Isnin, 15 Jun 2009

PLKN DAN SAMSENG JALANAN

Assalamualaikum…

Isu mengenai samseng jalanan nampak semakin menarik perhatian umum. Memandangkan mereka ini dikaitkan sebagai golongan pewaris masa depan negara, maka isu mengenai mereka akan lebih sensetif untuk diperkatakan. Rata-rata hari ini, saya berani menyatakan bahawa kita bagaikan masih menemui jalan buntu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Samseng jalanan, yang dulunya digelar sebagai Mat Rempit ini tidak boleh diibaratkan sampah masyarakat kerana jika itulah persepsi atau tindakan kita terhadap mereka, maka ia akan menggandakan lagi masalah yang sedia ada.

Justeru, sukacita jika saya boleh mencadangkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar mempertimbangkan satu kaedah bagi membolehkan samseng jalanan ini menjalani atau menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai salah satu usaha bagi menangani masalah yang semakin serius berkaitan golongan berkenaan. Justeru, saya selaku Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyangkal dakwaan Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) yang menyatakan bahawa PLKN bukannya sebuah pusat pemulihan dan tidak sesuai kepada samseng jalanan.

Bagi saya, bukan semua samseng jalanan terlibat dengan aktiviti jenayah seperti bunuh, ragut dan sebagainya tetapi GPMS percaya jika mereka ini dibiarkan, ia akan mendedahkan mereka kepada masalah berkaitan. Berasaskan kepada kajian rambang GPMS, sebahagian besar samseng jalanan khasnya yang masih bersekolah terlibat dengan aktiviti berkenaan hanya sekadar suka-suka dan terpengaruh dengan rakan sebaya.

Justeru itu, GPMS yakin bahawa jika mereka dikenakan hukuman menyertai PLKN, budaya ini akan dapat dibendung. Malah saya percaya bahawa mereka ini akan lebih terbentuk akhlak, jati diri dan sahsiah mereka apabila diberian peluang menyertai PLKN ini. GPMS bersetuju dengan moto JLKN: Perubahan Mereka Tanggungjawab Bersama yang memberikan maksud bahawa setiap ahli masyarakat bertanggungjawab untuk mengubah sikap generasi muda termasuk JLKN.

Hakikatnya, samseng jalanan ini hanyalah satu gelaran yang dicipta bagi menggambarkan betapa buruknya tabiat lumba haram dan merempit ini. Ia tidaklah mencerminkan sikap sebenarnya sebahagian besar golongan berkenaan kerana tidak semua yang dianggap ganas di jalan raya. Seperti yang disebut tadi, ada yang mahu suka-suka sahaja. Tidak lebih daripada itu. Saya berharap, pandangan ini akan diberikan perhatian.

Saya percaya kepada keberanian. Jika kita berani melakukan pembaharuan dan perubahan, hasilnya pasti tidak akan mengecewakan. Itulah harapan saya dan anda semua kepada generasi muda yang terjebak dengan aktiviti samseng jalanan ini.

Tiada ulasan: