Rabu, 15 April 2009

SELAMAT DATANG TS MUHYIDDN, TERIMA KASIH DS HISHAMUDDIN

Salam Bloger ..

Tidak lain yang bermain di bibir selain rasa syukur dan bangga yang tidak terhingga apabila YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri telah dinamakan oleh PM sebagai Menteri Pelajaran. Tidak pernah berlaku di dalam sejarah, tetapi itulah yang diumumkan. Terkejut pun ada, terharu pun ada dan segala-galanya yang berwajah kegembiraan terbuku di hati ini.

Sebagai seorang pemimpin gerakan pelajar, pelantikan YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin adalah satu pengiktirafan yang tinggi terhadap bidang pendidikan negara. Juga kepada warga pendidik di negara ini. Ia sudah tentu membuktikan betapa kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memberikan keutamaan soal memperkasakan kecemerlangan ilmu dan pendidikan rakyat.

Sebagai seorang tokoh yang pernah terbabit secara langsung dengan Kementerian Pendidikan (Pelajaran), Perdana Menteri kita pastinya lebih memahami tuntutan dalam sektor tersebut. Maka kerana itu beliau menamakan Timbalannya sebagai Menteri Pelajaran. Saya amat optimis dan yakin dengan kemampuan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau mampu berperanan dengan sebaiknya.

Mengapa saya dan rakyat serta warga pendidikan gembira?. Sebabnya ialah, yang akan menerajui kilang memproses modal insan berminda glokal berakarkan akal ini adalah Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sekaligus menggambarkan kepada kita bahawa YAB Datuk Seri Najib meletakkan harapan yang cukup tinggi bagi memastikan hasrat dan wawasan membina SATU MALAYSIA akan dapat dilunasi melalui kementerian ini.

Saya penuh yakin, berdasarkan pengalaman saya berinteraksi dengan YAB Menteri Pelajaran Malaysia ini ketika beliau menjadi AhIi Lembaga Penasihat GPMS di bawah kepimpinan Dato’ Suhaimi Ibrahim (saya Setiausaha Agung GPMS ketika itu), YAB Tan Sri Muhyiddn Yassin banyak memberikan pandangan dan wawasan beliau mengenai bagaimana untuk mencorakkan landskap negara di masa depan dengan menekankan bahawa pendidikan merupakan tunjang dan akar yang cukup penting dan mencabar.

Anda lihatlah nanti, apa pembaharuan yang akan dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan saya yakin, anda juga pasti bangga dengannya. Apatah lagi, sektor pendidikan kini sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran semasa, yang kadangkalanya dilihat agak kritikal. Kerajaan telah membuktikan bahawa mereka amat serius dalam soal pendidikan rakyat, maka menjadi tanggungjawab kitalah memberikan sokongan kepada usaha tersebut.

Kita tidak boleh menjadi golongan pengkritik sahaja – selama-lamanya kita tidak boleh begitu – sudah sampai masanya kita memberikan sokongan, kerjasama dan komitmen dalam menjayakan agenda besar bidang pendidikan negara. Ayuh, sepakatlah kita dalam membina generasi terbilang melalui perkasaan ilmu dan pendidikan ini. Inilah waktu, untuk kita menjadi rakyat dan bangsa yang sepakat, membulat tekad dan terus mendokong perjuangan sebenar yang dibawa YAB Tan Sri Muhyiddn Yassin ini.

Dalam pada itu, saya amat berbangga kepada bekas Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein yang telah berjaya mengemudi kementerian itu dengan cemerlang bersama Gagasan PIPP sebagai sumber rujukan penting ke arah memperkasakan pendidikan negara. Beliau telah berjaya berhadapan dengan menangani pelbagai isu-isu di sepanjang perkhidmatan beliau dan sudah tentu, saya amat bangga dengannya.

Semoga, bidang pendidikan negara akan terus cemerlang dan dipandang hebat … demi kita dan generasi kita.

Tiada ulasan: