Khamis, 6 Ogos 2009

GULA OH GULA


Assalamualaikum dan salam blogger…

Ah!, tak habis-habis. Itu yang sentiasa saya rungutkan bila isu ketiadaan atau kehabisan gula di pasaran berlaku lagi. Seperti biasa, ia berlaku menjelang musim perayaan. Siapa yang sedang menanggung rugi. Rata-rata orang Melayu. Mereka terjejas tanpa gula. Walaupun sedar bahawa penggunaan gula secara terkawal akan mendedahkan mereka kepada pelbagai bahana, namun gula tetap segala-galanya.

Saya tidak hairan apabila gula tiba-tiba “hilang” di pasaran kerana itu memang “tabiat” gula di Malaysia apabila hampir kepada bulan puasa atau musim perayaan. Peliknya, bila hendak sambut Tahun baharu Cina dan hari raya Depavali atau sebaliknya, tidak pula berlaku kehabisan gula.

Yang pemimpin di atas pula, main beri jaminan demi jaminan. Gula cukup di pasaran kata mereka. Turunlah ke bawah. Ikut apa yang PM kita lakukan. Selami sendiri masalah rakyat, lihat sendiri apa yang berlaku, baharulah mereka akan faham masalah yang sebenarnya.

Saya bukan hendak mengata, saya juga adalah pengguna. Rakyat bosan dan jelek dengan sikap pemimpin yang hanya pandai bercakap tetapi tidak sanggup turun ke bawah. Mereka juga mual dengan amaran demi amaran, jaminan demi jaminan sedangkan apa yang mereka tanggung di bawah terus ditanggung.

Selalunya, pemimpin akan terlewat turun padang dalam menyelesaikan masalah ini. Ia berlaku selepas kebencian rakyat semakin menebal terhadap kerajaan. Jadi, mengapa biarkan?. Mujurlah Melayu itu mudah lupa. Hari ini, mereka marahkan kerajaan, esok dan lusa lain pula perasaan mereka.

Saya pun tidak faham mengapa susah sangat hendak selesai masalah kekurangan bekalan gula ini. Takkan pihak berkuasa dan kerajaan tidak tahu di mana kilang gula, pemborong gula dan penjual guna. Mengapa susah sangat nak kesan kegiatan mereka ini.

Janganlah terlalu membuaikan rakyat dengan jaminan masalah gula akan selesai kerana hanya dengan turun ke padang sahaja, masalah itu dapat diselesaikan.

Saya merayu kepada Menteri dan pihak berkuasa berkaitan agar segera turun padang dan bertindak dalam menangani masalah ini. Jangan biar ia mengambil masa yang lama. Usah biarkan rakyat merasa meluat dan benci kepada kerajaan hanya kerana isu yang sememangnya kita boleh selesaikan.

Carikan jalan penyelesaiannya secara muktamad!

Tiada ulasan: