Sabtu, 19 September 2009

RAMADHAN YANG BERLALU

Salam Aidilfitri,..

Alhamdulillah Ramadhan akan melabuhkan tirainya dan Syawal 1430 Hijrah PULA bakal mengambil tempat. Bulan kemenangan kita yang telah berjuang melawan nafsu di sepanjang Ramadhan.

Sesungguhnya Syawal merupakan lambang kemenangan kita, namun amat sedih kerana kadangkala kita telah tersasar dari apa yang sepatutnya kita lakukan ketika menyambut ketibaannya.

Apa tidaknya, sejak 20 Ramadhan yang lalu, kita amat sibuk dengan persiapan menyambut Aidilfitri, di mana pusat-pusat jualan penuh sesak dengan manusia, dengan pelbagai tujuan. Kita terlupa hakikat bahawa sepuluh malam terakhir Ramadhan kita sepatutnya bersesak-sesak di surau dan masjid untuk berebut keberkatan-Nya yang tiada pada bulan-bulan yang lain.

Begitu juga apabila Syawal menjelang tiba. Sepatutnya kita berebut-rebut bertakbir, bertahmid dan kunjung mengunjung untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama kita, bukannya sepanjang masa menghadap TV dengan pelbagai rancangan yang sebahagian besarnya amat melalaikan kita.

Semoga Aidilfitri ini kita sama-sama menyambutnya dengan kaedah yang lebih baik sebagaimana yang telah digariskan oleh agama kita yang Maha suci. Marilah kita sama-sama bertakbir memuji kebesaran Ilahi sambil kita berdoa agar Ramadhan 1431 kita masih diberikan peluang mempertingkatkan ibadat, lebih baik daripada tahun ini. Marilah kita menziarahi saudara sesama Islam, tidak kira status ekonomi dan ideologi politik agar silaturrahim kita terus dipereratkan.

Janganlah kita lupa mereka yang kurang bernasib baik dengan sama-sama kita menghulurkan sumbangan, sama ada kewangan mahu pun barangan mengikut kemampuan dan keupayaan yang ada.

Dan, jangan kita lupa mereka yang terlebih dahulu dijemput menghapi Ilahi dengan kita sama-sama menziarahi pusara mereka sambil kita menghadiahkan Al-Fatihah dan memanjatkan doa agar mereka terus mendapat rahmat-Nya.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.

Tiada ulasan: