Walaupun sudah 11 bulan bersara sebagai pendidik, namun jiwa seorang guru masih begitu kuat di sanubari saya. Mungkin kerana saya telah meluangkan masa selama hampir 19 tahun sebagai pendidik, maka perasaan itu tetap ada di hati saya. Itu yang saya fikirkan.
Apa yang pasti, guru adalah satu profesion murni yang sangat besar pengorbanannya dalam melahirkan anak bangsa berpendidikan, berakhlak mulia dan mempunyai jati diri sebagai pembentuk masa depan negara.
Sebagai bekas seorang guru dan masih bergiat aktif dalam Badan Bukan Kerajaan (NGO) pendidikan, kedatangan hari ini guru tahun ini, sangat meninggalkan kesan buat saya. Apatah lagi, inilah sambutan hari guru pertama selepas saya meninggalkan profesion perguruan.
Hakikatnya, saya sangat terharu kerana sehingga kini saya masih diingati pelajar yang sentiasa menghubungi saya, sama ada melalui pertemuan ataupun laman sosial facebook. Sebagai seorang bekas guru kaunselor, masih ramai pelajar yang meminta pandangan serta tunjuk ajar daripada saya dalam menangani setiap masalah yang mereka hadapi.
Maksudnya, mereka bukan sahaja masih menganggap saya sebagai guru mereka, tetapi pada masa yang sama, peristiwa itu menyebabkan saya merasakan bahawa saya seolah-olah masih belum bersara. Inilah yang menyentuh perasaan saya.
Apa pun, sebelum mengambil keputusan nekad untuk bersara lebih awal dalam usia 45 tahun, saya menaruh iltizam untuk terus memberikan sumbangan dan bakti dalam bidang pendidikan. Justeru, saya telah diberikan amanah sebagai Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN) bagi meneruskan agenda memperkasakan pendidikan anak bangsa. Dengan tema Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara, sambutan Hari Guru 2011 ternyata meletakkan guru sebagai pemain utama dalam membina ketamadunan dan keintelektualan generasi muda. Tema itu juga bagi saya telah menjadi satu amanah besar ke atas bahu golongan guru ke arah mencorak dan membentuk masa depan negara.
Saya juga ingin menarik perhatian bahawa langkah kerajaan memperkasakan sekolah vokasional merupakan satu langkah yang tepat dan perlu didokong oleh golongan guru. Saya yakin dan percaya apabila sekolah vokasional dinaiktaraf kepada Kolej Vokasional, sudah pasti ia bakal menarik lebih ramai penyertaan anak muda menceburi bidang-bidang berkemahiran tinggi yang bakal disediakan di Kolej Vokasional dan mungkin terus dinaiktarafkan lagi kepada Universiti Politeknik. Melalui produk yang akan negara lahirkan, maka tidak mustahil Malaysia akan mampu menjadi sebuah negara perindustrian setaraf dengan Findland dan Jerman.
Saya juga sebenarnya gembira dengan kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran bahawa kerajaan akan mengumumkan berita gembira untuk warga guru sempena sambutan Hari Guru tahun ini yang dilihat sebagai tanda penghargaan dan terima kerajaan kepada mereka.
Sehubungan itu, adalah sesuatu yang sangat wajar untuk guru bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa memberikan kecaknaan terhadap nasib golongan guru. Oleh itu, marilah kita menjadikan peristiwa ini sebagai satu permulaan baharu untuk lebih memberikan tumpuan terhadap profesion perguruan dengan meletakkan pembinaan dan memperkasakan akal budi anak bangsa sebagai satu keutamaan tanpa dicelarukan dengan pelbagai idealogi-idealogi sempit yang akhirnya akan melencong daripada tugas hakiki kita sebagai seorang guru.
Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk turut merakamkan ucapan selamat menyambut Hari Guru kepada bekas guru-guru saya yang telah mendidik dan membimbing saya sehingga mampu menjadi insan berguna. Saya yakin dan percaya bahawa tanpa jasa bakti mereka, sudah pasti hari ini saya tidak berada di tahap saya kecapi masa kini.
Kepada semua warga guru, saya ucapkan selamat menyambut Hari Guru 2011. Sama-sama kita terus komited dan beriltizam dalam meningkatkan profesionalisme perguruan ke arah menjana tranformasi pendidikan negara.
Hari ini, pasti ramai di kalangan rakyat Malaysia bergembira dengan kejayaan Barisan Nasional (BN) yang berjaya mengekalkan kuasa atau kerajaan di Bumi Kenyalang. Bagi mereka yang cintakan kesejahteraan, rindukan pembangunan dan kasihkan kepada sebuah kerajaan yang cekap, memilih BN adalah satu tindakan yang paling tepat.
Saya, yang berkesempatan berada di beberapa kawasan di Sarawak ketika tempoh kempen sedang berlangsung telah melihat dengan dekat apa yang berlaku dalam politik Sarawak. Saya juga sempat "mendalami" pemikiran politik orang Sarawak.
Maklumlah, dalam keadaan saya sendiri membaca dan mengikuti propaganda pembangkang mengenai politik Sarawak, sudah tentu saya sangat teruja untuk mengetahui dengan lebih dekat. Dan, melalui peluang ke Sarawak itu saya cuba mendekati mereka.
Rumusan saya, rakyat Sarawak tidak seperti yang ada di fikiran pembangkang. Propaganda pembangkang sepanjang kempen PRN Sarawak seolah-olah akan berlaku tsunami politik juga adalah sesuatu adalah berbeza dengan kenyataan yang sedang berada di depan mata saya pada waktu itu.
Oleh kerana itu, sebelum berangkat pulang ke Terengganu, fikiran dan hati saya kuat mengatakan bahawa bukan mudah BN Sarawak untuk tumbang di tangan pembangkang. Justeru, keputusan PRM yang diumumkan semalam itu telah mengesahkan apa yang ada di fikiran saya.
Saya gembira dengan keputusan itu dan ingin melahirkan rasa bangga dengan cara berpolitik, cara berfikir orang Sarawak. maka, tidak hairanlah BN menang selesa pada PRN kali ini walaupun hilang beberapa kerusi yang tidaklah sebanyak mana.
Apa yang pasti, sarawak akan lebih maju di bawah BN. Sarawak akan lebih hebat di bawah BN. Jika rakyat Sarawak tersilap memilih kerajaan, maka jadilah seperti Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.
Kesemua pemimpin di negeri berkenaan sibuk mengkritik kerajaan BN tetapi mereka tidak buat apa-apa untuk kepentingan rakyat di negeri mereka. Pemimpin mereka sibuk berceramah berbanding bekerja untuk negeri dan rakyat.
Di sinilah bezanya pemimpin BN dengan pembangkang. Tahniah kepada BN Sarawak. terima kasih kepada pengundi BN di Sarawak. Alhamdulillah, saya bersyukur.
Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Alwi bin Ibrahim bahawa di antara tahun 2006 hingga 2010seramai 234, 647 orang anak tak sah taraf telah dilahirkan daripada seramai 2,481,276 kelahiran dan lebih hebat lagi, 34.5% atau 80,979 orang adalah bayi Islam!
Mengikut tafsiran Islam, anak tak sah taraf adalah bayi yang dilahirkan tanpa akad nikah dan anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang daripada enam (6) bulan Kalendar Qamariah dari tarikh perkahwinan ibu dengan pasangannya.
Cuba lihat data perbandingan antara bangsa yang dinyatakan di bawah :
2006
2007
2008
2009
2010
MELAYU
13,545
16,100
16,541
17,303
17,490
CINA
4,739
5,111
4,943
4,128
3,864
INDIA
4,621
4,818
4,772
5,044
4,703
JUMLAH
22,905
26,029
26,256
26,475
26,057
Berdasarkan perbandingan di antara bangsa di atas, amat jelas memperlihatkan perbezaan yang ketara di antara bangsa Melayu berbanding dengan bangsa Cina dan India. Persoalan sekarang, mengapakah sekali lagi bangsa Melayu yang sudah pasti beragama Islam telah mengungguli perkara-perkara negatif ini?
Apakah sekali lagi kita mahu mempolitikkan isu ini dengan menunding kepada pihak kerajaan yang didakwa telah gagal menanganinya? Apakah kita ingin terus mendendangkan lagu bangau oh bangau tanpa sedikitpun tidak terlintas di hati kita untuk sama-sama bermuhasabah ke arah mencari formula terbaik menyelesaikannya?
Pada saya amat mudah, marilah kita sama-sama melihat kembali peranan kirta sebagai ibu bapa. Apakah kita sedang mendidik anak-anak atau sebenarnya kita menternak mereka? Apakah dengan menyediakan tempat tinggal, pakaian, makan dan minum telah cukup untuk membina modal insan yang tinggi nakal budinya? Apakah budaya mencatat memo atau menggunakan khidmat sistem pesanan ringkas untuk berimnteraksi dengan anak-anak atas alasan kesibukan telah menyelesaikan tugas kita mendidik anak-anak?
Selasa, 8 Mac 2011
Salam bloger,
Agak mengejutkan. Itu yang boleh saya rumuskan dengan insiden atau kes bunuh diri di negara ini. Semalam, ketika memdedahkan statistik mengenai kes berkenaan, Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein ternyata bimbang dengan gejala tersebut.
Apa tidaknya, dalam tempoh sepuluh tahun mulai 2001, seramai 4,118 orang telah meninggal dunia akibat perbuatan bunuh diri. Nah!, ternyata gejala tersebut membimbangkan. Punca kepada masalah tersebut juga disebabkan kegagalan hidup, putus asa dan kematian insan tersayang. Semuanya kerana tekanan perasaan.
Sebagai umat Islam, kita dituntut menjauhi perbuatan sedemikian. Apa pun, isu berkenaan cukup menarik untuk kita kupas, lantaran dengan keadaan persekitaran yang tidak menentu sekarang. Maksud saya, hidup manusia dalam serba tertekan.
Maksudnya, masyarakat perlu melakukan sesuatu dan tidak boleh memandang mudah mengenai hakikat tersebut. Saya bimbang, keadaan itu akan menjadi "trend" yang akhirnya terus menjadi ancaman utama kepada nyawa manusia di negara ini.
Sebagai masyarakat yang bertamadun, perbuatan membunuh diri adalah sesuatu yang sangat menjijikkan walau apa pun alasannya. Hidup ini masih terlalu banyak ruang dan peluang. Ia bergantung kepada kebijaksanaan dan keupayaan kita mengurus hidup ini. Selain itu, sokongan serta dokongan pelbagai pihak amat diperlukan bagi membendung gejala ini.
Selain yang lain-lain, orang politik juga kena tengok juga keadaan ini. Jangan terlalu asyik berpolitik, bermain politik atau mempolitikkan segala-galanya tanpa memikirkan isu yang besar ini.
Walaupun soalan mengenai perkara ini dibangkitkan oleh wakil pembangkang dari DAP, namun ia ternyata menarik melalui jawapan yang diberikan. Bagi saya, usaha menangani masalah ini adalah tanggungjawab bersama. Jangan biarkan atau serahkan kepada individu sahaja untuk menyelesaikan masalah mereka.
Cuma saya takut dan khuatir, pada suatu masa ada yang sanggup membunuh diri kerana politik. Ia pasti lagi parah. Berhati-hatilah.
Tindakan Pas membawa pelawak Bob Lokman ke PRK Kerdau, Pahang dan Merlimau di Melaka ternyata tidak membawa apa-apa kesan kepada pengundi di kedua-dua kerusi berkenaan untuk terus memilih calon BN pada PRK tersebut semalam. Gimik politik yang sengaja dicetuskan pembangkang dengan menggunakan selebriti terbukti gagal.
Memang bagi saya, saya telah menjangkakan BN akan menang di dua kerusi berkenaan, namun saya tidak menyangka BN akan menang besar sebagaimana yang diumumkan semalam. Mesej yang hendak disampaikan rakyat mengikut fahaman saya, pembangkang hanya pengacau dan mereka tidak layak dipilih untuk berada dalam DUN di dua negeri berkenaan.
Saya berpendapat, rakyat kini mula memahami bahawa isu-isu yang sengaja dicetuskan pembangkang dengan mengapi-apikan perasaan rakyat adalah satu helah dan propaganda murahan semata-mata. Rakyat sudah melihat kepalsuan yang cuba dicanangkan pembangkang dan mereka ternyata tidak mudah terpedaya dengan pelbagai janji kosong oleh pembangkang.
PRK Merlimau dan Kerdau, sudah tentu akan menjadi titik permulaan yang baik ke arah menjayakan transformasi politik BN agar lebih matang dan mantap menjelangnya PRU yang ke-13 nanti. Terlalu banyak sebenarnya yang boleh dipelajari BN di sebalik semua 16 PRK yang berlangsung sejak 2008 yang lalu.
Tentu sekali, BN telah menemui sentuhan dalam memasarkan politiknya kepada rakyat walaupun dalam keadaan begitu banyak tekanan dari pembangkang. Bukan mudah sebenarnya untuk meyakinkan rakyat di Kerdau dan Merlimau bahawa apa yang sedang berlaku, termasuk isu kenaikan harga barang, masalah harga minyak dan lain-lain adalah sesuatu yang di luar kemampuan kerajaan BN.
Namun, rakyat melihat kesungguhan kerajaan BN dalam membantu meringankan beban rakyat dan bukannya menawarkan sesuatu yang kosong. Saya sangat terharu, dalam tekanan sedemikian, rakyat masih boleh memilih BN kerana mereka memahami bahawa BN sahajalah yang berkerja keras untuk membela nasib mereka.
BN adalah parti rakyat. Daripada rakyat kepercayaan diperolehi, dan kepada rakyat bakti diberikan. BN tidak pernah kalah dan lelah dalam membantu rakyat. Kesungguhan dan keikhlasan itu telah menjadi sebahagian daripada resepi kejayaan BN.
Tahniah saya ucapkan kepada dua YB baharu dari BN ... bekerjalah untuk rakyat demi rakyat. Berbaktilah demi negara dan untuk negara. Semoga, BN akan terus kekal cemerlang pada PRU ke-13 nanti, insya'Allah.
Selasa, 1 Mac 2011
Assalamualaikum dan salam 1Malaysia.
Mohon maaf kepada semua pelawat laman blog saya kerana sudah agak lama saya tinggalkan anda walaupun saya tahu ramai yang menjengahnya di sini.
Adalah tidak adil untuk saya memberikan banyak alasan tetapi kekangan waktu telah menjadi penyebab yang utama. Namun, mulai sekarang, dengan wajah baharu, saya akan sedaya upaya untuk update blog saya ini untuk tatapan anda semua.
Saya sangat optimis bahawa terlalu banyak yang dapat kita kongsikan di sini. Dan, saya juga percaya bahawa telah terlalu banyak isu-isu yang terlepas untuk saya kupas dan kongsikan bersama anda.
Tidak mengapalah. Sekurang-kurangnya sekarang ada sedikit waktu dan saya akan terus menulis di sini. kepada anda semua, terima kasih kerana sering menjengah tulisan saya dan juga telah memberikan pandangan-pandangan yang sangat berguna buat saya.
Saya sangat gembira dengan anda, anda adalah sebahagian daripada idea saya.
Tidak ada sesiapa menduga, dalam diam telah lahirnya satu lagi pertubuhan yang memperjuangkan masa depan pendidikan negara atas asas kepentingan Melayu yang kini sedang dilingkari pelbagai cabaran yang semakin kritikal.
Kelahirannya dilihat sangat tepat di saat isu pendidikan Melayu semakin mendapat perhatian umum, apatah lagi rancangan pembentukan sistem pendidikan secara berkesan sentiasa berhadapan dengan karenah pelbagai pihak khususnya ahli politik sehingga kebanyakan usaha murni kerajaan menjadi terbantut.
Dengan janji bukan untuk menjadi pertubuhan eksremis Melayu, pertubuhan ini mahu membantu melalui penyatuan idea demi memastikan sektor pendidikan negara terus berkembang secara sihat dan terancang.
Diilhamkan oleh sekumpulan pemikir Melayu yang sayangkan pendidikan yang diketuai Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga bekas aktivis pendidikan, Datuk Hasan Malek, maka tertubuhlah Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (GAGASAN).
Penubuhan GAGASAN di saat pendidikan kini semakin menjadi perhatian umum, manakala pendidikan Melayu pula kian mencabar dan tercabar, maka kelahiran GAGASAN dianggap mempunyai signifikannya yang tersendiri dalam mengisi slot perancangan pembangunan pendidikan negara.
Malah tidak keterlaluan jika dikatakan, GAGASAN adalah pelengkap kepada agenda memperkasakan pendidikan Melayu itu sendiri sesuai dengan matlamat penubuhannya untuk melahirkan generasi Melayu cemerlang, bersahsiah dan berkepimpinan.
Hakikatnya dengan keahlian awal seramai 1,000 orang yang melibatkan 24 buah Parlimen di seluruh negara, GAGASAN bukanlah satu pertubuhan perkauman sempit tetapi ia lahir atas nama kesedaran yang kuat betapa sebenarnya pendidikan Melayu itu bukan sahaja wajib dipertahankan, malah dibantu untuk dipertingkatkan, apatah lagi di saat konflik atau pertikaian yang berkaitan Melayu kian terbuka.
Apa yang jelas, GAGASAN yang akan dilancarkan penubuhannya di Taman Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur bakal menjadi benteng utama terhadap cabaran pendidikan Melayu itu sendiri, selain berperanan sebagai “think-tank” kerajaan dalam mendepani isu-isu pendidikan.
Pastinya dalam tempoh tiga tahun mendatang ini, apabila jumlah keahlian dijangka meningkat kepada 100,000 orang, peranan GAGASAN akan lebih terserlah dalam mewarnai perjuangan yang dimaksudkan, sekaligus meletakkannya sebagai pertubuhan yang penting di negara ini.
Ya, kita semua sedar mengenai cabaran serta isu-isu pendidikan negara tetapi kebanyakannya diolah mengikut acuan politik semata-mata selain ia menjadi tajuk perbahasan di warung kopi. Jadi, pendidikan kita mahu ke mana sebenarnya?.
GAGASAN bukanlah satu objek di padang permainan tetapi ia adalah payung kepada masa depan pendidikan Melayu, yang akan menjadi pembetuk kepada acuan pendidikan yang kita semua inginkan.
Berbeza dengan pertubuhan yang berteraskan kepada perjuangan memartabatkan bidang pendidikan yang lain, GAGASAN tampil dengan keupayaan serta kemahuan yang tinggi untuk melihat pendidikan negara diberikan perhatian dan dihidupkan dengan segarnya.
Kelahiran GAGASAN juga tidak wajar dilihat dari perspektif sempit kononnya ia bakal membawa perpecahan terhadap kepentingan Melayu itu sendiri tetapi GAGASAN wajar dilihat dari konteks penyatuan idea kumpulan yang sayang dan cintakan pendidikan Melayu di negara ini.
Apakah penubuhan GAGASAN bermaksud lahirnya satu lagi kumpulan eksremis Melayu?. Sebenarnya tidak, GAGASAN adalah pertubuhan yang sangat terbuka dan mempunyai hasrat murni untuk melahirkan generasi pelajar dan pendidik yang bukan sahaja cemerlang di dalam negara tetapi hebat di luar negara.
Kami membawa obor Melayu Glokal yang pernah dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebelum ini dan berpegang kuat kepada iltizam Gagasan 1Malaysia dalam menzahirkan impian dan harapan tanpa bersifat ekstrem.
GAGASAN adalah pertubuhan yang berteraskan beberapa konsep Melayu Budiman yang dianggap penting dan cukup membantu dalam membentuk serta membina jati diri pertubuhan tersebut sebagaimana berikut:
WASATIAH: mengamalkan kaedah sederhana iaitu mencari kesempurnaan dengan nilai yang tidak terlalu tinggi tetapi juga tidak terlalu rendah atau dengan terjemahan yang lain, ia bermakna pertengahan atau seimbang.
BERAKAL: bijaksana dan berkeupayaan dalam penguasaan ilmu berdasarkan kepada kefahaman untuk membentuk nilai serta acuan kita sendiri.
BIJAKSANA: Atau juga dipanggil sebagai wasotiah yang akan menjadi pelengkap kepada kejayaan perancangan, strategi serta keupayaan itu tadi agar setiap apa yang dimahukan mencapai matlamat secara berkesan dan tepat.
BERBUDI: membina jati diri cemerlang berteraskan kepada nilai akhlak, budi pekerti yang tinggi sebagai pembantu kepada pembentuan sahsiah diri yang menjadi matlamat atau tujuan penubuhan GAGASAN.
GAGASAN berjanji akan meletakkan dirinya sebagai “hamba pendidikan” yang akan membantu kerajaan serta rakyat melalui pelbagai kaedah dan strategi bagi memastikan pendidikan Melayu sentiasa berada di tempatnya secara wajar.
GAGASAN juga akan membantu kerajaan dalam memastikan keputusannya untuk memperkenalkan Sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelang tahun 2014 dan memulakan mata pelajaran Sejarah di sekolah rendah pada 2013 akan menjadi kenyataan dalam suasana teratur dan berkesan.
Kami mahu generasi sekarang dan akan datang lebih mengenali sejarah kerana hanya dengan cara itu, ia dapat membantu pembentukan jati diri dan sahsiah dalam kehidupan mereka.
Kemerosotan kefahaman generasi hari ini terhadap sejarah negara, khususnya perjuangan menuntut kemerdekaan misalnya akan menyebabkan pemikiran mereka menyongsor turun tanpa arah dan tujuan.
Dan, ini juga menjadi sebahagian daripada perjuangan GAGASAN melalui beberapa strategi yang akan diatur selepas ini.
Berasaskan betapa sebenarnya pertubuhan ini dianggotai kumpulan pemikir Melayu yang berlatarbelakangkan sebagai aktivis pelajar dan nilai akademik yang tinggi, adalah dipercayai GAGASAN bakal membawa obor baharu dalam dunia pendidikan negara.
Ini bukan cakap-cakap kosong atau retorik semata-mata tetapi ia adalah satu kenyataan yang sedang terbentuk dengan jelas di hadapan kita.
Juga hari ini, rata-rata idea mengenai pendidikan ini hanya berlegar di pasaran politik dan tidak kurang pula dibahaskan secara tradisional di warung kopi di kampung-kampung.
Walaupun adakalanya, apa yang diperkatakan itu remeh, namun kadangkala idea yang dilontarkan seperti lebih bernas daripada apa yang dilontarkan pada sidang Dewan Undangan Negeri atau Parlimen.
Jadi dalam konteks ini, apa salahnya jika idea itu diproses semula atau diberikan nilai tambah dan kemudiannya menjadi satu produk yang menguntungkan. Ia bukannya satu perniagaan yang memerlukan modal pun.
Oleh itu, GAGASAN mahu menjadi mata dan telinga kerajaan yang bertindak untuk mengutip semua idea itu secara bebas dan kemudiannya diproses menjadi produk pendidikan yang mungkin boleh bersifat dasar atau sebagainya kepada kerajaan.
Tindakan untuk merelakan pendidikan menjadi bahan dagangan politik semata-mata mesti ditamatkan secara muktamad kerana tidak pernah ada sejarah mengenainya yang menjanjikan keuntungan kepada negara dan rakyat. Itu jelas.
Justeru, GAGASAN mahu menjuarai perjuangan itu, menjadi pasukan paling depan dalam menyediakan produk pendidikan Melayu negara, selain menjadi pihak yang akan sentiasa memerangi mana-mana pihak yang mahu menjadikan pendidikan sebagai bahan dagangan politik mereka.
Kita sudah tidak punyai waktu sebenarnya untuk berkelahi dalam isu-isu pendidikan ini secara salah sedangkan jika setiap idea itu dicantumkan, keuntungan yang diperolehi pastinya berganda.
GAGASAN akan hadir di persada pendidikan negara dengan segala kelebihan dan keberanian demi untuk melihat kelangsungan pendidikan Melayu itu bukan sahaja dipertahankan tetapi dibentuk semula melalui kaedah dan cara yang menguntungkan semua pihak demi masa depan negara tercinta ini.
Saya sungguh teruja apabila membaca kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melalui akhbar Utusan Malaysia hari ini bahawa Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Pembangkang menang Pilihanraya Umum Ke-13 akan datang.
Walaupun kemenangan Pakatan Pembangkang itu hanyalah satu andaian dan masih menjadi satu kemungkinan semata-mata, isu ini amat menarik perhatian umum. Hakikatnya, politik kita sudah bercelaru dengan pelbagai hal apabila agenda diri, peribadi dan kaum diletakkan dalam senarai paling atas.
Saya berpandangan terdapat beberapa hal yang wajar diberikan perhatian oleh kita semua tanpa menafikan sedikit pun apa yang dinamakan sebagai kemungkinan dalam kenyataan Dr Mahathir itu tadi.
Pertama, keghairahan orang Melayu berpolitik terutamanya generasi muda tanpa memahami struktur politik khususnya di sistem berparlimen harus diberikan perhatian. Saya percaya, ramai berpolitik tanpa memahami keadaan tersebut – majoriti dua pertiga, kuasa Parlimen dan tanggungjawab melihat kepentingan bangsa dalam politik.
Saya sangat bimbang dengan politik sentimen, khususnya di kalangan anak-anak muda sehingga ia akan mengancam majoriti dua pertiga “kuasa Melayu” di Parlimen. Mereka mungkin mahu menumbangkan Barisan Nasional (BN), namun pada masa yang sama mereka lupa mereka juga sedang berusaha menumbangkan kuasa bangsa sendiri.
Jika anda ingin menyatakan saya seorang yang rasis, silakan. Namun, saya kuat berkata bahawa jika parti bukan Melayu bersatu sehingga mereka mampu menguasai kerusi di Parlimen, mereka mampu melakukan apa sahaja termasuk menghapuskan kepentingan Melayu itu sendiri. Kita mahu menyesal?. Ah!, ia sudah tidak berguna lagi ketika itu. Kita harus ingat, akur dan insaf bahawa apabila sesuatu kumpulan parti dapat menguasai suara dua pertiga di dalam Parlimen, bukan sahaja mengadakan yang tiada tapi juga meniadakan yang ada !!!
Kedua, paling menyedihkan apabila kekuatan politik bukan Melayu ini didalangi dan didokongi oleh orang Melayu sendiri demi untuk mencapai cita-cita politik dan memperjuangkan survival individu tertentu. Mereka menang sorak walaujpun akhirnya kampung tergadai, asalkan mereka puas dengan politik, telah menjadi satu trend yang membimbangkan.
Lihat contoh apa yang berlaku di Perak (ketika pemerintahan Pakatan Pembangkang) dan Selangor. Siapa yang menjadi boneka siapa? Dan siapa pula yang memboneka siapa? Adakah anda buta hati dan minda untuk menilainya? Marilah kita rehatkan minda seketika dan fikirkan secara rasional.
Dan ketiga, survival politik Melayu sendiri kini telah dikatakan umpama nyawa di hujung tanduk. Ia berlaku disebabkan umat Melayu telah berpecah belah melalui kaedah politik songsang yang pelbagai watak. Ada yang berwatakkan agama dan menjajanya sebagai alat politik murahan sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai fatwa yang memualkan.Dan ada pula yang berwatakan liberal dengan tergamak menjadi hamba kepada politik bukan Melayu.
Yang rugi siapa?. Sudah pasti Melayu. Siapa Melayu?... kita semualah. Jadi, apa yang ada di fikiran anda…… Lebih meluat apabila saya membaca kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pemimpin bukan Melayu di kalangan parti komponan BN sendiri. MCAlah secara terangnya. Presiden MCA seringkali mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan Perlembagaan, memperlekehkan Gagasan 1Malaysia melalui andaian yang salah dan banyak lagi kenyataannya yang bagi saya menggambarkan mahu merendah-rendahkan kepentingan Melayu. Ingatlah!! Kalau pun nak jadi jaguh bangsa dan mengekalkan jawatan Presiden MCA, anda merupakan ahli keluarga Barisan Nasional yang memacu negara ke masa depan yang lebih cemerlang. Dan jangan lupa Gagasan 1Malaysia tidak akan dan tidak pernah mengenepikan apa yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan oleh datuk nenek kita….
Apa yang dapat anda tafsirkan. Saya membacanya mengikut tafsiran betapa sebenarnya “ada penyatuan” pandangan mengenai kepentingan kaum bukan Melayu dalam hal ini dan ia secara senyap sebenarnya telah menempelak Melayu sebagai bangsa yang menjadi tuan kepada tanah air tercinta ini.
Ya, kembali kepada kenyataan Dr Mahathir tadi. Maka inilah yang menjadi kebimbangan saya. Oleh itu, sudah sampai masanya umat Melayu menyemak semula cara dan kaedah mereka berpolitik. Mereka tidak boleh hanyut dan alpa akan segala kemungkinan yang disebutkan Dr Mahathir.
Kita tidak bercakap mengenai kepentingan diri kita, bukan mengenai parti mana yang kita sertai tetapi kita bercakap mengenai tuan negara ini – Melayu!.
Sedarlah wahai umat Melayu, waktu sudah singkat untuk mereka berpatah lagi. Dalam persimpangan politik sebegini, kita sudah tidak diberikan pilihan kecuali bersatu. Cukuplah penyatuan dan perpaduan ini menjadi pertaruhan demi kepentingan politik sempit.