Khamis, 6 Ogos 2009

GULA OH GULA


Assalamualaikum dan salam blogger…

Ah!, tak habis-habis. Itu yang sentiasa saya rungutkan bila isu ketiadaan atau kehabisan gula di pasaran berlaku lagi. Seperti biasa, ia berlaku menjelang musim perayaan. Siapa yang sedang menanggung rugi. Rata-rata orang Melayu. Mereka terjejas tanpa gula. Walaupun sedar bahawa penggunaan gula secara terkawal akan mendedahkan mereka kepada pelbagai bahana, namun gula tetap segala-galanya.

Saya tidak hairan apabila gula tiba-tiba “hilang” di pasaran kerana itu memang “tabiat” gula di Malaysia apabila hampir kepada bulan puasa atau musim perayaan. Peliknya, bila hendak sambut Tahun baharu Cina dan hari raya Depavali atau sebaliknya, tidak pula berlaku kehabisan gula.

Yang pemimpin di atas pula, main beri jaminan demi jaminan. Gula cukup di pasaran kata mereka. Turunlah ke bawah. Ikut apa yang PM kita lakukan. Selami sendiri masalah rakyat, lihat sendiri apa yang berlaku, baharulah mereka akan faham masalah yang sebenarnya.

Saya bukan hendak mengata, saya juga adalah pengguna. Rakyat bosan dan jelek dengan sikap pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak sanggup turun ke bawah. Mereka juga mual dengan amaran demi amaran, jaminan demi jaminan sedangkan apa yang mereka tanggung di bawah terus ditanggung.

Selalunya, pemimpin akan terlewat turun padang dalam menyelesaikan masalah ini. Ia berlaku selepas kebencian rakyat semakin menebal terhadap kerajaan. Jadi, mengapa biarkan?. Mujurlah Melayu itu mudah lupa. Hari ini, mereka marahkan kerajaan, esok dan lusa lain pula perasaan mereka.

Saya pun tidak faham mengapa susah sangat hendak selesai masalah kekurangan bekalan gula ini. Takkan pihak berkuasa dan kerajaan tidak tahu di mana kilang gula, pemborong gula dan penjual guna. Mengapa susah sangat nak kesan kegiatan mereka ini.

Janganlah terlalu membuaikan rakyat dengan jaminan masalah gula akan selesai kerana hanya dengan turun ke padang sahaja, masalah itu dapat diselesaikan.

Saya merayu kepada Menteri dan pihak berkuasa berkaitan agar segera turun padang dan bertindak dalam menangani masalah ini. Jangan biar ia mengambil masa yang lama. Usah biarkan rakyat merasa meluat dan benci kepada kerajaan hanya kerana isu yang sememangnya kita boleh selesaikan.

Carikan jalan penyelesaiannya secara muktamad!

Khamis, 30 Julai 2009

AL FATIHAH ..... Satu Lagi Ujian Buat Umno


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Pulau Pinang Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS meninggal dunia kerana sakit jantung di Institut Jantung Negara Kuala Lumpur awal pagi Jumaat.

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Salleh Man berkata, Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini selepas beberapa hari menjalani rawatan di institut itu.Ketika dihubungi Bernama di sini, beliau berkata, jenazah Mohd Hamdan dijangka tiba di rumahnya di Permatang Pasir pukul 2 petang ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini selepas solat Asar.

Bekas Pesuruhjaya PAS Negeri selama 14 tahun itu menjadi ADUN Permatang Pasir selama tiga penggal mulai tahun 1999 sehingga sekarang, dan kini merupakan satu-satunya ADUN PAS di negeri ini. DUN Permatang Pasir terletak di kawasan Parlimen Permatang pauh.Menurut adik lelakinya, Mohd Shukran, Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Siti Khariah Ismail dan enam orang anak.Katanya, beliau mendapat berita mengenai kematian abang sulung daripada 14 adik beradik itu pada kira-kira pukul 7.15 pagi ini."Abang saya itu mengadu penat dan sakit dada dan dibawa oleh anaknya ke IJN untuk pemeriksaan dan rawatan. Beberapa tahun lalu, beliau pernah menjalani pembedahan jantung," katanya.

Menurutnya, isteri Allahyarham tidak menemani suaminya itu di IJN kerana tidak sihat.Mohd Hamdan, yang berasal dari Kedah, baru sahaja menerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang membawa gelaran Datuk kira-kira tiga minggu lalu sempena hari lahir Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas.Allahyarham, menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Wan Mohamad Saman, Sungai Korok Alor Setar dan lulus Senior Cambridge pada 1963.

Mohd Hamdan kemudiannya mengikuti pendidikan agama Islam di bawah naungan Majlis Agama Islam Kedah sehingga ke peringkat IV Thanawi pada 1965.Allahyarham juga pernah mengikuti program intensif pentadbiran awam di Intan pada 1970 dan mendapat latihan pentadbiran umum di Kolej Pentadbiran dan Latihan Kastam di Melaka pada 1978.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai guru bahasa di Kolej Sultan Abdul Hamid, Kedah selama dua tahun mulai 1964 dan merupakan bekas pegawai tadbir negeri Kedah antara tahun 1966 dan 1977.Beliau pernah bertugas sebagai pegawai tadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja dari tahun 1977 hingga 1983.Allahyarham juga aktif dalam pergerakan belia dan pernah menjadi Anggota Jawatankuasa Majlis Belia Malaysia pada 1973 dan mewakili PAS Pulau Pinang sebagai Anggota Pemadam pada 1989 hingga 1999

Isnin, 27 Julai 2009

NIK AZIZ LAGI ...

Kalau nak bersatu, biarlah ikhlas dan jangan sampai keputusan yang diambil itu sudah terlewat

Assalamualaikum dan salam bloger …

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik mat buat lawak lagi. Tak sampai sebulan dia mengamuk mengenai idea Kerajaan Perpaduan tajaan Presiden Pas, Haji Hadi dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa sehingga kecoh satu Malaysia dibuatnya, tiba-tiba Nik Aziz pula bercakap mengenai perpaduan dan ingin lupakan sengketa politik dengan Umno. Apa ertinya dan apa muslihatnya.

Orang Umno kena berhati-hati sikit dalam menyambut lambungan bola oleh Nik Aziz itu. Jangan nanti ada yang dituduh terhegeh-hegeh seperti isu Kerajaan Perpaduan tempohari. Jangan terlalu cepat memberikan reaksi positif kerana dibimbangi kulitnya bagus, isinya berkulat. Berilah peluang kepada Haji Hadi, Nasharuddin, Nik Aziz dan Husam Musa bincang dahulu mengenai perkara tersebut agar jangan nanti, batu dilempar tetapi dituduh tangan orang lain pula sebagai angkaranya.

Biar ianya menjadi satu keputusan rasmi Pas yang disepakati oleh mereka dan bukannya kita menyambut sesuatu yang hanya semata-mata terkeluar daripada mulut Nik Aziz yang sememangnya terkenal dengan politik belit. Orang Umno mesti mengambil iktibar di atas apa yang pernah berlaku. Mereka jangan terlalu ghairah sehingga lupakan apa yang pernah berlaku.

Jangan hendak ditenggelamkan isu lilin dan baju hitam di Nizar Jamaluddin, isu perpaduan dan berbaik-baik pula dijadikan umpan. Kita jangan terlalu murah terperangkap dan memasuki perangkap. Mari kita mempelajari sesuatu daripada sejarah walaupun kadangkala yang belum menjadi sejarah itu lebih baik daripada yang telah tersejarah.

Perpaduan antara Umno dan Pas bukanlah terlalu sukar tetapi ia dihalang oleh tembok pemikiran pemimpn dan pengikut mereka sebagaimana Nik Aziz. Jika Nik Aziz jujur dalam isu perpaduan itu, saya juga gembira. Namun, saya lebih percaya semua itu adalah tipu muslihat Nik Aziz sendiri bagi menutup pelbagai kelemahan di dalam sekarang ini. Itu jelas bagi saya.

Ahad, 26 Julai 2009

TAMBANG DAN PELAJAR SEKOLAH

Salam bloger...

Baru-baru ini kerajaan telah mengumumkan kenaikan tambang kenderaan awam atas alasan keperluan semasa. Ia bagi membantu pengusaha kenderaan awam. Dan, seperti biasa, ia akan mengundang diskusi yang pro dan kontra di kalangan masyarakat kita. Ada yang bersetuju dan ada pula yang sebaliknya. Ada juga yang sengaja menangguk di air yang keruh. Biasalah. Ada yang menyatakan kepada saya: “ Dah kalau dinaikan harga tambang, di mana slogan rakyat didahukan?.”

Dengan sinis dan spontan saya menjawab, pengusaha kenderaan awam pun adalah rakyat yang perlu diutamakan, didahulukan. Mereka bukan kayu dan kerana itu, mereka juga perlu diberikan pertimbangan yang wajar dalam kita mengisi pembangunan dan mencipta pembaharuan.

Secara ikhlas dan peribadi, saya menyokong langkah tersebut memandangkan keperluan semasa yang dianggap kian terdedak. Pengusaha pengangkutan awam dan wagra pekerjanya juga mempunyai tuntutan keperluan hidup yang sama seperti kita. Mereka adalah sebahagian daripada kita sebenarnya. Itu jika kita mahu memahaminya.

Cuma, jika saya boleh mencadangkan agar rakyat pengguna kenderaan awam khasnya pelajar juga dijadikan keutamaan. Bagaimana?.

Mungkin untuk pelajar, dengan cara menunjukkan kad pelajar @ kad matrik @ memakai uniform sekolah, mereka secara automatik akan mendapat potongan harga tambang. Boleh tak begitu. Kalau tak sesuai, kita fikirkan cara lain yang penting mereka tidak terbeban dengan langkah dan keputusan terbaharu kerajaan itu.

Walaupun kita memahami bahawa semua orang mahu membebaskan diri daripada sebarang kenaikan, namun jika kita bersikap memahami tuntutan kehidupan orang lain yang sama dengan kita, kita akan sedar betapa semua yang diputuskan kerajaan itu adalah satu keperluan untuk semua.

Dan, dalam konteks ini, pelajar adalah golongan yang tidak terkecuali. Mereka pasti adakan antara golongan yang bakal berhadapan dengan kesan kenaikan. Maka kerana itu saya cadangkan agar golongan berkenaan diberikan kelonggaran dan peluang tertentu. Sebenarnya, kita mampu melakukannya.

Selasa, 21 Julai 2009

UPSR: MENGAPA MESTI DIMANSUHKAN

Tak ada sebab UPSR mesti dimansuhkan - gambar hiasan.

Assalamualaikum ...

Tatkala Datuk Razali Ibrahim, seorang menteri muda melontarkan idea agar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan kerana ia dilihat sekadar penanda aras untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh, ia telah mengundang pelbagai reaksi yang bersifat pro dan kontra. Pelbagai pihak mula "melenting" dan berlumba-lumba untuk memberikan pandangan. Apa pun, ia tetap menjadi satu diskusi yang menarik. Demikianlah hebatnya isu pendidikan di hati rakyat kita. Mereka amat sensitif dan terlalu cepat melatah mengenainya. Sama ada ia ke arah yang positif atau sebalik, ia tetap menterjemahkan satu maklum balas yang ketara daripada mereka.

Sebagai seorang aktivis pendidikan, saya juga terpanggil untuk memberikan pandangan. Tidak kisahlah pandangan tersebut diterima atau sebaliknya kerana saya amat insaf bahawa saya hanyalah seorang insan kerdil di celah insan-insan ternama. Namun begitu, saya tetap terpanggil untuk menyatakan pandangan saya mengenai isu ini untuk sama-sama kita renung dan fikirkannya.

Pada saya, UPSR masih lagi relevan dan tidak perlu dimansuhkan. Cumanya, ia mungkin perlu kepada penambahbaikan agar ia lebih memberikan keadilan kepada pelajar khasnya yang jauh daripada nikmat pembangunan. Masalah kita hari ini, apabila sesuatu itu tidak sempurna, kita amat mudah mencadangkan agar ianya dimansuhkan atau dihapuskan. Takkanlah rumah kita yang rosaknya atap dan dapur, maka hendak kita roboh semua keseluruhan rumah. Tidak logik kan.

Begitu juga dengan UPSR, bukan dimansuhkan tetapi perbaiki akan setiap kelemahan yang ada kerana maklumlah sejak diperkenalkan pada tahun 1983, sudah tentu banyak perkara yang perlu diperbaiki berdasarkan keperluan semasa. Mungkin dulu kita hanya memberikan fokus kepada akademik atas alasan kurangnya persaingan. Namun keadaan hari ini sudah jauh berubah dan berbeda. Lantaran itu bagi saya, fokus yang lebih perlu diberikan kepada elemen-elemen sahsiah, kewarganegaraan, kesukanan dan kepimpinan.
Penilaian akademik pula perlu dikurangkan, mungkin sampai ke tahap 30 peratus sahaja dan ia perlu merupakan satu penilaian berdasarkan sekolah dan tidak sebagaimana sekarang: murid di Hulu Terengganu menjawab soalan yang sama dengan murid di Bandaraya Kuala Lumpur... adil ke?.

Saya fikir, untuk ke sekolah berasrama, perlu diadakan ujian khas agar beberapa aspek tambahan dapat dilengkapkan dalam diri murid agar mereka betul-betul bersedia dari segi fizikal dan mental.

Itu pandangan saya, anda bagaimana?

Isnin, 20 Julai 2009

JANGAN BUANG, BINA SEKOLAH KHAS

Kita dukacita dengan sikap mereka tetapi jangan terlalu melihat hukuman sebagai penyelesai kepada masalah. Pelajar bermasalah perlu diberikan peluang dan ruang melalui kaedah yang lebih sesuai termasuk mewujudkan sebuah Sekolah Khas buat mereka

Salam bloger …

Baru-baru ini sekali lagi kita dikhabarkan mengenai tingkah-alku anak-anak kita yang di luar kebiasaan. Atau dengan kata lain, anak-anak kita kini telah tergamak melakukan sesuatu yang suatu ketika dulu tidak kita fikirkan mengenainya. Apakah ini maknanya erti sebuah kemerdekaan atau apakah ini maksudnya kita telah hampir mencapai status sebuah negara maju yang kita inginkan. Entahlah.

Apa yang saya maksudkan ialah mengenai kenakalan empat anak remaja perempuan kita yang baharu menjejakkan kaki ke sekolah menengah tetapi telah terlibat dengan kegiatan pergaduhan dan pembulian. Perkara itu telah dilaporkan melalui media baru-baru ini.

Lebih menyedihkan apabila ia berlaku di kawasan pedalaman yang sentiasa dikaitkan dengan sindrom lambat menerima pembaharuan. Nampaknya budaya bandar telah sampai ke luar bandar. Maklumlah dunia sudah tiada sempadannya lagi, maklumat pula sudah hilang tapisan, maka terjadilah tingkah laku yang di luar kawalan itu.

Dan seperti biasa, budaya bangau oh bangau mengambil tempat dalam mencari penyelesaian kepada setiap masalah. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kata pelajar ini dah bermasalah di sekolah asal lagi, lalu ditukarkan ke sekolah berkenaan. Guru pula kata, bukan salah mereka sebab ia terjadi di luar kawasan sekolah dan waktu sekolah. Maka bersihlah tangan.

Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) pula menjawab, kita telah ambil tindakan buang dan gantung sekolah mereka yang terlibat. Kita sentiasa tegas dalam soal ini, kata mereka. Mak bapak pula?. Sekolah kurang ambil berat soal disiplin pelajar. Pulak dah. Jadi siapa yang salah?.

Di sini, saya tidak berminat membantu mencari siapa yang bersalah kerana masing-masing akan mendakwab tindakan yang mereka ambil adalah betul dan benar. Cuma saya mahu mengulangi beberapa kali mengenai pandangan yang telah saya lontarkan sebelum ini tetapi ia tidak mendapat sambutan daripada mereka yang berkuasa. Mungkin kerana ia adalah idea dan pandangan insan kerdil seperti saya yang tiada apa-apa kuasa penentu. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya saya telah cuba berkongsi jalan penyelesaiannya.

Apa yang telah acapkali saya sebutkan ialah betapa tindakan buang sekolah terhadap pelajar yang bermasalah hanya menjadi jalan penyelesai kepada masalah di sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia tetapi bukannya kepada pelajar. Pada saya, kita perlu memikirkan jalan lain, kaedah yang lebih sesuai dan menguntungkan serta sejajar dengan gagasan pemimpin negara yang mahu rakyat didahulukan atau dalam konteks ini, pelajar hendaklah didahulukan kerana mereka merupakan modal insan penentu wawasan kita.

Saya amat berharap agar dipertimbangkan untuk diwujudkan sebuah sekolah khas bagi menempatkan pelajar-pelajar yang dibuang sekolah dengan penyediaan modul tambahan di samping penerusan P & P seperti di sekolah harian biasa. Dan, ia bukan seperti amalan biasa sekarang ini iaitu apabila merayu, pelajar terbabit akan dihantar ke sekolah lain. Maka itulah berlakunya lambakan dan penyakit bangau oh bangau itu tadi apabila berlaku sesuatu kejadian sebagaimana yang dimaksudkan.

Pelajar yang bermasalah itu juga pada saya, mereka sedang melalui proses kematangan hidup. Hanya semata-mata kerana masalah yang disiarkan di media atau mungkin kerana mahu “menyelamatkan keadaan”, maka mereka dibuang sekolah dan menjadi manusia terbiar. Apakah kita langsung tidak mempunyai perasaan untuk memikirkan apakah nasib pelajar sedemikian. Apakah kerana kita “terlalu bencikan” mereka tanpa mahu memikirkan mengenai masa depan pelajar terbabit dan ke manakah mereka mahu pergi selepas dibuang sekolah?.

Jika kita boleh habiskan duit jutaan ringgit untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), jika kita mampu menanggung penghuni di pusat serenti yang semakin bertambah itu, mengapa pula kita terasa banyak sangat untuk dibelanjakan bagi merealisasikan idea insan kerdil ini.

Cuba kita kaji dan dibuat percubaan dahulu. Jika sesuai, laksanakan. Saya tidak fikir bahawa ia adalah satu pembaziran kerana pelaksanaan Dasar Pembelajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pun akhirnya kita mansuhkan kerana ia kurang berkesan.

Jumaat, 17 Julai 2009

BUDAYA MEMBACA: DI MANA KITA

Salam bloger, …

Membaca. Mungkin bagi sebahagian daripada kita tidak berminat dengannya. Sudah tentu ia menggambarkan tahap kesedaran kita mengenai budaya ilmu tersebut. Di negara kita, budaya membaca bukan sahaja tidak popular tetapi belum sampai ke tahap yang boleh dibanggakan.

Anda lihat di negara lain, buku menjadi antara sebahagian teman hidup mereka. Maka tidak hairanlah apabila seseorang penulis itu menghasilkan buku, mereka akan mudah menjadi kaya kerana hasil penulisan mereka yang sentiasa mendapat sambutan. Kita bagaimana?.

Buku novel fiskyen, Harry Potter misalnya telah menjadikan hasil tangan penulisnya, JK Rowing sebagai kegilaan ramai di seluruh dunia dan beliau yang pada asalnya hanya seorang wanita yang merempat telah muncul sebagai antara penulis yang paling popular dan kaya di dunia. Mengapa. Apa yang ditulis, ada yang membaca. Maka, itulah jadinya.

Di negara kita, bukan tidak ada bahan bacaan. Ada. Bagaimanapun, dalam keadaan tertentu, berlaku lambakan terhadap bahan bacaan kerana kerana kurangnya pembaca. Malah, ramai penulis kita pun tidak ke mana.

Menurut satu statistik, rakyat Malaysia khususnya golongan pelajar terlalu rendah peratusnya yang membaca buku. Hakikatnya ini bagi saya amat membimbangkan dalam sausana kita ingin melahirkan modal insan berminda glokal, penerus kepada impian dan harapan kepimpinan negara.

Justeru, setiap ahli masyarakat harus insaf akan fenomena membimbangkan ini. Marilah kita mencontohi Prof Diraja Engku Aziz yang sentiasa beristiqamah dalam mengamalkan prinsip ilmunya. Di antaranya menjadikan pembacaan sebagai satu sumber ilmu, sentiasa membaca buku catatan walaupun di mana beliau berada dan belajar seumur hidup telah dijadikan budaya hidup beliau.

Maka, begitu jugalah dengan mantan Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad yang sentiasa membawa buku catatan di mana-mana beliau pergi. Beliau adalah antara manusia yang kuat membaca.

Lantaran itu saya fikir, kita perlu menghidupkan kembali budaya membaca ini agar kita tidak akan ketandusan generasi berilmu di masa depan. Tentunya, kita perlu memulakannya di rumah dengan menyediakan sudut membaca yang dipenuhi dengan bahan bacaan yang sesuai dengan kita. Adakah anda sudah mempunyai sudut bacaan di rumah anda?.

Ajaklah anak-anak kita membaca bersama kita. Berinteraksilah bersama mereka mengenai apa yang mereka baca dan isu-isu semasa yang perlu mereka tahu dan fahami. Ingatlah bahawa di sekolah adalah satu permulaan dan di rumahlah sebenarnya pengukuhan budaya membaca.

Ahad, 12 Julai 2009

DEMOKRASI: DI MANAKAH TANGGUNGJAWAB KITA

Salam bloger …


Baru-baru ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa lebih dua juta daripada pemilih yang layak mengundi didapati telah tidak mendaftar sebagai pemilih. Bagi mereka yang membaca laporan tersebut, mungkin ia dibaca secara sekilas pandang sahaja. Tidak lebih dari itu.

Namun bagi mereka yang tahu menilai erti demokrasi, jumlah tersebut tentunya menyentuh perasaan mereka. Saya tidak faham mengapa perkara sedemikian boleh berlaku. Di manakah tanggungjawab anak-anak muda kita terhadap negara melalui hak yang diberikan dalam sistem demokrasi. Terlalu sibuk sangatkah mereka sehingga mereka tidak mampu mendaftar sebagai pemilih atau pengundi.

Saya juga tidak mampu menyembunyikan perasaan bimbang saya terhadap perkara tersebut. Bimbangnya, antara lain saya terlalu khuatir apabila ramai anak muda kita tidak berbuat demikian bukan kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab, tetapi mereka tidak tahu dan tiak memahami mengenai tanggungjawab tersebut. Lebih membimbangkan lagi, saya amat khuatir jika anak-anak muda kita bagaikan tidak lagi berminat dengan politik dan bosan dengan cara masyarakat kita berpolitik. Dan, kerana itu mereka mengambil sikap berkecuali dan tidak ingin mengambil tahu mengenai politik serta pilihan raya. Faktor ini tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja sebenarnya.

Sebenarnya ini bukanlah kali pertama pendedahan dibuat SPR mengenai isu tersebut. Malah sebelum ini pun ia pernah didedahkan SPR, namun ia bagaikan tidak meninggalkan apa-apa kesan. Di mana peranan parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO). Apakah mereka juga tidak kisah dengan apa yang sedang anda saksikan?. Entahlah.

Cuma saya fikir, sudah sampai masanya kita semua dan pihak berkenaan memikirkan kaedah sesuai dengan melaksanakan satu kaedah yang drastik bagi menangani masalah ini. Walaupun ia mungkin akan menemui jalan yang sukar, namun saya ingin mengemukakan beberapa pandangan berkaitan di sini. Bagi saya, kalau ia melibatkan soal dasar dan akta, maka kita kena ubah. Apa yang penting, setiap warga Negara dilibatkan dalam proses menentukan kepimpinan Negara. Mungkin cadangan berikut ada baiknya diteliti oleh kita semua.

1. Kementerian Pengajian Tinggi perlu mengarahkan semua Naib Canselor agar mendaftarkan pelajar mereka yang telah layak.

2. Kementerian Pelajaran Malaysia juga perlu memantau semua institut pendidikan guru agar guru-guru pelatih yang layak boleh mendaftar sebagai pemilih.

3. Semua majikan, sama ada swasta ataupun kerajaan, mereka mesti memastikan kakitangan di bawah jagaan mereka mendaftar sebagai pemilih.

4. Semua Wakil Rakyat perlulah memastikan setiap ahli masyarakat yang layak di kawasan masing-masing untuk mendaftar sebagai pemilih.

Marilah kita sama-sama bertanggungjawab untuk memastikan setiap daripada warga Negara yang layak mengundi akan mendaftar sebagai pemilih disamping diberikan kefahaman mengenai tanggungjawab mereka memilih kerajaan yang berwibawa dan mampu melaksanakan amanah Negara dan bangsa.

Fikirkannya.

Jumaat, 10 Julai 2009

1MALAYSIA, ANDA FIKIRKAN INI

Salam bloger,

Orang kita bercakap mengenai 1 Malaysia, satu gagasan besar yang mampu membawa Malaysia ke era kecemerlangan yang tiada batasnya. Segala-galanya kini mahu kaitkan dengan 1 Malaysia – Bahasa, kebudayaan, perpaduan dan sebagainya sentiasa dikaitkannya. Ya, saya amat bangga dan gembira mengenainya kerana saya adalah antara rakyat Malaysia yang mendokong dan menyokong gagasan 1 Malaysia.

Sebelum ini saya menulis mengenai dasar Pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris, PPSMI. Hari ini pun sama, saya mahu mengajak anda berfikir dan merenung mengenai topik PPSMI ini dan dikaitkan dengan gagasan 1 Malaysia.

Kita terlalu kecoh mengenai PPSMI kerana kononnya kita seolah-olah mahu mengagungkan Bahasa Inggeris. Malah, ia juga dikaitkan dengan gagasan 1 Malaysia. Nah!, cuba anda fikirkan mengapa di SJKC dan SKJT tidak menggunakan bahasa Melayu tetapi mereka lebih selesa menggunakan bahasa ibunda. Apakah itu bertentangan dengan gagasan 1 Malaysia kerana Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi atau bahasa kebangsaan. Apa akan jadi jika pemuda atau generasi di kalangan orang Cina dan India tidak lagi tahu atau fasih berbahasa kebangsaan?

Apakah agaknya perasaan anak Malaysia jika pendatang asing seperti Bangla boleh berbahasa kebangsaan lebih baik daripada orang Cina atau India?. Atau, adakah kita tidak terasa apa-apa dan di manakah pejuang bahasa kita, sasterawan Negara kita yang sebelum ini sanggup menyertai demonstrasi jalanan demi bahasa Melayu, demi bahasa kebangsaan dan demi Perlembagaan Negara kononnya.

Saya tidak dapat melindungi perasaan saya yang sedih, terkilan dan kecewa dengan perkara tersebut. Saya pelik, ke mana pejuang bahasa, pemimpin MCA, MIC, Gerakan dan sebagainya. Mereka memperlihatkan seolah-olah mereka mereka mahu menerima gagasan 1 Malaysia yang dianggap sesuai dan menguntungkan puak mereka sahaja sebagaimana juga dalam konteks ekonomi dan merit pendidikan. Bagaimanapun dalam soal penggunaan bahasa, mereka buat apa, mereka fikir apa, mereka pejuang apa. Mereka langsung tidak pentingkan 1 Malaysia.

Jelas mereka tidak menghayati dasar 1 Malaysia. Mereka mencari kepentingan di sebaliknya. Inilah rosakkan kita. Saya bukan perkauman tetapi saya mahu gagasan 1 Malaysia diterjemahkan dalam semua perkara dan bukannya berasaskan pemilihan tertentu yang ada kaitan dengan kepentingan kaum atau kumpulan.

Sampai bilakah semua ini akan berlaku. Segala-galanya terpulang pada anda.

Rabu, 8 Julai 2009

PPSMI: Bukti Keterbukaan Kerajaan BN

Salam bloger …

Semalam, Rabu 8hb Julai 2009, Jemaah Menteri melalui mesyuarat kabinet telah membuat keputusan muktamad mengenai dasar pembelajaran Mata Pelajaran Sains dan Metematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mulai tahun 2012. Ini akan membawa maksud bahawa mulai tahun tersebut, mata pelajaran sains dan matematik kembali diajar dalam bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu.

Maknanya juga, murid Tahun Satu tahun depan akan mengambil Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2014 dalam bahasa Melayu dan begitu jugalah dengan pelajar tingkatan satu pada tahun 2010 yang akan menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Renda (PMR) pada tahun 2012 dalam bahasa Melayu.

Seperti anda, saya menarik nafas lega dan gembira dengan keputusan yang telah dibuat Kementerian Pelajaran Malaysia walaupun bagi saya, mungkin akan ada lagi isu-isu yang sengaja ditimbulkan pihak tertentu dengan nada tidak berpuas hati terhadap kerajaan. Mungkin mereka mahu kerajaan mengubahnya serta-merta tanpa menunggu tahun 2012 atau meneruskan sistem yang sedia ada.

Itu pendapat mereka dan dalam sistem demokrasi, di antara kita adalah bebas bersuara dan bercakap. Apa yang penting bagi saya, saya yakin bahawa keputusan yang dibuat itu telah berdasarkan kepada kajian terperinci oleh pelbagai pihak termasuk pakar-pakar dalam bidang berkenaan dan mengambil kira faktor masa depan kita, pewaris kepimpinan masa depan.

Sesungguhnya bagi saya, keputusan kabinet ini membuktikan bahawa Bahasa Melayu akan terus dimartabatkan selaras dengan Perlembagaan Negara. Cuma, apa yang diharapkan selepas ini satu penggubalan secara menyeluruh sukatan pelajaran Bahasa Inggeris dibuat di semua peringkat ke arah memperkasakan bahasa tersebut sebagaimana yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sebelas langkah memperkasakannya agar anak-anak kitaakan dapat menguasainya dengan lebih mudah dan efektif.

Sesungguhnya, langkah yang telah digariskan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memperkasakan Bahasa Inggeris merupakan satu tindakan jangka panjang yang perlu didokong dan disokong oleh semua pihak termasuk parti pembangkang. Isu pendidikan adalah berkaitan masa depan anak cucu kita, bukannya untuk kepentingan politik mana-mana pihak.

Terima kasih YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas satu keputusan yang bijak, tepat dan amat kena pada ketikanya.

Rabu, 1 Julai 2009

AJAK DEBAT PULAK DAH ...

Salam bloger …

Ajak berdebat pulak dah. Inilah akibatnya apabila agama sentiasa menjadi alat politik dan kepentingan yang lain. Ini jugalah akibatnya apabila agama dicabuli demi memenuhi kepentingan peribadi. Dulu, tuduh UMNO sesat dan setaraf dengan komunis tetapi apabila mendapat pelbagai tentangan, dia mengaku kata bahawa semua itu hanyalah satu kiasan sahaja.

Kadangkala saya pun tak faham, sesekali bingung dengan apa yang berlaku. Mengapakah orang yang dianggap ulama, tokoh agama boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian – berbelit-belit dan tidak istiqamah. Saya juga pelik, dengan kenyataan yang sedemikian jelasnya bercanggah dengan ajaran agama, masih ramai pengikutnya yang fanatik.

Demikianlah Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang sejak kebelakangan ini nampak sudah agak keterlaluan dalam kenyataan. Saya menterjemahkannya beberapa sebab. Jika tidak kerana sudah tua dan mungkin hampir nyanyuk, kenyataan yang dikeluarkan itu juga adalah terjemahan sebenar mengenai ilmu Datuk Nik Aziz sendiri. Dia bukannya maksum, Dia manusia biasa. Jadi, memang ada manusia yang sarat dengan ilmu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang dia ada.

Kini, selepas segalanya sudah tersepit, Datuk Nik Aziz nak ajak pula Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berdebat. Untuk apa!. Siapa Datuk Nik Aziz nak ajak PM berdebat. Adakah dia pemimpin hebat dan berjaya membangunkan Kelantan?. Atau, adakah dia seorang ilmuan agama yang benar-benar mematuhi dan mengamalkan ilmu agamanya. Atau, adakah dia sebagai punca perpecahan umat Islam selama ini melalui pelbagai fatwa karut yang mereka keluarkan. Atau apa. Siapakah Nik Aziz itu. Hanya seorang yang pandai bercakap tetapi tak tahu buat apa-apa.

Nak berdebat nak cari apa?. Nak berdebat mengenai apa?. Datuk Nik Aziz (Maafkan saya) tidak mempunyai jasa kepada negara. Jadi, Datuk Nik Abdul Aziz bukanlah manusia setaraf untuk mengajak PM berdebat.

Jika anda teliti dan memperhalusi, tujuan debat yang mahu diadakan lebih kepada mengajak rakyat lebih berpecah kerana Datuk Nik Aziz mahu setiap kata-kata dia diterima dan tidak mungkin sama sekali dia boleh menerima kenyataan orang lain. Hanya dia sahaja yang betul. Tak payahlah Datuk Nik Aziz nak susah-susah ajak PM berdebat. Baik beliau jaga Kelantan baik-baik, bangunkan negeri dan jaga kebajikan rakyat di negerinya sendiri.

Anda fikir macamana?

Jumaat, 26 Jun 2009

SUDAHLAH NIK AZIZ...

Air mata politik ... Jika benar ia kerana Allah, apakah motifnya diambil gambar dan disebarkan. Nik Aziz nak tunjuk kepada siapa?. Dan Nik Aziz tidak pula menghalang gambar ini diedarkan. Kerana Allah, anda fikirkanlah sendiri. Benar, ia pahit tetapi kenyataan tidak mampu ditolak.
Salam blogger …

Jika diikutkan apa yang ada di fikiran saya, saya tidak mahu lagi memberikan reaksi terhadap kenyataan politik Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Namun, apabila beliau dengan celupar mahu menyamakan UMNO dengan komunis dan terlibat dengan ajaran sesat seperti Ayah Pin, saya fikir saya perlu mencatatkan sesuatu mengenainya. Saya tidak berminat untuk memberikan reaksi yang keras tetapi memadai jika saya mengajak anda semua berfikir mengenai apa yang diungkapkan.

Angkuhnya Nik Aziz apabila berkata-kata mengenai UMNO. Sebagaimana kenyataan beliau sebelum ini, UMNO di mata Nik Aziz adalah terlalu jijik dan kotor. Nik Aziz hanya pandai melihat kehodohan UMNO tetapi pada masa yang sama beliau mempertahankan DAP dan PKR. Nik Aziz sudah hilang akal barangkali bahawa UMNOlah yang membangunkan Kelantan yang tampuk pemerintahan yang beliau ambil pada 1990.

Kelantan bukan negeri padang jarak, padang tekukur ketika Nikz Aziz menjadi MB. Sebaliknya dalam tempoh sudah hampir 20 tahun, apa jasa Pas atau Nik Aziz buat di Kelantan. Adakah hanya cukup sekadar tidak tinggal di rumah kerajaan, makan bersila di rumah sedangkan negeri tidak ke mana dalam tempoh itu. Apa yang Nik Aziz dan pengikutnya kecapi hari ini di Kelantan adalah peninggalan UMNO yang Nik Aziz anggap sebagai komunis dan sesat.

Sesat?. Anda fikirkan sendiri, pengikut parti manakah yang sentiasa menganggap pemimpinya seolah-olah maksum dan tak ada dosa. Siapa yang terlalu taksub atau mendewa-dewakan pemimpin sehingga setiap tingkah laku dan kata-kata pemimpin dianggap betul walaupun hakikatnya ia adalah salah dan bercanggah dengan nilai Islam yang sebenar. Siapakah yang percaya kepada rasuah syurga yang ditabur pemimpin kumpulan mereka?. Anda tahu, siapakah yang saya maksudkan dan anda bandingkan dengan ajaran Ayah Pin. Apakah ia ada persamaan?. Yang jelas, UMNO tidak mempunyai cirri-ciri sedemikian.

Kalau sekadar berkata kononnya UMNO menolak Islam, apakah buktinya?. Adakah apabila Pas berkata mahu kepada Islam, maka sudah boleh dikatakan sebuah parti Islam?. Kalau setakat bercakap, bersyarah dan menjaja kononnya Pas adalah parti Islam tetapi pemimpinnya tercemar dengan pelbagai akhlak yang bercanggah dengan Islam, apa ertinya?. Berkawan dengan DAP dan tergamak menghapuskan cita-cita nak tubuh Negara Islam dan undang-undang hudud sudah hilang entah ke mana, itukah parti yang berkata mahu kepada Islam?

Memaki hamun sesama umat Islam, menyebarkan pelbagai fitnah, menolak perpaduan dan banyak lagi akhlak buruk pemimpin Pas, itukah yang dikatakan Islam?. Adakah Islam hanya memadai dengan berkata “aku nak Islam”, maka Islamlah dia. Begitu?. Atau, adakah hanya Pas yang Islam?. Pas wujud bila?. Bagaimana dengan mereka yang hidup di zaman sebelum Pas itu wujud?.

Adakah memadai bahawa sempurnalah Islam seseorang itu hanya menyokong Pas, menjadi ahli Pas dan mengundi Pas biarpun ada yang masih menjadi kaki nombor ekor, kaki judi, kaki berlaga ayam?. Islamkah itu… memadaikah itu?.

Berikan bukti di mana yang UMNO menolak Islam berbanding Pas yang memperalatkan Islam. Buktikan. Saya percaya bahawa sejak kebelakangan ini, kenyataan Nik Aziz sedang menggambarkan betapa beliau semakin terhakis kemampuan sebagai pemimpin kerana pemimpin yang baik adalah mereka yang mempunyai akal yang waras sifatnya.

"Ya Allah, jauhkan aku daripada orang-orang yang memperkudakan Islam demi mencapai cita-cinta politik sempit"

Anda fikirlah sendiri dan putuskan pendirian anda mengenainya.

Rabu, 24 Jun 2009

NIK AZIZ DAN KERAJAAN PERPADUAN



Salam bloger,...

Pakatan rakyat sudah menolak cadangan Kerajaan Perpaduan. Ia memang sesuatu yang sudah pun dijangka kerana dalam pekatan pembangkang, banyak hati yang parti itu kena jaga. Bukan sesuatu yang mengejutkan kerana bagi saya, itulah bukti sebuah parti yang pada muktamarnya baru-baru ini kononnya mahu mengetuai pembaharuan. Kononnya mereka mahu menjadi pengemudi dalam pakatan pembangkang tetapi apa yang berlaku, anda sendirilah yang melihat.

Yang kuat menentang ialah MB Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri. Beliau berkata, dia bukannya degil tetapi istiqamah dalam isu Kerajaan Perpaduan. Namun pada masa yang sama beliau meminta UMNO memohon maaf kepada Pas secara terbuka kononnya Umno "tipu" Pas suatu masa dulu jika UMNO mahu duduk semeja dan bincang dengan Pas. Pelik kan. Adakah itu yang dinamakan istiqamah atau dendam. Anda fikir dan nilailah sendiri.

Nik Aziz hanya memikirkan dan melontarkan kononnya UMNO tipu Pas dalam kerajaan campuran suatu masa dahulu. Adakah Pas juga terfikir, mengapa berlaku sedemikian?. Adakah kerana Pas tidak mempunyai karenah atau adakah apa yang berlaku dahulu itu berpunca daripada sikap Pas sendiri?. Jangan terlalu pandai menunding jari dan meminta orang memohon maaf kerana Pas dan Nik Aziz juga kena cerminkan diri terhadap setiap kenyataan dalam kesalahan mereka terhadap UMNO dan rakyat.

yang peliknya, DAP yang terang-terang menolak Islam dan Kerajaan Islam tidak pula dikisahkan DAP. Saya terdengar wartawan bertanya beliau mengenai isu itu di kaca TV baru-baru ini. Nik Aziz tidak konsisten terhadap jawapannya dan semacam cuba mahu mengelak daripada menjawab. "Itu kita dah persetujui dulu lagi dan tak perlu dibangkitkan lagi", demikian jawapan lepas tangan Nik Aziz berhubung perkara itu. Soalnya, Islam menggalakkan perpaduan tetapi parti lain dalam pakatan rakyat menolaknya. Kalau DAP menolak kerajaan perpaduan, itu tidak mengapa sebab mereka sudah lama dan terang-terangan menolak Islam. Tapi jika Pas berbuat demikian, apakah maksudnya itu.

Saya teringat kepada satu kisah yang diceritakan kepada saya mengenai seorang perempuan tua berbangsa yahudi yang sentiasa melemparkan najis kepada baginda sehingga tiba-tiba pada suatu hari, apabila baginda SAW melalui jalan berkenaan, perempuan tua yahudi tadi tidak ada dan baginda SAW bertanya para sahabat, ke mana perginya perempuan itu. Maka Baginda SAW diberitahu bahawa perempuan tua yahudi itu telah terlantar sakit di rumahnya. Lalu Rasulullah SAW terus ke rumah perempuan tua itu untuk menziarahinya. Malah baginda menyuapkan makanan ke mulut perempuan tersebut sehingga akhirnya perempuan itu memeluk Islam.

Itulah akhlak Islam yang diajar Rasulullah SAW. Jika baginda SAW boleh memaafkan perempuan itu, siapalah sangat diri kita ini. Atau, adakah kita mahu mengatasi sifat nabi?... kalau kita ini benar-benar ulama dan menghayati serta mengamalkan Islam, mengapa kita tidak boleh mencontohi akhlak Rasulullah yang indah itu.

Mengapa MUNGKIN ada kesalahan yang dilakukan oleh datuk dan ayah tetapi anak pula yang menjadi mangsanya?. renungkanlah kisah dan peristiwa ini. Mudah-mudahan kita akan berjaya mencari jalan kebaikan, insya'Allah.

Isnin, 22 Jun 2009

INILAH WAKTUNYA ...

Salam bloger …

Akhir, segala apa yang diteka-tekikan sudah pun terjawab, yang dinanti sudah pun diketahui. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, DS Hishamuddin Tun Huseein telah mengumumkan rombakan badan itu dengan melantik tiga pemimpin kanan yang baharu. Mereka ialah Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu yang juga Speaker DUN, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebagai Setiausaha bagi menggantikan Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Ahmad Shabery Cheek kembali diberikan tugas berat sebagai Ketua Penerangan menggantikan Datuk Zuber Embong, manakala Exco Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahin Said pula dilantik sebagai Bendahari, menggantikan Datuk Ruslan Awang Chik.

Sememangnya setiap yang ditunggu agak lama jawapannya, akan membuahkan reaksi yang berbeza selepas ia diumumkan. Ada yang menyokong dan ada pula yang tidak senang dengannya. Namun bagi saya, setiap keputusan tidak mungkin akan dapat memuaskan semua hati dan perasaan. Penolakan dan persepsi negatif adalah sesuatu yang tidak mampu terbendung dan dielakkan. Sebagai pemimpin parti di peringkat bawah, saya mahu melontarkan pandangan tersendiri dalam menilai dan merumuskan apa yang telah diumumkan.

Pelantikan Datuk Tengku Putera sememangnya tepat dan layak. Beliau adalah seorang bekas Ahli Parlimen dan ADUN (pernah dilantik sebagai exco). Selain itu, beliau adalah Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan UMNO Negeri yang sudah tentu akan memberikan banyak kelebihan kepada beliau bagi menjawat jawatan tersebut. Bagi saya, Datuk Tengku Putera adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar kerana beliau adalah seorang yang sentiasa setia dan taat kepada parti walau apa pun keadaannya.

Saya tidak berpandangan sebarangan. Lihatlah ketika beliau tidak dilantik semula sebagai Timbalan Menteri Kewangan, beliau tidak pernah melenting dan menghadapinya dengan tenang serta terus memberikan tumpuan kepada parti. Tidak dipilih bertanding sebagai calon pada PRU-12, beliau juga tetap bekerja untuk parti sehingga BN menang agak selesa di Hulu Terengganu. Dan, apabila seolah-olah “diturunkan pangkat” daripada Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan kepada Setiausaha Badan Perhubungan, itu pun beliau tidak pernah kisah. Saya yakin, Datuk Tengku Putera pasti sedar bahawa apa yang penting ialah betapa kepercayaan yang diberikan kepada beliau adalah sesuatu yang wajib beliau pikul.

Datuk Ahmad Shabery Cheek, siapa yang tidak kenali beliau. Seorang tokoh yang hebat dengan pidatonya dan pernah menjadi Menteri Penerangan sebelum dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Tentu sekali beliau boleh menggunakan segala kelebihan itu untuk melatih seberapa ramai kader UMNO untuk menjadi pemidato yang bagus dan hebat sepertinya. Saya percaya beliau berkebolehan dan berkemampuan kerana Datuk Ahmad Shabery juga pernah memegang jawatan tersebut sebelum ini.

Penerbitan akhbar rasmi UMNO negeri, Terengganu Bestari di era beliau misalnya adalah petanda betapa beliau adalah seorang yang serius dengan tanggungjawab yang diberikan.

Oleh itu, apa lagi yang kita tunggu. Ayuh kita gerakkan segera segala kekuatan jentera penerangan parti agar segera bersiap-siaga menghadapi apa jua peristiwa, sama ada dari segi sumber manusianya, isunya dan gerak sarafnya. Sememangnya rakyat mahu melihat UMNO kembali kuat di Terengganu dan mereka jelas agak kurang selesa dengan beberapa peristiwa yang berlaku sebelum ini. Oleh itu saya berharap, keputusan yang diumumkan DS Hishamuddin itu bukan sahaja akan diterima baik oleh semua pihak tetapi bakal menjadi satu petanda bermula satu era baru UMNO Terengganu ke arah mengekalkan kuasa pemerintahan di negeri itu pada PRU yang ke-13 akan datang.

Rakyat hanya meletakkan harapan kepada UMNO/BN untuk membela nasib mereka. Maka, hargailah harapan rakyat dengan menterjemahkannya melalui usaha memperkukuh, memperkuat dan memenangkan parti keramat ini, insya’Allah.

Isnin, 15 Jun 2009

SEKADAR SATU CATATAN

Assalamualaikum…

Hidup ini sememangnya sarat dengan peristiwa. Malam tadi misalnya, seorang kawan berjumpa saya dan berkata: “Waris (saudara) mu kirim salam. Dia kata semua adik beradik mu Pas tetapi mu seorang saja UMNO,” saya menjawab salam tersebut sebelum menyapa dengan senyuman yang agak sinis.

Pun begitu, saya termenung sejenak mendengar kata-kata tersebut. Sebenarnya ini bukan kali pertama saya mendengar, malah sudah acapkali perkara yang sama singgah ke telinga saya. Saya bukanlah seorang yang berilmu tinggi, cuma saya teringat kata-kata seorang ustaz yang pernah bercerita mengenai kisah Abu Jahal dan Abu Lahab yang menentang Nabi SAW, kisah nabi Nuh yang ditentang anak dan isterinya. Itu kisah penentang penyebaran agama Islam.

Dan kisah saya yang ditentang kerana berlainan idealogi, apalah yang peliknya sangat. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan saya dan sepatutnya juga samalah dengan anda semua. Kita negara demokrasi dan diberikan hak serta kebebasan memilih parti yang kita yakin, bukannya memilih agama. Apakah dengan menjadi ahli Pas, ia dijamin kita masuk ke syurga walaupun itulah rasuah terbesar Pas kepada rakyat yang cetek pengetahuannya sejak sekian lama.

Apakah akhlak yang dianjurkan Islam apabila kita menjatuhkan maruah orang lain, mengaibkan mereka dan melemparkan pelbagai fitnah. Apakah Islam menganjurkan kita berpecah-belah dan menolak salam persahabatan. Kalau setakat berserban, berjubah, apakah itu kita percaya ia adalah lambang kehebatan Islam. Setahu saya, orang Arab berjubah ke mana-mana. Hatta menonton konsert dan menyaksikan perlawanan bola sepak pun, mereka berjubah dan berserban. Apakah hanya pakaian menjadi penilaian muktamad keislaman seseorang atau ia adalah jaminan ke syurga Allah?.

Jika dengan orang UMNO yang mengucap dua kalimah syahadah dan menunaikan Rukun Islam kita buat musuh tetapi pada masa yang sama kita boleh berpeluk dengan manusia kafir laknat yang terang-terang menentang Islam, apakah itu ajaran Islam?. Inilah masalahnya apabila kita sentiasa politikkan Islam untuk kepentingan diri dengan berasaskan cara berfikiran yang jumud. Kadangkala, oleh kerana kita merasakan kita ini hebat, kita terlupa kepada Rukun Iman yang keenam. Maka, oleh kerana itulah apabila ssuatu perkara itu menyebelahi kita, kita akan kata bahawa itulah keadilan tetapi jika sebaliknya, maka pelbagai tuduhan dibuat termasuk konspirasi atau sebagainya.

Bila kita menang dalam pilihan raya, maka itu malaikat tolong kita tetapi bila kita kalah, maka kata kita, itu kerja pengundi hantu. Ya Allah, jauhkan aku dan keturunanku dari orang-orang munafik sebegini.

PLKN DAN SAMSENG JALANAN

Assalamualaikum…

Isu mengenai samseng jalanan nampak semakin menarik perhatian umum. Memandangkan mereka ini dikaitkan sebagai golongan pewaris masa depan negara, maka isu mengenai mereka akan lebih sensetif untuk diperkatakan. Rata-rata hari ini, saya berani menyatakan bahawa kita bagaikan masih menemui jalan buntu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Samseng jalanan, yang dulunya digelar sebagai Mat Rempit ini tidak boleh diibaratkan sampah masyarakat kerana jika itulah persepsi atau tindakan kita terhadap mereka, maka ia akan menggandakan lagi masalah yang sedia ada.

Justeru, sukacita jika saya boleh mencadangkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar mempertimbangkan satu kaedah bagi membolehkan samseng jalanan ini menjalani atau menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai salah satu usaha bagi menangani masalah yang semakin serius berkaitan golongan berkenaan. Justeru, saya selaku Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyangkal dakwaan Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang menyatakan bahawa PLKN bukannya sebuah pusat pemulihan dan tidak sesuai kepada samseng jalanan.

Bagi saya, bukan semua samseng jalanan terlibat dengan aktiviti jenayah seperti bunuh, ragut dan sebagainya tetapi GPMS percaya jika mereka ini dibiarkan, ia akan mendedahkan mereka kepada masalah berkaitan. Berasaskan kepada kajian rambang GPMS, sebahagian besar samseng jalanan khasnya yang masih bersekolah terlibat dengan aktiviti berkenaan hanya sekadar suka-suka dan terpengaruh dengan rakan sebaya.

Justeru itu, GPMS yakin bahawa jika mereka dikenakan hukuman menyertai PLKN, budaya ini akan dapat dibendung. Malah saya percaya bahawa mereka ini akan lebih terbentuk akhlak, jati diri dan sahsiah mereka apabila diberian peluang menyertai PLKN ini. GPMS bersetuju dengan moto JLKN: Perubahan Mereka Tanggungjawab Bersama yang memberikan maksud bahawa setiap ahli masyarakat bertanggungjawab untuk mengubah sikap generasi muda termasuk JLKN.

Hakikatnya, samseng jalanan ini hanyalah satu gelaran yang dicipta bagi menggambarkan betapa buruknya tabiat lumba haram dan merempit ini. Ia tidaklah mencerminkan sikap sebenarnya sebahagian besar golongan berkenaan kerana tidak semua yang dianggap ganas di jalan raya. Seperti yang disebut tadi, ada yang mahu suka-suka sahaja. Tidak lebih daripada itu. Saya berharap, pandangan ini akan diberikan perhatian.

Saya percaya kepada keberanian. Jika kita berani melakukan pembaharuan dan perubahan, hasilnya pasti tidak akan mengecewakan. Itulah harapan saya dan anda semua kepada generasi muda yang terjebak dengan aktiviti samseng jalanan ini.

Sabtu, 13 Jun 2009

BERANI MESTI KERANA BENAR, JIKA TAKUT?

Assalamualaikum dan salam bloger …

Membaca laporan akhbar Sinar Harian mengenai kenyataan anak DS Anwar Ibrahim, Nurrul Izzah berhubung perbicaraan kes liwat bapanya Julai ini telah mengundang sesuatu di hati saya. Antara lain, mengapa Nurul Izzah mesti menyatakan kebimbangan mengenai keputusan mahkamah yang belum lagi membicarakan kes bapanya. Secara jelas Nurul Izzah awal-awal lagi mahu mengelirukan rakyat agar mempertikaikan keputusan mahkamah itu nanti jika ia tidak berpihak kepada bapanya.

Dakwaan Nurul Izzah kononnya kemungkinan ada campur tangan politik adalah perkara yang tidak pernah dibuktikan. Persoalannya, mengapa mesti takut jika DS Anwar berada di pihak yang benar. Hakikatnya, bukan semua kes memperlihatkan DS Anwar kalah kerana ada juga kes yang dia menang. Adakah kemenangan kes beliau itu juga disebabkan campur tangan politik?. Saya berpendapat, biar kes ini dibicarakan dahulu dan sesiapa sahaja tidak boleh mendahului sesuatu yang belum lagi berlaku.

Masalahnya, apabila kes tidak memihak kepada mereka, maka tuduhan telah dibuat kononnya ia tidak adil dan ada campur tangan politik. Bagaimanapun jika mereka menang kes, maka mereka mendakwa kononnya keadilan telah tertegak. Apakah keadilan itu hanyalah yang memihak kepada mereka?. Apakah mereka itu maksum dan tidak salah langsung sehingga sebarang keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada mereka, mereka mahu mempertikaikannya.

Harus diingat bahawa proses perbicaraan di mahkamah tidak dibuat secara tertutup. Ia boleh diikuti. Maka usahlah dibuat dengan andaian yang mengarut. Begitu juga dengan “ancaman” Pemuda PKR yang mahu mencetuskan semula demonstrasi jalanan. Ia amat memalukan dan menyedihkan. Hanya kerana tidak berpuas hati, mereka mahu menghancurkan keamanan negara. Kepada rakyat Malaysia, usah kita terpedaya lagi dengan golongan ini. Rakyat Malaysia saya yakin, tidak akan tertipu lagi. Rakyat Malaysia kini sudah bijak menilai apa yang golongan itu lakukan.

Sebenarnya, sistem kehakiman kita masih bebas dan demokrasi masih subur. Yang tidak mahu menerima kenyataan, mungkin mereka lebih tahu apa yang telah mereka lakukan sehingga mereka menjadi takut dan bimbang. Ayuh rakyat Malaysia, mari kita menolak PKR dan pakatan mereka yang selama ini telah menjahanam dan merosakkan negara kita yang tercinta ini.



Khamis, 11 Jun 2009

HANYA SATU TEGURAN ...

Assalamualaikum …

Walaupun agak serba salah untuk dicatatkan, namun saya fikir, saya perlu juga memperkatakannya. Asasnya ialah mencatatkan sesuatu di atas nama kebaikan bersama. Tahniah saya ucapkan kepada UMNO Bahagian Kuala Terengganu yang telah meletakkan KPI kepada setiap pemegang jawatannya agar UMNO bahagian itu akan lebih perkasa dan diperkasakan. Ia satu langkah berani yang meyakinkan bagi meraih semula sokongan rakyat kepada parti yang kita sayangi ini.

Maklumlah, cabaran politik hari ini sangat menuntut seluruh ahli parti bukan sahaja berusaha memperkukuhkan parti di peringkat akar umbi, tetapi juga di peringkat pucuk kepimpinan yang ada. Apa yang diusahakan UMNO Bahagian itu adalah sesuatu yang amat dialu-alukan. Bagaimanapun harapan saya, apa yang dilaksanakan itu janganlah sekadar untuk menceriakan suasana atau menjadi penyegar telinga setelah sekian lama sepi seribu bahasa, setenang air di telaga.

Zaman untuk kita beretorik sebenarnya sudah lama berlalu. Musim untuk kita berslogan juga telah lama pergi. Kita perlu berada di alam realiti politik yang sebenar. Tatkala masyarakat kita semakin bijak dan pandai, sesuatu yang bersifat mengelirukan mestilah dielakkan sebelum ia memakan diri. Kini kita semua perlu celik kepada realiti, muhasabah diri secara beristiqamah dalam mencari kekuatan dan sentiasa terbuka dalam mengintai kelemahan diri.

Bagi saya, ahli-ahli UMNO di Kuala Terengganu masih terpinga-pinga, tertanya-tanya mengenai apakah visi dan misi kita dalam keadaan pembangkang menguasai tiga kerusi DUN dan Parlimen kita yang turut jatuh ke tangan pembangkang. Ahli parti juga terpinga-pinga, ke mana perginya sebahagian daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian selepas kerusi yang dikejar telah dikuasai. Kepada mereka, jenguk-jengukkanlah ke cawangan agar kita dapat berbincang mengenai banyak perkara.

Jika sebelum ini saban malam, malah sehingga sanggup bersahur bersama perwakilan bagi meraih undi di peringkat cawangan dan selepas sekian banyak janji ditaburkan, kini segala-galanya nampak sudah berubah menjadi satu kisah dongeng. Ke manakah mereka yang sebelum ini bersungguh-sungguh mendekati ahli di akar umbi. Adalah sesuatu yang mendukacitakan jika ahli hanya dicari ketika undi diimpikan. Namun selepas itu, segala-galanya hanya tinggal mimpi yang entah di mana kesudahannya.

Jika kita mahu merampas semula kerusi yang hilang, marilah kita semua bergerak dan bertekad untuk turun ke padang dan memperbaiki setiap kelemahan serta kepincangan yang ada. Ingat, jangan nanti KPI yang telah kita sepakati akhirnya memakan diri. Cukupkan, atau isikan segera kekosongan jawatan yang tertangguh. Begitu juga dengan biro-biro yang sepatutnya agar perbincangan segera dapat diatur bagi meneruskan agenda yang tertunda.

Sebenarnya, kita tidak mempunyai banyak waktu untuk itu. Kita tidak diberikan banyak pilihan. Hanya itu pilihan yang kita ada. Saya berharap, UMNO Bahagian Kuala Terengganu tidak memandang enteng mengenai perkara ini. Ingatlah, bumi yang dipijak adalah milik kita.

Selasa, 9 Jun 2009

DARI RAKYAT KEPADA RAKYAT

Salam bloger …

BI Subjek Wajib Lulus SPM. Itu tajuk beberapa media utama tanahair. Maka sekali lagi, ia mencetuskan perbahasan hebat dan hangat di kalangan masyarakat dan warga pendidik di negara ini. Cuma, kali ini ia agak berbeza kerana kaedah idea serta pandangan itu dilontarkan Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin amat menarik. Saya percaya, sejajar dengan Gagasan Satu Malaysia, maka kaedah mendapat pandangan akar umbi mengenai setiap cadangan yang hendak dilaksanakan adalah antara tindakan berani yang sangat besar faedah dan impaknya.

Nampaknya, TS Muhyiddin telah menggunakan kaedah mendengar pandangan rakyat sebelum melaksanakan sesuatu perubahan. Tahniah saya ucapkan kepada beliau di atas satu inisiatif yang saya anggap agak luar biasa dan baharu. Bagi saya, inilah yang patut dibuat. Membina modal insan tidaklah semudah membina istana pasir yang boleh dibina pada bila-bila masa dan diruntuhkan pada bila-bila masa.

Saya selalu menekankan betapa perubahan memerlukan kajian yang mencukupi dan teliti, di mana tidak sewajarnya berpaksikan kepada mencari populariti semata-mata. Kali ini, lontaran idea untuk mewajibkan lulus Bahasa Inggeris kepada calon SPM. Saya bersetuju dengan cadangan tersebut berasaskan kepada beberapa faktor yang terlebih dahulu dipertimbangkan sebelum ia dilaksanakan.

Pertama, mansuhkan terlebih dahulu PPSMI

Kedua, perlu dibuat rombakan sukatan pelajaran sekarang dengan mengambil kira keperluan pelajar-pelajar kawasan luar dan pinggir bandar.

Ketiga, jumlah minit pengajaran dan pembelajaran (P & P) sekarang perlu ditambah sekurang-kurangnya sekali ganda.

Keempat, jumlah guru Bahasa Inggeris perlu mencukupi khususnya di kawasan luar bandar dan jangan sekadar mengambil guru yang tahu berbahasa Inggeris mengajar, tetapi guru tersebut mestilah mereka yang telah dilatih untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris.

Kelima, laksanakan dalam bentuk percubaan dan jangan terlalu tergesa-gesa sebagaimana PPSMI. Perlu ada pengajaran daripada contoh atau model di kawasan bandar, pinggir bandar dan pedalaman sebagai perbandingan bagi mencari kelemahan dan kekuatan sebelum ia dilaksanakan.

Rata-ratanya saya gembira dengan kaedah yang dicetuskan. Pembelajaran adalah hak rakyat dan berkaitan dengan rakyat. Maka sememangnya amat elok jika perbincangan serta rumusan dibuat oleh rakyat. Suara rakyat adalah suara keramat. Mereka bukan sahaja penting dalam pembentukan kerajaan tetapi suara mereka juga keramat dalam membantu kerajaan.

Saya percaya, rakyat juga gembira kerana suara mereka mahu didengari kerajaan. Cuma, reaksi atau maklum balas yang bakal diberikan biarlah berasas dan tidak bersifat menangguk di air yang keruh. Kerajaan telah memberikan peluang kepada kita dan gunakanlah peluang tersebut untuk menyatakan mengenai apakah yang kita mahukan asalkan ia berasaskan kepada kebaikan dan keikhlasan demi negara dan generasi kita.

PAS TELUR SIAPA?

Assalamualaikum

Nampaknya, isu-isu yang dibangkitkan pada Muktamar Pas tempohari masih belum reda. Ia masih menjadi bahan perbahasan banyak pihak terutamanya mengenai cadangan mewujudkan Kerajaan Perpaduan yang dicetuskan Presiden Pas, DS Abdul Hadi Awang. Sebelum muktamar, perkara itu telah mencetuskan isu yang amat hangat sehingga DS Abdul Hadi dikatakan terpaksa berkunjung ke Kota Bharu untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada TG Datuk Nik Aziz Nik Mat. Dan, dalam proses pencalonan bagi pertandingan jawatan penting dalam Pas tempohari, saya terbaca kenyataan DS Abdul Hadi yang menarik balik cadangan tersebut.

Pun begitu, perkara tersebut bergema lagi. DS Abdul Hadi selepas menang tanpa bertanding membuka semula isu berkenaan sehingga ia mencetuskan polemik yang hangat. Paling menarik perhatian saya ialah penolakan secara keras daripada TG Datuk Nik Aziz terhadap gagasan Kerajaan Perpaduan yang dihidupkan kembali DS Abdul Hadi. Terkedu saya seketika apabila mendengar TG Datuk Nik Aziz mendakwa kononnya UMNO adalah telur penjajah dan kerana itu tidak perlu ada usaha untuk berpadu dengan parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu. Sungguh hina rupanya di mata TG Datuk Nik Aziz mengenai UMNO. Entah apa sebabnya, saya sendiri pun tidak faham. Mungkin beliau sudah mula dihinggapi penyakit nyanyuk politik barangkali.

Yang saya pelik dan tak mampu nak jawab, kalau dengan UMNO dianggap telur penjajah, Pas pula dari telur siapa?. Dengan DAP yang terang-terang dan terbuka dengan lantangnya menentang perjuangan menubuhkan negara Islam oleh Pas tidak pula dipandang hina oleh TG Datuk Nik Aziz. Mungkin juga cita-cita menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud sudah terbukur atau mula luput di hati puak dan juak Pas. Maklumlah mereka sudah memiliki banyak kuasa dan kedudukan.

Dewan Muslimat Pas pula berkata, Pas mampu bergerak sendiri dan tidak perlu menjadi kuda tunggangan UMNO. Wah, hebat dan angkuhnya kenyataan wanita bertudung labuh ini. Sebenarnya Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas itu masih bermimpi dan berada dalam igauan yang jauh. Apa tidaknya, dia berkata Pas tidak perlu menjadi kuda tunggangan UMNO tetapi pada masa yang sama, Pas sedang diperkudakan oleh DAP dan PKR. Kalaulah, Pas itu mampu berdiri sendiri, buat apa pula mereka masih kekal mempertahankan PKR dan DAP walaupun terpaksa melacurkan prinsip perjuangan Islam mereka selama ini?.

DS Abdul Hadi pula berkata, Pas tidak akan menutup pintu untuk mencari titik perpaduan demi rakyat dan negara. Datuk Haron Din pula menjelaskan bahawa ahli Pas mesti akur dan patuh kepada ketua sambil memetik sumber-sumber agama sebagai rujukan bagi memperkukuhkan kenyataan beliau. Bercelaru. Itu yang boleh saya rumuskan.

Namun, bagi saya, itulah Pas. DS Abdul Hadi mungkin telah melihat mengenai “krisis politik” Malaysia yang ketara dan beliau sendiri mungkin mula melihat sejauh manakah Pas mampu bergerak di dalam Pakatan Pembangkang berbanding jika Pas berbaik dengan UMNO. Jika dinilai dengan jujur, PKR, DAP dan UMNO, ramai yang bersetuju Pas pasti lebih baik jika bersama UMNO.

Sekarang ini saya lihat, ramai yang pening dengan isu atau polemik yang sedang berlaku. Maka, elok juga Dewan Ulama Pas pula memberikan reaksi dan menyatakan pendirian mereka mengenai isu ini. Saya pun, nak dengar juga suara mereka.

Fikirkanlah bersama terhadap apa yang saya catatkan hari ini.