Sabtu, 19 September 2009

ERTI DI HARI RAYA AIDILFITRI


Assalamualaikum …


Salam perjuangan, salam kemenangan dan salam Aidilfitri untuk semua bloger dari saya sekeluarga. Semoga Allah swt akan terus memberikan rahmat dan hidayah-Nya untuk kita terus memanfaatkan hujung jari kita ke arah mempertahankan kebenaran dan menolak sebarang unsur-unsur yang berbau fitnah serta kebatilan.


Selepas sebulan berpuasa menahan lapar dan dahaga, hari ini tibalah hari kemenangan kepada kita semua. Walaupun pemergian Ramadhan amatlah menyentuh perasaan lantaran fadhilat yang dijanjikan cukup besar dan tinggi, namun ketibaan hari lebaran tetap sesuatu yang dinantikan.


Saya percaya, anda juga gembira dengan kehadiran satu Syawal ini. Semua orang ingin gembira di hari mulia. Kata orang, segala-galanya baharu di hari ini. Saya berharap, kita semua menyambut hari raya Aidilfitri dengan penuh berhemah dengan meletakkan kesederhanaan sebagai asas kegembiraan. Saya bimbang, ramai di kalangan kita yang terlalu mewah berbelanja sehingga di luar kemampuan. Kata mereka, maklumlah hari raya setahun sekali, maka apa salahnya berbelanja lebih kali ini.


Kita jangan salah percaturan. Bukan apa, saya khuatir ada di kalangan kita yang akan merana selepas hari raya nanti kerana wang sudah habis dibelanjakan. Apalah ertinya kemewahan dan kemeriahan jika itulah jadinya. Bagi saya, kesederhanaan bukannya akan mencacatkan kemeriahan sambutan Aidilfitri. Sebaliknya, semua itu terletak di bahu kita sendiri. Kitalah yang mencorakkan kegembiraan itu walaupun kita tidak semewah mana pun.


Marilah juga kita memulakan satu pemuafakatan kita di hari yang besar ertinya ini. Inilah masanya kita mahu melupakan segala sengketa dan salah bicara. Inilah harinya jika kita mahukan satu permulaan untuk melihat ukhuwwah di kalangan umat Islam kembali bertaut setelah agak renggang disebabkan politik kepartian.


Marilah kita mengisi lebaran dengan perasaan penuh syukur dan insaf betapa kita sebenarnya amat bertuah kerana menjadi rakyat Malaysia. Kerana kita rakyat Malaysialah, maka kita dapat meraikan hari raya Aidilfitri ini dengan penuh keharmonian, selesa dan bebas daripada sebarang bencana dan mala petaka.


Sempena kedatangan Aidilfitri ini dan jika masih ada masa yang terluang, dipersilakan ke rumah saya pada 3 Syawal mulai pukul 12 tengahari untuk sama-sama kita mengeratkan hubungan silaturrahim sambil berpeluang bertukar-tukar pandangan dan idea demi kelansungan perjuangan kita selama ini.


SALAM AIDILFITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN.



2 ulasan:

Lambo berkata...

Salam Aidilfitri;

Sempena hari mulia, salam dihulur mohon kemaafan semoga bertambah erat silaturahim sesama kita.

Dalam kegembiraan menyambut hari bahagia tidaklah boleh dilupakan pada yang tiada upaya, tunaikanlah kewajipan agar kemeriahan dapat dinikmati bersama.

"SELAMAT HARI RAYA ~ MAAF ZAHIR & BATIN"

Solah berkata...

SelaMat Hari Raya...Maaf SalOh n Silap...