Sabtu, 6 Ogos 2011

BUKAN HENDAK MENGATA TAPI ...

Assalamualaikum dan salam Ramadan.

Syukur alhamdulillah kerana kita masih berada di bulan Ramadan, diberikan kesempatan untuk mengisinya dengan segala kelebihan. Kita bersyukur kerana negara kita terus aman, kekal dan tidak seperti apa yang sedang berlaku di beberapa negara lain di dunia.

Sepanjang bulan Ramadan ini, semua orang berlumba-lumba untuk meningkatkan amal ibadah, membina atau mencari pahala serta keberkatan. Namun agak malang sedikit apabila ada di kalangan umat Islam di negara ini tidak henti-henti mengamalkan politik sempit. Dengan berpegang kuat kononnya tidak ada istilah "politik suku, agama suku" dalam Islam, puak ini terus menggunakan masjid dan surau untuk meracuni pemikiran umat Islam dengan fitnah, dakyah dan dakwaan karut mereka terhadap kerajaan dan umat Islam lain yang tidak sebulu dengan mereka.

Untuk rekod, politik yang menyumbang kepada fitnah, dengki, maki hamun dan berbohong adalah politik yang tidak dianjurkan oleh Islam walau dengan apa alasan sekali pun. Politik Islam adalah politik yang menganjurkan perpaduan, kesejahteraan dan membina kekuatan umat Islam itu sendiri. Itulah secara ringkas dan dasarnya.

Jika anda ke masjid atau surau tertentu di Terengganu (saya pasti di luar Terengganu juga begitu), anda akan menemui solat terawikh akan diadakan sebanyak empat rakaat dahulu dan kemudiannya dihentikan sementara kerana mahu diadakan tazkirah. Selepas tazkirah yang memakan masa selamat hampir satu jam, solat terawikh akan disambung semula.

Apa yang menghairankan saya ialah:

Pertama: apakah tazkirah itu lebih penting atau ibadah menyembah Allah, Tuhan sekalian alam itu lebih penting kerana mereka ini tergamak berhenti menyembah Allah hanya semata-mata untuk menfitnah umat Islam lain yang tidak sebulu dengan mereka.

Kedua: mengapakah perkara sedemikian terus dibiarkan dan tidak diambil tindakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan undang-undang yang berkaitan dengan hal ehwal agama Islam.

Dan ketiga: Mengapa masih ada umat Islam yang tergamak mencemari kesucian bulan Ramadan dengan melakukan perkara-perkara yang sedemikian.

Saya kuat berpandangan, hal ini terus berlaku kerana ia dibiarkan tanpa apa-apa tindakan daripada pihak berkuasa. Jika tidak mahu ia terus berlaku dan merebak, maka tindakan mestilah diambil ke atas mereka ini. Tindakan tersebut bagi saya dengan jelas boleh mengundang kepada perpecahan dan menjejaskan keharmonian hidup umat Islam.

Sebagai umat Islam, saya sangat sedih dengan apa yang berlaku. Puak ini hanya pentingkan politik mereka sahaja walaupun umat Islam hancur sekalipun.

Saya menyeru kepada umat Islam agar sedar dari lamunan dan berfikir dengan waras serta matang dalam isu ini. Jangan mudah terpedaya dan terpengaruh dengan puak yang berkepentingan dan sanggup menggadaikan Islam demi mencapai cita-cita sempit mereka.

Sama-samalah kita fikirkannya.

Tiada ulasan: