Jumaat, 5 Jun 2009

AKIBAT KECUAIAN MANUSIA

Salam Blogger

Ramai yang tidak terkejut, malah ada yang tidak sedar pun mengenai isu kesilapan tawaran untuk kemasukkan ke USM bagi sessi 2009/2010. Jika ada yang terkejut pun, mungkin tidak sehebat runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu yang dikatakan tercanggih di Asia itu.

USM yang dikatakan berstatus program pemacuan untuk kecemerlangan (APEX) telah memalukan negara akibat mereka yang diberikan amanah telah cuai dan akibatnya pelajar yang kecewa. Saya masih simpan satu mesej daripada bekas pelajar saya.

Mesej itu berbunyi: “Cikgu, saya dapat tawaran sains kemasyarakatan, saya nak buat sains politik. Apa pandangan cikgu?. Saya terus menghubungi beliau dan memberikan pandangan kursus berkenaan. Mesej itu dihantar kepada saya pada 31 Mei lalu. Keesokannya saya menerima mesej/sms daripada pelajar yang sama dan berbunyi: “Maaf cikgu, saya tak dapat USM, kesilapan berlaku”.

Apa yang saya catatkan ini adalah salah satu kes daripada 3,000 kes yang berlaku. Saya fikir, di samping perlunya laporan dibuat kepada menteri berkenaan, pihak Naib Canselor juga perlu dan mesti memohon maaf di atas kecuaian yang berlaku. Kementerian Pengajian Tinggi perlu memberikan keutamaan kepada pelajar ini ke IPTA kerana mereka sememangnya layak, Cuma tempatnya sahaja yang terhad.

Saya tidak salahkan kesilapan manusia dalam kes ini kerana sememangnya kita semua tidak sempurna sifatnya. Bagaimanapun, janganlah ketidaksempurnaan itu dijadikan alasan mudah bagi melakukan sesuatu yang bersifat cuai. Jangan hanya nama sahaja universiti bertaraf APEX tetapi kualitinya sama dengan universiti bertaraf biasa.

Pihak berkenaan tidak boleh memandang mudah terhadap perkara ini. Ia soal kecuaian dan maruah. Kesilapan pertama biarlah menjadi pengajaran. Dan, jika ia berulang lagi, maka jelaslah ia adalah sememangnya kemahuan kita. Renungkanlah mengenainya.

Tiada ulasan: