Selasa, 15 November 2011

Gambar hiasan

Pagi tadi saya membaca keluhan Hashim Adnan, Presiden NUTP yang menyatakan rasa tidak bersetuju cadangan Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan sistem waktu kerja baharu kepada golongan guru dengan melaksanakan secara percubaan selama enam bulan di empat buah negeri iaitu Pahang, Melaka, Johor dan Sarawak. Katanya sistem waktu baru tersebut iaitu sembilan jam sehari akan melibatkan kira-kira 5,000 guru dari hampir 104 buah sekolah akan bermula pada Januari 2012 depan selama enam bulan.

Sebagai seorang bekas pendidik dan terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan, saya berpendapat jika benar dakwaan tersebut, ia merupakan satu penganiayaan kepada golongan pendidik. Apa tidaknya, sebagaimana yang kita sedia maklum, golongan pendidik bukan sahaja terlibat dengan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah tetapi juga dengan pelbagai program kecemerlangan yang melibatkan cuti hujung minggu dan pada waktu malam. Ini tidak lagi dicampur dengan tugas-tugas perkeranian dan mengadakan kunjung hormat ke rumah pelajar-pelajar yang bermasalah.

Pada saya, golongan pendidik tidak boleh disamakan dengan kakitangan awam kerana profesion perguruan merupakan profesion memperkasakan akal budi bangsa yang berkai rapat dengan pembinaan jasmani, emosi, rohani dan intelek (IERI) modal insan. Kita harus sedar, kehebatan sesebuah negara diukur dengan sejauhmana kehebatan modal insan yang dilahirkan, bukan pembangunan fizikalnya.

Sebab iitulah pada pandangan saya keseluruhan penggubal dan pelaksana dasar-dasar di Kementerian Pelajaran Malaysia sehingga Pejabat Pelajaran Daerah dan sekolah-sekolah sewajarnya dipimpin oleh mereka yang dikeluarkan oleh kilang berorientasikan pendidikan, kerana hanya mereka yang faham tentang bagaimana hendak menguruskan sistem pendidikan secara keseluruhannya.

Saya fikir sudah masanya KPM memikirkan semula atau menyusun semula keseluruhan organisasi khasnya di KPM agar mereka yang membuat dasar adalah terdiri daripada golongan pendidik sendiri, bukannya pegawai-pegawai yang berlatarbelakang selain daripada disiplin pendidikan. Jika apa yang ada kini diteruskan saya amat yakin sistem pendidikan kita akan menjadi kucar-kacir.

Tiada ulasan: