Jumaat, 9 Januari 2009

Salam Bloger …

Semua pihak kini memberikan pelbagai pandangan mengenai masa depan PPSMI, sama ada ia menguntung atau sebaliknya, membina atau meranapkan bangsa dan perlu atau tidaknya perkara tersebut diteruskan. Malah ada pula yang mengugut untuk menyaman Kementerian Pelajaran Malaysia jika diteruskan. Maka, adakah ia wajar?. Wajar dalam konteks untuk meneruskan atau sebaliknya. Dan adakah wajar sehingga polemik mengenainya berpanjangan sehingga timbulnya isu menyaman kerajaan.

Baru-baru ini GPMS telah mengadakan persidangan di Institut Aminudin Baki, Genting Highland, Pahang. Apa yang ingin saya jelaskan ialah, pada hari terakhir persidangan, kami telah merumus dan mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia agar mulai pengambilan murid tahun satu sekolah rendah pada 2010, pengajaran dan pembelajaran (P & P) mata pelajaran sains dan matematik hendaklah dikembalikan ke dalam bahasa Melayu. Hal itu amat jelas.
GPMS berpendapat bahawa masalah sebenar murid adalah tidak dapat menguasai mata pelajaran bahasa Inggeris dan jika sekiranya mata pelajaran sains dan matematik dilaksanakan sebagaimana sekarang, murid akan terus ketinggalan terutamanya murid di pendalaman serta yang dilingkungi kemiskinan.

Justeru itu, GPMS mencadangkan agar mata pelajaran bahasa Inggeris dirombak dan digubal semula dengan mengambilkira perkara berikut :

i. Menambah waktu P & P sebanyak 60 minit sama ada di tahap satu maupun tahap dua sekolah rendah
ii. Memasukkan elemen mata pelajaran sains dan matematik sebagai asas pemahaman khasnya penggunaan istilah-istilah tertentu
iii. Memasukkah kesusasteraan Inggeris bagi tujuan pemantapan penguasaan.


Saya amat mengharapkan agar hal ini tidak dipandang remeh kerana ia melibatkan soal masa depan murid di sekolah. Sesungguhnya semua pihak, wajar memikirkan isu ini dengan bijak, matang dan profesional. Semoga isu ini tidak berbangkit lagi selepas penyelesaian secara muktamad diputuskan oleh pihak Kementerian Pelajaran.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

salam,

menyentuh isu PPSMI, saya percaya banyak pihak telah menyuarakan pendapat masing2 mengikut apa yang dirasakan wajar bagi mereka. Ada yang menyokong, ada yang menentang. Apa pun pandangan & kritikan yang dilemparkan, kata putus tentunya datang dari "tuan rumah" sendiri. Sama ada diteruskan atau sebaliknya, generasi pelajar sekarang yang sebenarnya menggalas tanggungjawab ini. Mereka sebenarnya yang terkesan dengan pendekatan yang cuba kita aplikasikan ini. Secara peribadi, saya juga punyai pendapat dan pendirian tersendiri dalam hal ini. Saya merasakan adalah wajar PPSMI ini dikembalikan ke dalam bahasa Melayu seperti yang sedia ada berpandukan rasional berikut :
1. Matematik & Sains (M&S) adalah 2 subjek yang SANGAT penting bagi semua pelajar. Subjek2 ini dikatakan mempunyai pengaruh dan kesan yang sangat tinggi dalam pencapaian akademik pelajar di pelbagai peringkat peperiksaan. Justeru, tidak wajar bagi saya jika kita memperjudikan tahap penguasaan M&S di kalangan pelajar kita dengan mengubah corak pembelajaran ke dalam bahasa yang lain. Bukan semua pelajar dapat menguasai BI dengan baik berbanding dengan BM.
2. Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda harus dihormati, dijunjung dan diterjemahkan oleh semua pihak. Adalah malang sekali jika kita sendiri yang mengenepikan soal ini dengan alasan kita ingin pelajar2 kita menguasai BI dengan baik. Saya rasa bukan ini caranya. Bahasa Melayu sepatutnya ditolak kehadapan seiring dengan kemajuan pesat teknologi sekarang, bukan ditarik ke belakang. Ramai pakar bahasa (BM) yang boleh kita gunakan untuk menyelaras istilah2 atau frasa kata yang tepat bagi maksud subjek S&M. Ini lah sebenarnya usaha mendaulatkan bahasa ibunda. Bukan dengan cara meminggirkannya.
3. Idea asal yang dicetuskan melalui PPSMI ini adalah antaranya untuk meningkatkan penguasaan BI di kalangan generasi muda di negara kita (Secara khususnya, mungkin dimaksudkan dengan pelajar Melayu). Ini adalah satu niat yang sangat baik, tetapi tidak kena pada caranya. Jangan kerana alasan ini kita merudumkan minat mereka untuk menguasai S&M dengan baik. Sebenarnya cara atau pedagogi untuk subjek BI yang perlu ditambah baik. Mungkin sudah sampai masanya pakar pedagogi memperkenalkan kaedah yang lebih berkesan untuk penguasaan BI. Bukannya dengan menjejaskan BM itu sendiri.

Dengan beberapa rasional di atas, saya sangat menyokong usul dan cadangan GPMS supaya pengajaran dan pembelajaran (P & P) mata pelajaran sains dan matematik hendaklah dikembalikan ke dalam bahasa Melayu. Jika bukan kita yang mendaulatkan bahasa kita, tiada siapa lagi yang di luar sana akan berbuat begitu untuk kita. Renungkan lah sejenak kerdip & raut wajah anak2 kita di luar sana, kita yang sebenarnya mencorakkan impian mereka, bukan untuk menyusahkan mereka..


salam hormat,
SyedUKM.

Tanpa Nama berkata...

Tentang PPSMI, setelah 5 kali bersidang mengenai nasib PPSMI, KPM merumuskan tujuh pilihan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan, iaitu:
1. Meneruskan PPSMI seperti sedia ada.
2. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di peringkat sekolah rendah tetapi meneruskan PPSMI di sekolah menengah.
3. Memulakan PPSMI dari Tahun Empat hingga sekolah menengah.
4. Menggunakan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di sekolah rendah dan digunakan sepenuhnya di sekolah menengah.
5. Penggunaan bahasa pengantar untuk Sains dan Matematik ditentukan oleh sekolah.
6. Penggunaan bahasa Melayu atau bahasa ibunda di Tahun Satu hingga Tiga, diikuti dwibahasa pada Tahun Empat hingga Enam dan penggunaan bahasa Inggeris sepenuhnya di sekolah menengah, dan
7. Memansuhkan mata pelajaran Sains di Tahun Satu hingga Tiga, tetapi mengajar ilmu Sains dalam mata pelajaran lain. Berita Harian 17 Disember 2008).

Sudah pasti tuan-tuan dan puan-puan dapat menduga nombor berapa yang akan menjadi pilihan kerajaan. Rasanya tidak guna bermeja bulat, bujur dan beremapt persegi kalau keputusannya masih yang itu-itu juga. Namun, pilihan saya, Pilihan 8: Bagaimana kalau kita hapuskan sahaja PPSMI?

Ya Allah, selamatkanlah sistem pendidikan negara dan nasib bangsa dan bahasaku ini di negaraku nan tercinta ini!!!

azlishukri berkata...

saya kecewa dengan pihak kerajaan berkenaan PPSMI

YieeDaa berkata...

Salam,
Saranan tuan amatlah dihargai.
Penambahbaikan pada mata pelajaran Bahasa Inggeris amatlah bertepatan dengan matlamat dan objektif sebenar PPSMI.
TQ

D'Rimba berkata...

Saya juga menyeru kita mesti sedar bahasa Melayu punyai roh dan nilai Islam itu sendri. Pemansuhan Jawi dan mempertidak hak Bahasa Melayu itu sendiri akan mengikis nilai-nilai Islam dan jatidiri bangsa sebuah tamadun insani.