajaan terhadap warga politeknik dengan harapan ia akan menjadi lonjakan iltizam mereka untuk terus memperkasakan bidang teknik dan vokasional setanding dengan bidang-bidang lain.

Seharusnyalah apa yang perlu dilaksanakan sekarang adalah menilai dan mengkaji semula kurikulum pelajaran vokasional dan teknik oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) agar ia akan menepati keperluan yang bakal diperlukan untuk kemasukan ke Politeknik dan Universiti Politeknik nanti.

Semua aspek perlu dipertimbangkan sebelum dilaksanakan. Kita tidak mahu sesuatu yang matlamatnya baik tetapi akan merugikan pelajar akibatkan perancangan dan pelaksanaan yang tergesa-gesa tanpa kajian yang sempurna.

Satu penyelarasan perlu dilaksanakan oleh KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pelajar tidak akan menjadi mangsa di atas apa jua pembaharuan dan perubahan yang bakal dilaksanakan.

Berkaitan dengan perkara tersebut, saya ingin menarik perhatian kita kepada langkah KPM memasukkan mata pelajaran Aplikasi Sains sebagai satu subjek teras di SM Teknik sejak tahun 2008, namun demikian saya difahamkan subjek ini ditidak diambilkira (tidak diiktiraf ??) oleh KPT untuk dijadikan salah satu subjek yang ada nilainya dan diambilkira untuk kemasukan ke bidang-bidang berkaitan di institusi-institusi pendidikan di bawah kelolaan KPT.

Namun, saya amat berkeyakinan kepada kerajaan khasnya KPM dan KPT akan mendapatkan pandangan semua pihak khasnya tokoh pendidikan tersohor negara bagi tujuan mengkaji semasak-masaknya kaedah dan modul pelaksanaan Universiti Politeknik berkenaan agar matlamat utama penubuhannya akan tercapai dan tidak merugikan anak-anak kita.
Ketika menziarahi YB Dato' Mohd Nasir yang dirawat di HSNZ. Beliau kini sudah sembuh sepenuhnya dan boleh bertugas seperti biasa

Assalamualaikum,

Sudah agak lama saya tidak menulis dalam blog saya. Maaf kepada semua penjengah laman ini kerana keterbatasan waktu telah menyebabkan semua ini berlaku. Ia sebenarnya di luar kemampuan saya. Insya’Allah selepas ini, blog ini akan diupdate dari semasa ke semasa.

Malam tadi, saya baru pulang dari Kuala Lumpur. Semalam, saya sempat menziarahi Ahli Parlimen Kuala Nerus, YB Dato’ Mohd nasir Tan Sri Ibrahim Fikri di Bukit Jelutong, Shah Alam. Beliau telah pun dibenarkan pulang dari Hospital Pakar Damansara dan kini sedang berehat di rumah anaknya di sana.

Beliau kini sihat sepenuhnya selepas mengalami batuk dan jangkitan kuman. Ketika beliau dirawat di Wad Bunga Raya, Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, saya sempat beberapa kali melawatnya, termasuk menghantar beliau ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud bagi mendapatkan rawatan susulan di ibu negara.

Alhamdulillah, ramai sungguh rakyat melawat beliau selepas mengetahui berita mengenainya. Pelbagai lapisan rakyat melawat beliau di hospital yang bagi saya membuktikan beliau adalah seorang pemimpin yang amat disayangi. Itulah kelebihan YB Dato’ Mohd Nasir Tan Sri Ibrahim Fikri.

Saya dengar ada mak cik-mak cik di kampung dalam kawasan beliau sanggup berpakat ramai-ramai sewa van hanya semata-mata kerana mahu menemui pemimpin mereka. Ini berlaku tidak lain dan tidak bukan disebabkan kasih dan sayang mereka kepada Yang Berhormat mereka.

Saya doakan, YB Dato’ akan dapat menjalankan tugas seperti biasa secepat mungkin. Sekarang ini pun, beliau sebenarnya sentiasa bertugas apabila menerima kunjungan rakyat untuk menyelesaikan pelbagai masalah berbangkit.