Ahad, 6 November 2011

PPSMI : BAGAI ANJING MENYALAK BUKIT



Tiba-tiba isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kembali meledak apabila masih ada kumpulan yang cuba menjadi jaguh kampung dengan mendesak kerajaan meneruskan PPSMI yang telah diputuskan akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat.

Sebagai seorang yang bekas pendidik dan terlibat secara langsung menentang pelaksanaan PPSMI ketika terlibat aktif di dalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), saya berpendapat keputusan kerajaan untuk memansuhkan PPSMI pada 2016 untuk sekolah rendah dan 2021 untuk sekolah menengah amat tepat walau sedikit terlambat.


Saya amat bersetuju dengan pandangan YAB Menteri Pelajaran Malaysia yang menyatakan bahawa murid-murid terpaksa mengambil masa yang agak lama untuk memahami sesuatu konsep Matematik dan Sains disebabkan mereka tidak memahami bahasa Inggeris sehingga memaksa guru terpaksa menggunakan bahasa Melayu agar mereka dapat memahami apa yang diajar.

Saya teringat seorang kawan memberikan komen sinis dengan menyatakan bahawa sebenarnya murid-murid sakit kepala dan memerlukan panadol tetapi malangnya mereka diberikan ubat batuk, sudah pastilah sakit kepala tidak akan sembuh. Malah mungkin disebabkan tersilap ubat ia akan mengundang penyakit sampingan.


Begitu jugalah PPSMI, murid-murid tidak dapat menguasai bahasa Inggeris tetapi jalan penyelesaian yang diberi ialah meninggeriskan matematik dan sains !!! Akhirnya bukan sahaja bahasa Inggeris tidak dapat dikuasai tetapi matematik dan sains juga langsung tidak difahami.


Saya berpendapat, langkah kerajaan memansuhkan PPSMI bukannya bermakna kerajaan akur dengan desakan sesetengah pihak termasuk parti politik tertentu yang sanggup berdemonstrasi membantah PPSMI, tetapi atas rasa tanggungjawab untuk menilai semula apa yang telah dilaksanakan dan memperbaiki kelemahan yang ada.


Kalau tidak silap saya, sebanyak empat mesyuarat meja bulat telah diadakan sejak tahun 2008 bagi membincangkan isu PPSMI ini yang telah melibatkan pelkbagai golongan termasuk pelajar, guru, ibubapa, pengetua dan guru besar, pemimpin NGO dan aktivis masyarakar. Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) juga terlibat menghantar memorandum menyampaikan pandangan ke arah pemansuhan PPSMI ini.

Hasil daripada mesyuarat meja bulat tersebutlah, maka telah diperkenalkan dasar baru menggantikan PPSMI iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI). Sebagaimana yang kita dimaklumkan, melalui dasar MBMMBI ini, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sedang merancang untuk melaksanakan pelbagai insentif baru ke arah memperkasakan bahasa Inggeris termasuklah penambahan masa pengajaran dan pembelajaran (P & P), penambahbaikan kurikulum yang sedia ada melalui pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang telahpun bermula untuk pelajar Tahun Satu 2011, penyediaan guru-guru mahir dan penyediaan bahan sokongan yang lebih berkualiti.


Sesungguhnya jelas menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan bahasa Inggeris, malah terus diperkasakan bersama memartabatkan bahasa Melayu. Saya yakin dan percaya MBMMBI mampu melunaskan harapan kerajaan untuk melihat modal insan terus diperhebatkan ilmunya kerana kita yakin hanya pendidikan yang mampu mengangkat martabat sesebuah bangsa yang bertamadun.


Sebab itulah kita lihat kerajaan meletakkan pendidikan sebagai wahana paling penting dalam melahirkan modal insan berilmu dan berkemahiran tinggi yang sekaligus merupakan faktor penentu kepada proses kemajuan tamadun sesebuah negara.


Dan sebagaimana kita tahu komitmen tinggi kerajaan di dalam pendidikan telah dizahirkan di bawah Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ke arah mempertingkatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti kepada semua pelajar tanpa diskriminasi bangsa dan agama.

Saya berseru agar kita bersama memberikan keyakinan dan menaruh harapan kepada segala langkah-langkah peralihan secara mudah (soft-landing) PPSMI ini tanpa rasa prejudis atau dipolitikkan untuk kepuasan golongan tertentu.


Usah kita dilihat seperti anjing menyalak bukit yang tidak menjanji akan apa-apa faedah dan usah kita menjadi pak kadok yang hanya menang sorak tanpa sedar segala yang dimilki telah jatuh ke tangan orang lain.

Saya juga berseru kepada parti-parti politik dan NGO tertentu yang dulunya sanggup berarak kerana mendesak pemansuhan PPSMI agar berdiri teguh di belakang kerajaan menentang golongan yang jahil ilmu dan sempit fikiran ini yang masih bermimpi di siang hari untuk menentang pemansuhan PPSMI.


Demi masa depan anak-anak kita, marilah kita lupakan seketika sengketa ideologi masing-masing dan sama-samalah kita bersatu untuk memartabatkan bahasa Melayu tanpa kita abaikan bahasa Inggeris untuk terus diperkasakan.

Kepada parti-parti komponen Barisan Nasional, usah terus menari mengikut paluan gendang kumpulan yang mahukan PPSMI diteruskan dengan kajian dan alasan yang dangka dan tidak boleh diterimna akal. Usah kita merojakkan suasana pengajaran dan pembelajaran (P & P) di bilik darjah dengan memberikan pilihan kepada ibu bapa dan pelajar sama ada untuk meneruskan atau memansuhkan PPSMI ini.


Jadilah kita sebagai rakan kongsi penentuan dan pelaksanaan setiap dasar kerajaan tanpa kita perjudikan masa depan anak cucu kita semata-mata kita mahu menjadi juara bangsa. Usah kita buang masa untuk mengkaji keputusan yang sudah dimuktamadkan sedang masa tersebut boleh kita gunakan untuk mencari kaedah terbaik ke arah menjayakan MBMMBI.


Dan usah kita menjadi hipokrit dan ‘double standard’, mencadangkan PPSMI diteruskan dan pada masa yang sama di sekolah jenis kebangsaan mereka mahukan matematik dan sains diajar dalam bahasa ibunda.

Marilah sama-sama kita merestui dan meyakini akan kemampuan pelaksana dasar khasnya kepada guru-guru kita yang terserlah kehebatan ditambah dengan latihan yang mencukupi dan peralatan yang berkualiti melaksanakan dasar MBMMBI ini.


Kalau adapun sedikit sebanyak kecacatan semasa pelaksanaannya nanti, kita yakin dan percaya ia akan dapat ditangani sebaik mungkin.

Tiada ulasan: