Isnin, 8 September 2008

DISIPLIN PELAJAR, DI MANAKAH KITA


Salam Ramadhan,

Syukur hari ini saya dapat terus menulis di laman ini untuk tatapan anda semua. Saya rakamkan ucapan terima kasih kepada anda kerana sudi membaca dan berkongsi idea serta pandangan mengenai pelbagai isu-isu pendidikan di negara ini.

Hari ini saya ingin mengajak anda berfikir mengenai satu isu yang mungkin dipandang remeh oleh sebahagian daripada kita tetapi ia sebenarnya amat membimbangkan jika tidak atau gagal ditangani dengan sebaik mungkin. Isu pelajar-pelajar yang dikenakan tindakan buang sekolah. Itulah topik yang hendak saya kongsikan dengan anda hari ini.

Sebagaimana yang kita sedar dan sedia maklum bahawa pelajar yang didapati melakukan kesalahan disiplin dan diambil tindakan buang sekolah, mereka boleh mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pelajaran Negeri bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah. Sudah menjadi perkara biasa, rayuan pelajar berkenaan diterima dan mereka akan ditempatkan di sekolah lain yang difikirkan sesuai. Maksudnya, mereka tidak lagi meneruskan pelajaran di sekolah lama.

Dan, itulah situasi yang telah sekian lama berlaku tetapi ia mungkin terlepas pandang oleh kita, apatah lagi kalau kita bukannya dalam golongan pendidik. Sebenarnya, apa yang berlaku itu telah menambahkan masalah sedia ada di sekolah berkenaan dan kadang-kala mereka ini akan bergabung dengan spesis yang sama dengan mereka.

Dan apabila itu berlaku, ia telah mendedahkan sekolah tersebut kepada masalah disiplin yang lain. Justeru, ia tidak menyelesaikan masalah. Malah dalam keadaan tertentu, ia bakal menimbulkan masalah yang baru. Apakah itu wajar? Sama-sama kita fikirkan, jangan kita hanya lambakkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia untuk memikirkannya……..MALAYSIA OH TANAH AIRKU

1 ulasan:

shahrul berkata...

Pada pendapat saya, membuang pelajar dari sekolah bukanlah satu penyelesaian yang baik.Ini kerana ilmu sangat penting pada zaman ini. Jika mereka dibuang, dimana lagi mereka akan belajar? Di Sabah, kebanyakkan remaja tidak bersekolah dan akhirnya mereka bekerja sebagai pengutip barang terbuang dan menjual rokok. Ini amat menyedihkan saya. Sdepatutnya mereka dibimbing dengan cara yang berlainan misalnya memberi lebih perhatian kepada mereka dan sentiasa berkongsi pengalaman dan pendapat dengan pelajar bermasalah terbabit.