Ahad, 6 November 2011

SALAM PERJUANGAN DI AIDIL ADHA

ALHAMDULILLAH, sama-samalah kita memanjatkan syukur ke hadrat Allah swt kerana masih diberikan kekuatan dan peluang kepada kita untuk terus menikmati segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita.

Sesungguhnya hari ini merupakan di antara hari-hari yang mulia di dalam bulan Islam. Hari ini, 10 Zulhijjah 1432H jutaan umat Islam dari pelbagai bangsa, keturunan dan warna kulit berkumpul di kota suci Mekah dengan satu hasrat, satu tujuan dan satu matlamat iaitu menunaikan ibadat haji, sujud dan memuji keagungan Iilahi.

Sesungguhnya, marilah kita sama-sama mengambil iktibar pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail AS terus bersatu memperkukuhkan agama dan bangsa agar segala nikmat yang kita kecapi ini terus dikecapi oleh anak cucu kita. Ingatlah, hanya bangsa yang bersatu sahaja mampu terus mengemudi negara bangsa dengan sebaik mungkin. Jadikanlah apa yang telah terjadi di Mesir, Libya, Palestin dan beberapa negara senasib sebagai ingatan untuk terus bersatu.

Lupakanlah ideologi politik yang rakus, ekstrim dan membabi buta yang tidak akan menguntungkan agama dan bangsa kita. Ingatlah, perjuangan kita belum selesai, agenda memperkasakan negara bangsa belum ada penghujung dan perpaduan kita belum utuh. Justeru itulah kita perlu korbankan sifat ego, keras kepala dan miskin akal demi masa depan anak cucu kita.

Semoga pengorbanan kita untuk terus memperkasakan akal budi anak bangsa akan terus dirahmati-Nya……

Tiada ulasan: