Rabu, 3 Jun 2009

HADKAN SUBJEK SPM, APA KATA ANDA

Salam Blogger

Tiba-tiba hati saya tersentuh apabila mendengar pengumuman Kementerian Pelajaran untuk menghadkan subjek dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada sepuluh sahaja. Walaupun diberikan sedikit penjelasan, namun fikiran saya masih belum mampu merungkaikan mengenai apakah rasionalnya keputusan tersebut. Adakah ia benar bagi membolehkan pelajar memberikan tumpuan kepada soal akademik, meringankan beban ibu bapa atau apa sebenarnya. Saya tidak faham.

Saya bersetuju jika ia dihadkan tetapi tidaklah sampai serendah sepuluh subjek. Ia mungkin boleh 12 atau 13 subjek bagi memberikan peluang terbaik kepada pelajar cemerlang untuk mengambil subjek yang mereka kehendaki. Saya tidak nampak langsung mengenai apakah masalahnya jika pelajar mengambil lebih daripada 13 subjek kerana itu adalah pilihan mereka sendiri. Mungkin mereka mempunyai keupayaan.

Maka, menjadi harapan saya agar keputusan itu diperhalusi, diteliti dan disemak semula oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Untuk rekod, subjek teras bagi Aliran Kemanusiaan atau agama ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik Moden, Sains, Pendidikan Islam/Moral dan Sejarah. Manakala untuk aliran Sains tulen pula ialah Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam/Moral, Matematik Moden dan Sejarah.

Oleh itu, saya tidak nampak, apakah subjek-subjek teras berkenaan yang akan dikurangkan kerana kesemuanya mempunyai sebab tersendiri untuk dikekalkan termasuk Pengetahuan Islam dan Sejarah. Bagi mengimbangi akademik dan ko-kurikulum di kalangan calon SPM saya mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi menetapkan syarat kemasukan ke IPTA diambil-kira dengan nisbah 80:20. Manakala rekod ko-kurikulum pelajar perlulah dipantau dan dikemaskini secara serius agar ia dihasilkan dengan lebih efektif, bukannya sekadar melengkapkan ruang di dalam buku rekod semata-mata.

Pihak KPM juga dicadangkan agar menyediakan garis panduan atau sukatan khas setiap elemen dalam ko-kurikulum (Uniform, Kelab dan Sukan) agar pelaksanaannya akan lebih berfokus dan berkesan. Pun begitu, apa pandangan anda mengenai isu ini.

Bagi saya, kita mungkin boleh mengubah sesuatu tetapi janganlah ia diubah kerana semata-mata ia adalah zaman kita. Sebaliknya, kita boleh mengubah sesuatu jika ada keperluan untuk mengubahnya. Janganlah kita menjadi sekali air bah, sekali pantai berubah.

Saya bimbang, yang menjadi mangsa adalah anak-anak kita. Fikirkanlah apa yang saya lontarkan ini.



Tiada ulasan: