Isnin, 20 Julai 2009

JANGAN BUANG, BINA SEKOLAH KHAS

Kita dukacita dengan sikap mereka tetapi jangan terlalu melihat hukuman sebagai penyelesai kepada masalah. Pelajar bermasalah perlu diberikan peluang dan ruang melalui kaedah yang lebih sesuai termasuk mewujudkan sebuah Sekolah Khas buat mereka

Salam bloger …

Baru-baru ini sekali lagi kita dikhabarkan mengenai tingkah-alku anak-anak kita yang di luar kebiasaan. Atau dengan kata lain, anak-anak kita kini telah tergamak melakukan sesuatu yang suatu ketika dulu tidak kita fikirkan mengenainya. Apakah ini maknanya erti sebuah kemerdekaan atau apakah ini maksudnya kita telah hampir mencapai status sebuah negara maju yang kita inginkan. Entahlah.

Apa yang saya maksudkan ialah mengenai kenakalan empat anak remaja perempuan kita yang baharu menjejakkan kaki ke sekolah menengah tetapi telah terlibat dengan kegiatan pergaduhan dan pembulian. Perkara itu telah dilaporkan melalui media baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila ia berlaku di kawasan pedalaman yang sentiasa dikaitkan dengan sindrom lambat menerima pembaharuan. Nampaknya budaya bandar telah sampai ke luar bandar. Maklumlah dunia sudah tiada sempadannya lagi, maklumat pula sudah hilang tapisan, maka terjadilah tingkah laku yang di luar kawalan itu.

Dan seperti biasa, budaya bangau oh bangau mengambil tempat dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kata pelajar ini dah bermasalah di sekolah asal lagi, lalu ditukarkan ke sekolah berkenaan. Guru pula kata, bukan salah mereka sebab ia terjadi di luar kawasan sekolah dan waktu sekolah. Maka bersihlah tangan.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) pula menjawab, kita telah ambil tindakan buang dan gantung sekolah mereka yang terlibat. Kita sentiasa tegas dalam soal ini, kata mereka. Mak bapak pula?. Sekolah kurang ambil berat soal disiplin pelajar. Pulak dah. Jadi siapa yang salah?.

Di sini, saya tidak berminat membantu mencari siapa yang bersalah kerana masing-masing akan mendakwab tindakan yang mereka ambil adalah betul dan benar. Cuma saya mahu mengulangi beberapa kali mengenai pandangan yang telah saya lontarkan sebelum ini tetapi ia tidak mendapat sambutan daripada mereka yang berkuasa. Mungkin kerana ia adalah idea dan pandangan insan kerdil seperti saya yang tiada apa-apa kuasa penentu. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya saya telah cuba berkongsi jalan penyelesaiannya.

Apa yang telah acapkali saya sebutkan ialah betapa tindakan buang sekolah terhadap pelajar yang bermasalah hanya menjadi jalan penyelesai kepada masalah di sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi bukannya kepada pelajar. Pada saya, kita perlu memikirkan jalan lain, kaedah yang lebih sesuai dan menguntungkan serta sejajar dengan gagasan pemimpin negara yang mahu rakyat didahulukan atau dalam konteks ini, pelajar hendaklah didahulukan kerana mereka merupakan modal insan penentu wawasan kita.

Saya amat berharap agar dipertimbangkan untuk diwujudkan sebuah sekolah khas bagi menempatkan pelajar-pelajar yang dibuang sekolah dengan penyediaan modul tambahan di samping penerusan P & P seperti di sekolah harian biasa. Dan, ia bukan seperti amalan biasa sekarang ini iaitu apabila merayu, pelajar terbabit akan dihantar ke sekolah lain. Maka itulah berlakunya lambakan dan penyakit bangau oh bangau itu tadi apabila berlaku sesuatu kejadian sebagaimana yang dimaksudkan.

Pelajar yang bermasalah itu juga pada saya, mereka sedang melalui proses kematangan hidup. Hanya semata-mata kerana masalah yang disiarkan di media atau mungkin kerana mahu “menyelamatkan keadaan”, maka mereka dibuang sekolah dan menjadi manusia terbiar. Apakah kita langsung tidak mempunyai perasaan untuk memikirkan apakah nasib pelajar sedemikian. Apakah kerana kita “terlalu bencikan” mereka tanpa mahu memikirkan mengenai masa depan pelajar terbabit dan ke manakah mereka mahu pergi selepas dibuang sekolah?.

Jika kita boleh habiskan duit jutaan ringgit untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), jika kita mampu menanggung penghuni di pusat serenti yang semakin bertambah itu, mengapa pula kita terasa banyak sangat untuk dibelanjakan bagi merealisasikan idea insan kerdil ini.

Cuba kita kaji dan dibuat percubaan dahulu. Jika sesuai, laksanakan. Saya tidak fikir bahawa ia adalah satu pembaziran kerana pelaksanaan Dasar Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pun akhirnya kita mansuhkan kerana ia kurang berkesan.