Selasa, 15 November 2011

BENARKAN PTPTN MELABUR UNTUK MENJANA EKONOMI

Isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini didendang lagi apabila Pengerusi PTPTN mengumumkan bahawa PTPTN bercadang untuk hanya memberikan pinjaman pembayaran yuran pengajian dan akan membatalkan pemberian yuran untuk membiayai perbelanjaan lain kepada pelajar-pelajar IPT mulai sesi pengajian 2013 depan.

Lantaran itu, beberapa NGO seperti Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) telah meminta agar PTPTN mengkaji semula cadangan tersebut kerana dibimbangi dasar baru tersebut akan menyebabkan ramai pelajar tidak akan dapat meneruskan pengajian ke IPT kerana tidak berkemampuan untuk menganggung kos sara hidup dan kos sampingan di IPT yang semakin meningkat.

Menurut PTPTN, kerajaan telah mengeluarkan geran bernilai RM 10 billion di awal penubuhannya dan pihak PTPTN sendiri telah meminjam dengan pelbagai institusi kewangan seperti KWSP dan bank-bank perdagangan untuk menanggung kos mengurus dan memberikan pinjaman kepada pelajar-pelajar IPT. Namun demikian, pihak PTPTN kini tidak berkemampuan untuk terus memberikan pinjaman kerana sikap sebahagian pelajar yang tidak mengenang budi kerana enggan menjelaskan bayaran pinjaman berkenaan dengan pelbagai alasan tersendiri setelah tamat pengajian mereka.

Pada pandangan saya sampai waktunya Kementerian Kewangan Malaysia memperluaskan fungsi dan skop PTPTN daripada hanya berperanan sebagai pemberi pinjaman pengajian kepada pelajar-pelajar IPT kepada menceburi bidang ekonomi agar dapat menjana sumber ekonomi sendiri, bukan hanya sekadar membuat pinjaman kewangan sebagai sumber utama membiayai pinjaman kepada pelajar berkenaan.

Sebenarnya cadangan ini bukan merupakan perkara baru kerana ia telahpun dilaksanakan oleh banyak agensi pemberi biasiswa dan pinjaman pelajaran seperti yayasan-yayasan dan badan-badan korporat.

Saya yakin dan percaya PTPTN mampu mengatasi masalah kewangannya dengan mendapatkan sumber lain melalui pelaburan di dalam bidang hartanah, perumahan dan perladangan dengan mendapat layanan yang sedikit istimewa daripada kerajaan kerana asas pelaburannya adalah untuk memberikan pinjaman kepada pelajar IPT.

Kepada pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian seharusnya mereka sedar bahawa mereka bertanggungjawab untuk menyelesaikan hutang pinjaman PTPTN yang telah dibuat kerana kegagalan mereka melunaskan pinjaman tersebut sudah pasti akan memberikan kesan kepada pelajar-pelajar yang bakal meminjam dengan PTPTN

Tiada ulasan: